Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Hakim-hakim 21 >> 

Gadis-Gadis Disediakan untuk Menjadi Isteri Orang Benyamin

1Pada waktu umat Israel berkumpul di Mizpa, mereka mengangkat sumpah. Mereka berkata, "Tiada seorang pun daripada kami akan membenarkan anak-anak perempuan kami berkahwin dengan orang Benyamin."

2Sekarang umat Israel pergi ke Betel lalu duduk di hadapan Allah sehingga malam. Mereka menangis serta berseru,

3"Ya TUHAN, Allah Israel, mengapakah perkara ini terjadi? Mengapakah Israel harus kehilangan suku Benyamin?"

4Esok paginya, mereka membina sebuah mazbah di sana. Mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN.

5Kemudian mereka bertanya, "Adakah puak-puak antara segenap umat Israel yang tidak ikut beribadat kepada TUHAN di Mizpa dahulu?" (Umat Israel telah bersumpah bahawa sesiapa yang tidak pergi ke Mizpa pada masa itu mesti dihukum mati).

6Mereka kasihan terhadap suku Benyamin lalu berkata, "Pada hari ini umat Israel telah kehilangan satu daripada sukunya.

7Apakah yang harus kita lakukan untuk mendapatkan isteri bagi suku Benyamin yang tinggal itu? Kita telah bersumpah kepada TUHAN bahawa kita tidak akan membenarkan anak-anak perempuan kita berkahwin dengan mereka."

8Apabila mereka bertanya sama ada masih ada puak di kalangan segenap umat Israel yang tidak ikut beribadat kepada TUHAN di Mizpa, mereka mendapati bahawa tidak seorang pun daripada puak Yabes di Gilead pergi ke Mizpa.

9Ketika diperiksa daftar kehadiran, maka didapati bahawa tiada seorang pun dari Yabes yang hadir.

10Oleh sebab itu, orang yang berkumpul di Betel itu mengirim 12,000 orang yang paling berani ke Yabes, dengan perintah, "Bunuhlah setiap orang di Yabes, termasuk kaum wanita dan kanak-kanak.

11Bunuhlah semua kaum lelaki dan setiap perempuan yang bukan dara."

12Daripada puak yang tinggal di Yabes itu, mereka mendapati 400 orang dara yang masih muda. Mereka membawa semua anak dara itu ke perkhemahan di Silo, di tanah Kanaan.

13Setelah itu segenap umat Israel mengirim utusan kepada suku Benyamin yang di gunung-gunung batu di Rimon untuk menawarkan perdamaian.

14Dengan itu suku Benyamin pun kembali, lalu umat Israel memberi mereka anak-anak dara dari Yabes yang tidak dibunuh untuk menjadi isteri mereka. Tetapi bilangannya tidak cukup.

15Umat Israel kasihan terhadap suku Benyamin kerana TUHAN telah meretakkan kesatuan suku-suku Israel.

16Oleh sebab itu para pemimpin di perhimpunan itu berkata, "Tidak ada lagi perempuan dalam suku Benyamin. Apakah yang harus kita lakukan supaya kaum lelaki yang masih tinggal ini mendapat isteri?

17Jangan sampai Israel kehilangan satu pun daripada dua belas sukunya. Kita mesti mencari jalan supaya suku Benyamin dapat mempunyai keturunan dan tetap mewarisi seluruh tanahnya;

18tetapi kita tidak boleh membenarkan anak-anak perempuan kita berkahwin dengan mereka, kerana kita telah mengutuk sesiapa saja yang membenarkan orang Benyamin mengahwini anak perempuan kita."

19Kemudian mereka teringat bahawa perayaan tahunan bagi TUHAN yang diadakan di Silo sudah hampir. (Silo terletak di sebelah utara Betel, di sebelah selatan Lebona dan di sebelah timur jalan di antara Betel dan Sikhem).

20Kemudian para pemimpin itu berkata kepada orang Benyamin yang tinggal itu, "Bersembunyilah di ladang-ladang anggur di Silo

21dan tunggulah di sana. Apabila anak-anak gadis Silo datang untuk menari pada perayaan itu, keluarlah dari ladang-ladang anggur itu, lalu masing-masing mengambil gadis-gadis itu secara paksa. Jadikanlah mereka isteri kamu dan bawalah mereka pulang ke wilayah Benyamin.

22Jika bapa atau saudara lelaki mereka datang dan membantah, kamu boleh mengatakan, ‘Benarkanlah kami mengambil anak-anak gadis kamu itu untuk menjadi isteri kami, kerana kami tidak merampas mereka dalam peperangan. Lagi pula kamu tidak memberikan mereka kepada kami. Dengan itu kamu tidak bersalah, kerana kamu tidak melanggar sumpah.’"

23Suku Benyamin pun berbuat demikian. Masing-masing memilih seorang isteri antara gadis-gadis yang menari di Silo, lalu membawa mereka pulang. Selepas itu mereka balik ke wilayah masing-masing dan membina semula kota-kota mereka serta tinggal di sana.

24Orang Israel yang lain pun pulang kepada suku serta keluarga masing-masing, dan ke tanah milik mereka.

25Pada zaman itu umat Israel belum mempunyai raja. Tiap-tiap orang melakukan apa yang dianggapnya benar.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hakim-hakim 21 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel