Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Hosea 9 >> 

Hosea Mengumumkan Hukuman untuk Israel

1Hai orang Israel, berhentilah merayakan perayaan seperti bangsa-bangsa lain. Kamu telah meninggalkan Allah kamu dan tidak setia kepada-Nya. Di setiap tempat pengirikan gandum, kamu telah menjual diri seperti pelacur kepada Dewa Baal. Kamu suka menerima gandum yang kamu anggap sebagai upah dewa itu kepada kamu.

2Tetapi tidak lama lagi kamu akan kekurangan gandum dan minyak zaitun, dan wain kamu akan habis.

3Kamu, orang Israel tidak akan tinggal di negeri yang diberikan TUHAN kepada kamu. Kamu harus kembali ke Mesir dan makan makanan haram di Asyur.

4Di negeri-negeri itu kamu tidak akan dapat mempersembahkan wain dan korban binatang untuk menyenangkan hati TUHAN. Makanan kamu akan menajiskan semua orang yang memakannya, seperti makanan yang dimakan pada masa upacara penguburan. Makanan kamu hanya untuk menahan lapar; sedikit pun tidak akan dibawa sebagai persembahan ke Rumah TUHAN.

5Pada masa perayaan agama untuk menghormati TUHAN, kamu tidak akan dapat melakukan apa-apa untuk merayakannya.

6Apabila malapetaka tiba dan rakyat tercerai-cerai, orang Mesir akan mengumpulkan kamu untuk dibunuh dan untuk dikuburkan di Memfis! Harta kamu daripada perak dan tempat rumah kamu dahulu akan diliputi rumput dan semak berduri.

7Masa penghukuman telah tiba, masa untuk menerima pembalasan. Israel akan tahu apabila perkara ini berlaku. Kamu berkata, "Nabi ini bodoh. Utusan Allah ini gila." Kamu begitu membenci aku kerana dosa kamu sangat besar.

8Allah telah mengutus aku sebagai nabi untuk memberikan amaran kepada umat-Nya Israel. Namun ke mana sahaja aku pergi, kamu berusaha untuk memerangkap aku seperti memerangkap burung. Di negeri milik Allah sendiri, nabi-nabi-Nya dimusuhi rakyat.

9Perbuatan kamu sangat jahat, seperti yang pernah dilakukan orang di Gibea. TUHAN akan mengingat dosa kamu dan menghukum kamu.

Dosa Israel dan Akibatnya

10TUHAN berfirman, "Ketika Aku mula-mula menemukan Israel, Aku gembira seperti orang menemukan buah anggur di padang gurun. Apabila Aku mula-mula nampak nenek moyang kamu, Aku senang hati seperti orang nampak buah ara yang mula-mula masak pada musim buah. Tetapi apabila mereka sampai di Gunung Peor, mereka mula menyembah Baal, sehingga mereka menjijikkan seperti berhala-berhala yang dicintai mereka.

11Kebesaran Israel akan terbang menghilang seperti burung. Mereka tidak akan mendapat anak lagi. Wanita mereka pun tidak akan mengandung lagi.

12Sekalipun anak-anak dilahirkan dan dibesarkan, Aku akan mengambil anak-anak mereka itu dan tidak seorang pun akan hidup. Apabila Aku meninggalkan kamu, perkara-perkara yang dahsyat akan menimpa kamu."

13Ya TUHAN, aku nampak anak-anak mereka diburu dan dibunuh.

14Apakah yang harus aku minta daripada-Mu untuk umat ini? Jadikanlah wanita mereka mandul! Biarlah mereka tidak dapat menyusui bayi.

Hukuman TUHAN atas Israel

15TUHAN berfirman, "Segala kejahatan mereka itu bermula di Gilgal. Di sanalah Aku mula membenci mereka. Aku akan mengusir mereka dari negeri-Ku kerana kejahatan yang dilakukan mereka. Aku tidak mengasihi mereka lagi. Semua pemimpin mereka telah memberontak terhadap Aku.

16Orang Israel seperti pokok yang tidak berbuah dan akarnya telah kering. Mereka tidak akan melahirkan anak. Sekalipun mereka mempunyai anak, Aku akan membunuh anak-anak yang dikasihi mereka."

Nabi Hosea Berkata-kata tentang Israel

17Allah yang aku sembah akan menolak umat-Nya, kerana mereka tidak mendengarkan Dia. Mereka akan menjadi perantau di kalangan bangsa-bangsa.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hosea 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel