Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 22 >> 

Perumpamaan tentang Majlis Perkahwinan

1Yesus berkata-kata lagi kepada orang ramai dengan menggunakan perumpamaan.

2Dia berkata, "Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti perumpamaan ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk puteranya.

3Raja menyuruh hamba-hambanya memberitahu para jemputan supaya datang ke majlis jamuan itu. Tetapi mereka tidak mahu datang.

4Kemudian raja itu menyuruh hamba-hambanya yang lain. Raja bertitah, ‘Beritahu para jemputan itu bahawa jamuan sudah disiapkan; lembu jantan dan anak-anak lembu yang terbaik sudah disembelih, dan semuanya sudah tersedia. Datanglah ke majlis perkahwinan!’

5Tetapi para jemputan itu tidak peduli. Mereka pergi melakukan pekerjaan masing-masing: Yang seorang pergi ke ladang, yang seorang lagi pergi ke kedai,

6sedang yang lain menangkap hamba-hamba itu, lalu memukul dan membunuh mereka.

7Raja itu sangat murka dan menyuruh askar-askarnya membunuh semua pembunuh itu serta membakar kota mereka.

8Lalu raja memanggil hamba-hambanya dan bertitah, ‘Majlis perkahwinan sudah siap, tetapi semua orang yang dijemput itu tidak layak menerima jemputan itu.

9Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemputlah seberapa banyak mungkin orang yang kamu temui, ke majlis perkahwinan ini.’

10Demikianlah hamba-hamba raja itu pergi ke jalan raya dan mengumpulkan semua orang yang dijumpai mereka, orang yang baik mahupun yang jahat. Lalu penuhlah balai majlis jamuan itu dengan tetamu.

11Raja itu masuk untuk melihat para tetamunya, dan raja nampak seorang yang tidak memakai pakaian pesta.

12Raja bertitah kepadanya, ‘Kawan, engkau tidak memakai pakaian pesta. Engkau tidak patut berada di sini.’ Orang itu tidak berkata sepatah pun.

13Lalu raja itu bertitah kepada hamba-hambanya, ‘Ikat kaki dan tangan orang ini, dan buang dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana orang akan menangis dan menderita.’"

14Lalu Yesus mengakhiri perumpamaan itu sambil berkata, "Banyak yang dijemput, tetapi hanya sedikit yang terpilih."

Pertanyaan tentang Pembayaran Cukai

15Beberapa orang Farisi pergi dan berkomplot untuk memerangkap Yesus dengan pertanyaan.

16Mereka mengutus pengikut-pengikut mereka dan beberapa orang anggota golongan Herodes kepada Yesus. Mereka yang diutus berkata, "Guru, kami tahu bahawa guru jujur. Dengan terus terang guru mengajarkan kehendak Allah bagi manusia. Guru tidak menghiraukan pendapat orang lain, kerana guru tidak memandang kedudukan orang.

17Oleh itu, beritahu kami pendapat guru. Menurut Taurat, bolehkah kita bayar cukai kepada Kaisar Roma? Haruskah kita bayar cukai atau tidak?"

18Yesus mengetahui maksud mereka yang jahat itu, lalu berkata, "Kamu munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap Aku?

19Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai!" Lalu mereka memberikan mata wang itu kepada Yesus.

20Yesus bertanya kepada mereka, "Gambar dan nama siapakah ini?"

21"Kaisar," jawab mereka. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, "Jika demikian, berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan apa yang menjadi milik Allah kepada Allah."

22Apabila mereka mendengar penjelasan itu, mereka hairan. Mereka meninggalkan Yesus lalu pergi.

Pertanyaan tentang Kebangkitan daripada Kematian

23Pada hari itu juga, beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula.

24"Guru," kata mereka, "Musa mengajarkan demikian: ‘Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya untuk memberikan keturunan kepada orang yang sudah meninggal itu.’

25Dahulu ada tujuh orang adik-beradik tinggal di sini. Yang sulung berkahwin lalu meninggal tanpa mempunyai anak. Oleh itu, saudara yang kedua berkahwin dengan balunya.

26Saudara yang kedua pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara yang ketiga dan seterusnya sehingga kepada yang ketujuh.

27Akhirnya wanita itu meninggal.

28Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Mereka semua telah berkahwin dengan dia."

29Yesus menjawab, "Pendapat kamu salah sekali! Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah.

30Apabila orang mati dibangkitkan semula, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga: Mereka tidak berkahwin.

31Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca apa yang difirmankan oleh Allah? Allah berfirman,

32‘Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati."

33Apabila orang ramai mendengar penjelasan Yesus, mereka hairan mendengar ajaran-Nya.

Perintah yang Terutama

34Apabila orang Farisi mendengar bahawa Yesus telah menyebabkan orang Saduki tidak dapat berkata sepatah pun, mereka datang berkumpul.

35Lalu seorang guru Taurat antara mereka, cuba memerangkap Yesus dengan sebuah pertanyaan.

36Dia bertanya, "Guru, perintah manakah yang paling utama dalam Taurat?"

37Yesus menjawab, "‘Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.’

38Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting!

39Perintah kedua sama pentingnya dengan yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.

40Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan kedua-dua perintah ini."

Pertanyaan tentang Penyelamat yang Diutus oleh Allah

41Apabila orang Farisi berkumpul bersama-sama, Yesus bertanya kepada mereka,

42"Apa pendapat kamu tentang Penyelamat yang diutus oleh Allah? Keturunan siapakah Dia?" "Keturunan Daud," jawab mereka.

43"Jika demikian," tanya Yesus, "mengapa Daud, ketika diilhami oleh Roh Allah menyebut Penyelamat itu ‘Tuhan’? Daud berkata,

44‘Tuhan telah berfirman kepada Tuhanku: duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menaklukkan musuh-Mu kepada-Mu.’

45Jika Daud menyebut Penyelamat yang diutus oleh Allah itu ‘Tuhan’, bagaimana mungkin Penyelamat itu keturunan Daud?"

46Tidak seorang pun dapat menjawab pertanyaan Yesus. Sejak hari itu, tidak seorang pun berani menanya Yesus soalan apa pun.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Matius 22):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Matius 22 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel