Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Hakim-hakim 5 >> 

Nyanyian Debora dan Barak

1Pada hari itu, Debora dan Barak anak Abinoam menyanyikan lagu ini:

2Pujilah TUHAN! Pahlawan Israel bertekad untuk berperang; rakyat rela berjuang.

3Dengarlah, hai raja-raja! Perhatikanlah, hai para penguasa! Aku akan bernyanyi dan bermain muzik bagi TUHAN, Allah Israel.

4Ya TUHAN, apabila Engkau meninggalkan pergunungan Seir, ketika Engkau keluar dari daerah Edom, bumi bergetar dan hujan turun dari langit. Air mencurah dari awan-awan.

5Gunung bergoncang di hadapan TUHAN, penguasa Sinai, di hadapan TUHAN, Allah umat Israel.

6Pada zaman Samgar anak Anat, pada zaman Yael juga, kafilah tidak lagi melintasi negeri, pengembara mengikut jalan samping.

7Kota-kota di Israel ditinggalkan, hai Debora, sunyi sepi sehingga engkau datang; engkau datang sebagai ibu umat Israel.

8Kemudian perang berlaku di dalam negeri apabila orang Israel mula menyembah dewa. Tiada satu pun senjata yang diangkat oleh empat puluh ribu orang Israel.

9Aku bangga dengan para panglima Israel dan dengan rakyat yang rela berjuang. Pujilah TUHAN!

10Isytiharkanlah hal itu, hai kamu yang menunggang keldai putih, kamu yang duduk di atas pelana, dan kamu yang berjalan kaki.

11Dengarlah! Orang ramai di sekeliling perigi sedang memberitakan kemenangan TUHAN, kemenangan umat Israel! Kemudian umat TUHAN berarak turun dari kota-kota mereka.

12Bangkitlah, hai Debora, bangkitlah! Bangkitlah, dan bernyanyilah! Bangunlah, hai Barak anak Abinoam! Giringlah orang tawananmu!

13Kemudian para bangsawan yang tertinggal datang kepada pemimpin mereka; umat TUHAN datang kepada-Nya, siap untuk berjuang.

14Mereka datang dari Efraim ke lembah, mengikuti suku Benyamin yang berjalan di hadapan. Para panglima datang dari Makhir, para pegawai tentera dari Zebulon.

15Para pemimpin suku Isakhar datang bersama dengan Debora, pemimpin suku Isakhar datang dan Barak pun turut serta. Mereka mengikuti dia sampai ke lembah. Tetapi suku Ruben terbahagi-bahagi, mereka tidak sepakat untuk datang.

16Mengapakah mereka tidak mahu ikut, dan tinggal dengan domba? Adakah untuk mendengarkan gembala memanggil domba? Sesungguhnya suku Ruben terbahagi-bahagi, mereka tidak sepakat untuk datang.

17Suku Gad tinggal di sebelah timur Sungai Yordan, suku Dan tinggal berhampiran kapal-kapal. Suku Asyer tinggal di sepanjang pantai; mereka tetap tinggal di situ.

18Tetapi suku Zebulon dan suku Naftali mempertaruhkan nyawa di medan perang.

19Di Taanakh, dekat sungai di Megido, raja-raja datang untuk berperang; raja-raja Kanaan berjuang, tetapi mereka tidak mengambil perak sebagai jarahan.

20Dari tempat peredaran bintang di angkasa, bintang turut berjuang melawan Sisera.

21Air deras Sungai Kison menghanyutkan musuh. Aku akan terus maju dengan kekuatan!

22Lalu kuda menderap dengan laju, menghentam-hentam dengan telapak.

23"Kutuklah Meros," sabda malaikat TUHAN, "kutuklah, kutuklah penduduk di sana. Mereka tidak datang memberikan bantuan sebagai pahlawan yang berjuang untuk TUHAN."

24Diberkatilah Yael, isteri Heber, orang Keni itu. Dialah wanita yang paling diberkati di kalangan semua wanita yang tinggal di khemah.

25Sisera meminta air, tetapi Yael memberi dia susu, Yael memberi dia susu pekat di dalam cawan yang cantik.

26Dengan sebelah tangan dia memegang pasak, dengan tangan yang sebelah lagi dia memegang tukul; Yael menukul pelipis Sisera, dia memalu dan meremukkan kepala Sisera.

27Sisera jatuh dan rebah terlentang; di kaki Yael dia rebah dan meninggal.

28Ibu Sisera menjenguk dari tingkap; dia menatap dari kisi-kisi jendela. Dia bertanya, "Mengapakah kereta kudanya belum tiba lagi? Mengapakah kudanya lambat sekali kembali?"

29Dayang-dayangnya yang paling bijak menjawab, demikian juga berulang-ulang dia sendiri berkata,

30"Mereka sedang mengambil barang jarahan untuk dibahagi-bahagikan, supaya setiap askar mendapat satu atau dua orang anak dara; Sisera mendapat kain berharga, permaisuri mendapat selendang bersulam aneka warna."

31Semoga semua musuh-Mu, ya TUHAN, mati seperti Sisera; tetapi semoga sahabat-Mu megah seperti suria di angkasa! Kemudian negeri itu aman selama empat puluh tahun.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hakim-hakim 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel