Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Filemon 1 >> 

1Surat ini daripada Paulus, yang dipenjarakan kerana mengabdikan diri kepada Kristus Yesus, dan daripada saudara kita Timotius.

2Surat ini ditujukan kepada Filemon, sahabat dan rakan kami, dan kepada jemaah yang berkumpul di rumahmu, serta kepada saudara kita Apfia, dan rakan seperjuangan kita Arkhipus.

3Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.

Kasih dan Iman Filemon

4Saudaraku Filemon, setiap kali aku berdoa, aku menyebut namamu dan bersyukur kepada Allahku.

5Aku berbuat demikian kerana aku diberitahukan bahawa kamu mengasihi semua umat Allah, dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan Yesus.

6Aku berdoa semoga persaudaraan kita sebagai orang yang percaya kepada Kristus, akan mendatangkan pengertian yang lebih mendalam tentang setiap berkat yang kita miliki kerana hidup bersatu dengan Kristus.

7Saudaraku Filemon, kasihmu bagi umat Allah sudah menggembirakan dan menggalakkan aku! Kamu menggembirakan hati semua umat Allah.

Permintaan untuk Onesimus

8Itulah sebabnya sebagai saudara yang seiman, aku sebenarnya dapat memerintah kamu melakukan apa yang harus dilakukan.

9Tetapi kerana aku mengasihi kamu, aku hanya mengajukan permintaan. Aku berbuat demikian, meskipun aku ini duta Kristus Yesus, dan sekarang aku dipenjarakan kerana Dia.

10Aku mengajukan suatu permintaan bagi pihak Onesimus, yang aku anggap seperti anak sendiri, kerana dia juga percaya kepada Kristus. Semasa di penjara, aku menjadi seperti bapa kepadanya.

11Dahulu dia tidak berguna bagimu, tetapi sekarang dia berguna bukan sahaja bagimu, tetapi bagiku juga.

12Aku menghantar dia kembali kepadamu, dia yang sangat aku kasihi.

13Sebenarnya aku ingin dia tetap di sini bersama-sama aku untuk membantu aku bagi pihakmu, selama aku dipenjarakan kerana mengisytiharkan Berita Baik.

14Tetapi aku tidak mahu memaksa kamu menolong aku. Aku lebih suka jika kamu melakukannya dengan rela hati. Oleh itu aku tidak mahu melakukan apa-apa kecuali kamu bersetuju.

15Mungkin Onesimus berpisah daripada kamu untuk sementara, supaya kamu boleh mendapatnya kembali untuk seterusnya.

16Sekarang dia bukan sahaja abdi, tetapi lebih daripada itu. Dia saudara Kristian yang dikasihi. Dia sangat bererti bagiku, dan dia lebih bererti lagi bagimu, baik sebagai abdi mahupun sebagai sesama saudara yang percaya kepada Tuhan!

17Oleh itu, jika kamu menganggap aku sebagai rakan sekerja, sambutlah dia kembali seperti kamu menyambut aku.

18Jika dia sudah bersalah atau berhutang kepadamu, biarlah aku yang menanggungnya.

19Lihatlah, kata-kata berikut aku tulis sendiri: Aku, Paulus akan melunasi semuanya. (Aku tidak perlu mengingatkan kamu bahawa kamu berhutang kepadaku kehidupanmu sebagai orang Kristian.)

20Oleh itu, demi Tuhan tolonglah aku dan gembirakanlah hatiku sebagai sesama saudara yang percaya kepada Kristus.

21Semasa menulis surat ini, aku yakin bahawa kamu akan mengabulkan permintaanku. Sebenarnya aku tahu bahawa kamu akan melakukan hal yang lebih daripada permintaanku.

22Sementara itu, tolong sediakan bilik untukku di rumahmu, kerana aku berharap Allah akan mengabulkan doa kamu semua dan membolehkan aku kembali kepada kamu.

Salam Terakhir

23Epafras, yang dipenjarakan bersama-sama aku kerana Kristus Yesus, mengirim salam kepada kamu.

24Terimalah juga salam rakan-rakan sekerjaku: Markus, Aristarkhus, Demas, dan Lukas.

25Aku berdoa semoga Tuhan Yesus Kristus memberkati kamu semua.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Filemon 1):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Filemon 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel