Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 28 >> 

Kebangkitan Yesus

1Setelah hari Sabat berlalu dan fajar mula menyingsing pada hari Ahad, Maria Magdalena dan Maria yang lain pergi melihat kubur Yesus.

2Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat. Malaikat Tuhan turun dari syurga, menggulingkan batu penutup kubur itu lalu duduk di atasnya.

3Rupa malaikat itu terang seperti kilat dan pakaiannya putih seperti salji.

4Askar-askar pengawal di situ begitu ketakutan sehingga mereka gementar lalu rebah seperti orang mati.

5Malaikat itu berkata kepada wanita-wanita itu, "Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus yang telah disalibkan itu.

6Dia tidak ada di sini. Dia sudah bangkit seperti yang dikatakan-Nya dahulu. Marilah lihat tempat jenazah Yesus diletakkan.

7Sekarang, cepatlah pergi dan beritahu pengikut-pengikut-Nya, ‘Dia sudah dibangkitkan daripada kematian, dan sekarang Dia pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu. Di sana kamu akan melihat Dia.’ Ingatlah akan apa yang aku katakan kepada kamu."

8Dengan cepat mereka meninggalkan kubur itu; mereka takut tetapi juga bersukacita. Lalu mereka lari memberitahu pengikut-pengikut Yesus.

9Tiba-tiba Yesus datang menemui wanita-wanita itu dan berkata, "Sejahteralah kamu." Mereka menghampiri Dia, memegang kaki-Nya, dan menyembah Dia.

10"Janganlah takut," kata Yesus kepada mereka, "pergilah beritahu saudara-saudara-Ku supaya pergi ke Galilea; di sana mereka akan melihat Aku."

Laporan Askar Pengawal

11Sementara wanita-wanita itu meneruskan perjalanan, beberapa orang askar yang mengawal kubur itu kembali ke kota dan memberitahu ketua-ketua imam segala yang sudah berlaku.

12Ketua-ketua imam berunding dengan para pemimpin masyarakat Yahudi, dan mengambil keputusan untuk memberikan wang yang banyak kepada askar-askar pengawal itu.

13Mereka berkata kepada askar-askar itu, "Kamu harus mengatakan bahawa pengikut-pengikut Yesus datang pada malam hari dan mencuri jenazah Yesus ketika kamu tidur.

14Jika gabenor mendengar hal ini, kami akan meyakinkan dia bahawa kamu tidak bersalah. Kamu tidak usah khuatir."

15Askar-askar pengawal mengambil wang itu dan berbuat seperti yang disuruh mereka. Sehingga hari ini, cerita itu masih tersebar di kalangan orang Yahudi.

Yesus Menampakkan Diri kepada Pengikut-Pengikut-Nya

16Sebelas orang pengikut Yesus pergi ke bukit di Galilea seperti yang diperintahkan oleh Yesus kepada mereka.

17Apabila mereka melihat Yesus, mereka menyembah Dia meskipun ada di kalangan mereka yang ragu-ragu.

18Yesus menghampiri mereka lalu berkata, "Aku telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi.

19Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah.

20Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah Aku perintahkan. Ingatlah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman."


  Share Facebook  |  Share Twitter

Studi lengkap, silahkan lihat: Alkitab SABDA.
Dengar dan baca Alkitab Karaoke, silahkan kunjungi: Alkitab Karaoke.
Rencana Multimedia Baca Alkitab: BaDeNo.
Studi Alkitab dengan AI: Alkitab GPT | AI-PEDIA.
Download Audio MP3 (Matius 28):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Matius 28 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Alkitab GPT
Bantuan
Dual Panel Dual Panel