Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Ezra 5 >> 

1Pada masa itu, dua orang nabi, Hagai dan Zakharia anak Ido, mulai bersabda demi nama Allah Israel kepada orang Yahudi yang tinggal di Yehuda dan di Yerusalem.

2Apabila Zerubabel anak Sealtiel dan Yesua anak Yozadak mendengar perkhabaran nabi-nabi itu, mereka mula lagi membina Rumah TUHAN di Yerusalem. Kedua-dua orang nabi itu pun menolong mereka.

3Pada masa itu juga, Gabenor Tatnai, dari Efrat Barat, Syetar-Boznai serta rakan-rakan mereka datang ke Yerusalem. Mereka bertanya kepada orang Yahudi, "Siapakah yang memerintah kamu membina dan melengkapi Rumah Ibadat ini?"

4Mereka juga meminta nama-nama orang yang menolong membina Rumah itu.

5Tetapi Allah memperhatikan dan melindungi para pemimpin orang Yahudi itu, sehingga para pegawai kerajaan Persia membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan sebelum mereka mengirim surat kepada Raja Darius dan menerima balasan daripada baginda.

6Inilah laporan yang dikirim mereka kepada raja,

7"Kepada Raja Darius. Semoga tuanku memerintah dengan aman damai.

8Ingin kami maklumkan kepada tuanku bahawa kami telah pergi ke Yehuda dan mendapati bahawa Rumah Ibadat untuk Allah yang Besar, sedang dibina semula dengan batu-batu besar dan tembok yang dilapisi kayu. Pekerjaan itu dilakukan dengan sangat teliti dan berjalan dengan lancar.

9Kemudian kami bertanya kepada para pemimpin bangsa itu, siapa yang telah memberi mereka kebenaran untuk membina semula Rumah Ibadat serta melengkapinya.

10Kami juga menanyakan nama mereka supaya dapat memberitahukan tuanku orang yang mengetuai pekerjaan itu.

11Mereka menjawab, ‘Kami ini hamba Allah penguasa alam semesta. Kami membina semula Rumah TUHAN yang dibina dan dilengkapi berpuluh-puluh tahun yang lalu oleh seorang raja Israel yang agung.

12Tetapi oleh sebab nenek moyang kami membangkitkan kemurkaan Allah, penguasa di syurga, Dia membiarkan nenek moyang kami dikalahkan oleh Raja Nebukadnezar, keturunan Kasdim, raja di Babilonia. Rumah TUHAN dimusnahkan dan bangsa kami ditawan lalu dibawa ke Babilonia.

13Kemudian pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, raja Babilonia, baginda memberikan perintah supaya Rumah TUHAN dibina semula.

14Bahkan baginda mengembalikan juga perkakas emas dan perak yang digunakan di dalam Rumah TUHAN. Perkakas itu telah dirampas oleh Raja Nebukadnezar dari Yerusalem dan disimpan di dalam kuilnya di kota Babel. Raja Kores memberikan perkakas itu kepada seorang yang bernama Sesbazar, yang telah dilantiknya menjadi gabenor Yehuda.

15Raja menyuruh Sesbazar mengembalikan perkakas itu ke Rumah TUHAN di Yerusalem, dan membina semula Rumah itu.

16Oleh itu Sesbazar datang ke Yerusalem dan meletakkan asas Rumah TUHAN. Sejak itu hingga sekarang pembinaannya telah berjalan dengan baik, tetapi masih belum selesai.’

17Oleh itu jika diizinkan tuanku, suruhlah orang memeriksa arkib kerajaan di Babel. Dengan demikian dapatlah diketahui sama ada Raja Kores pernah memberikan perintah untuk membina semula Rumah TUHAN di Yerusalem atau tidak. Kemudian sudilah memberitahu kami apa keputusan tuanku tentang perkara itu."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ezra 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
© 2010-2021
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran