Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Bilangan 5 >> 

Peraturan tentang Orang Najis

1TUHAN berfirman kepada Musa,

2"Perintahlah umat Israel untuk mengeluarkan semua orang berikut dari perkhemahan: setiap orang yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan, atau penyakit kelamin, dan juga setiap orang yang najis kerana menyentuh mayat.

3Suruhlah semua orang yang najis keluar supaya mereka tidak menajiskan perkhemahan, tempat Aku tinggal bersama-sama umat-Ku."

4Umat Israel menjalankan perintah itu, lalu mengeluarkan semua orang seperti itu dari perkhemahan.

Ganti Rugi

5TUHAN memberi Musa

6peraturan berikut untuk umat Israel. Apabila seseorang tidak setia kepada TUHAN dan berbuat salah terhadap orang lain,

7orang itu mesti mengaku dosanya dan membayar ganti rugi penuh, ditambah dengan dua puluh peratus, kepada orang yang dirugikan itu.

8Tetapi jika orang yang dirugikan itu sudah meninggal dan tidak mempunyai saudara dekat yang boleh menerima bayaran ganti rugi, bayaran itu harus diberikan kepada TUHAN dan menjadi milik imam. Pembayaran ganti rugi itu adalah tambahan kepada domba jantan yang biasa diberikan untuk upacara penyucian bagi orang yang bersalah.

9Demikian juga halnya dengan setiap sumbangan khas yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada TUHAN; sumbangan itu menjadi milik imam yang menerimanya.

10Apa yang dipersembahkan seseorang kepada TUHAN, menjadi milik orang itu sendiri. Hanya apa yang diserahkannya kepada seorang imam, menjadi milik imam itu.

Peraturan tentang Suami yang Mencurigai Isterinya

11TUHAN memerintah Musa

12untuk memberikan peraturan ini kepada umat Israel. Mungkin seorang lelaki mencurigai isterinya; suami itu menyangka bahawa isterinya tidak setia kepadanya dan isterinya mencemarkan diri kerana bersetubuh dengan lelaki lain. Tetapi suami itu tidak pasti kerana perbuatan itu dilakukan dengan sembunyi-sembunyi dan tidak ada saksi, dan isterinya tidak tertangkap basah; atau mungkin seorang suami curiga, walaupun isterinya tetap setia kepadanya.

13(5:12)

14(5:12)

15Dalam kedua-dua hal itu, suami harus membawa isterinya kepada imam. Suami itu harus membawa persembahan yang ditetapkan: satu kilogram tepung barli, tetapi tidak dicampuri minyak zaitun ataupun kemenyan kerana persembahan itu daripada suami yang curiga, dan diberikan untuk menyatakan hal yang sebenar.

16Imam akan menyuruh perempuan itu maju dan berdiri di hadapan mazbah.

17Imam akan menuang air suci ke dalam sebuah mangkuk tembikar, lalu memasukkan sedikit tanah dari lantai Khemah TUHAN ke dalam mangkuk itu untuk membuat airnya pahit.

18Kemudian imam menguraikan rambut perempuan itu, lalu meletakkan persembahan tepung ke dalam tangan perempuan itu. Imam akan memegang mangkuk yang berisi air pahit yang mendatangkan kutuk.

19Kemudian imam akan mengucapkan sumpah dan menyuruh perempuan itu menyetujuinya. Imam akan berkata, "Jika engkau tidak berzina, engkau tidak akan kena kutuk yang didatangkan air ini.

20Tetapi jika engkau sudah berzina,

21biarlah TUHAN menjadikan namamu suatu kutuk antara bangsamu. Kemaluanmu akan mengecut dan perutmu mengembung.

22Air yang mendatangkan kutuk ini akan masuk ke dalam perutmu, dan menjadikannya kembung serta mengecutkan kemaluanmu." Perempuan itu harus menjawab, "Saya setuju, biarlah TUHAN berbuat begitu."

23Selepas itu imam harus menuliskan kutuk itu lalu memadamkannya dengan air pahit di dalam mangkuk itu.

24Sebelum imam menyuruh perempuan itu minum air yang akan mendatangkan rasa sakit,

25imam harus mengambil persembahan tepung dari tangan perempuan itu, lalu mengunjukkannya untuk dipersembahkan kepada TUHAN, kemudian meletakkannya di atas mazbah.

26Selepas itu imam harus mengambil segenggam tepung itu sebagai tanda bahawa semuanya dipersembahkan, lalu membakarnya di atas mazbah. Akhirnya, imam harus menyuruh perempuan itu minum air itu.

27Jika perempuan itu sudah berzina, air itu akan menyebabkan dia sakit sekali; perutnya akan mengembung dan kemaluannya mengecut. Namanya akan menjadi kutuk antara bangsanya.

28Tetapi jika dia tidak bersalah, dia tidak akan kena kutuk dan masih dapat beranak.

29Itulah peraturannya apabila seorang lelaki cemburu dan curiga bahawa isterinya sudah berzina. Perempuan itu harus disuruh berdiri di hadapan mazbah dan imam harus melakukan upacara itu.

30(5:29)

31Suami itu tidak bersalah; jika isteri itu bersalah, dia mesti menanggung akibatnya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Bilangan 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel