Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 8 >> 

Yesus Menyembuhkan Seorang Berpenyakit Kulit

1Yesus turun dari bukit, dan banyak orang mengikuti Dia.

2Lalu seorang berpenyakit kulit yang mengerikan datang dan berlutut di hadapan-Nya. Dia berkata, "Tuan, jika Tuan sudi, Tuan dapat menyembuhkan saya."

3Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia dan berkata, "Aku mahu. Sembuhlah!" Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi.

4Lalu Yesus berkata kepadanya, "Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini, tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhanmu. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh."

Yesus Menyembuhkan Seorang Hamba Ketua Askar Roma

5Apabila Yesus masuk ke Kapernaum, seorang ketua askar Roma menjumpai Dia lalu memohon kepada-Nya,

6"Tuan, orang suruhan saya sakit di rumah, dia terbaring di katil dan tidak dapat bergerak. Dia sangat menderita."

7Yesus berkata kepadanya, "Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkan dia."

8Tetapi ketua askar itu menjawab, "Tuan tidak usah datang ke rumah. Saya tidak layak menyambut Tuan ke rumah saya. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh.

9Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi; apabila saya menyuruh askar lain, ‘Ke mari!’ dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya."

10Yesus hairan mendengar hal itu, lalu Dia berkata kepada orang ramai yang mengikut Dia, "Ketahuilah, belum pernah Aku menjumpai sesiapa pun antara umat Israel yang mempunyai iman sebesar ini.

11Ketahuilah! Banyak orang akan datang dari timur dan dari barat, lalu menikmati perjamuan di Dunia Baru Allah bersama-sama Abraham, Ishak, dan Yakub.

12Tetapi orang yang seharusnya menikmati Pemerintahan Allah akan dibuang ke kegelapan di luar; di sana mereka akan menangis dan menderita."

13Lalu Yesus berkata kepada ketua askar itu, "Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan berlaku." Hamba ketua askar itu pun sembuh pada saat itu juga.

Yesus Menyembuhkan Banyak Orang

14Yesus pergi ke rumah Petrus. Di situ Dia melihat ibu mentua Petrus sedang berbaring di tempat tidur kerana demam.

15Yesus menjamah tangannya, lalu demamnya hilang dengan serta-merta. Dia pun bangun lalu mula melayani Yesus.

16Apabila hari sudah petang, orang ramai membawa banyak orang yang kerasukan roh jahat kepada Yesus. Yesus mengusir roh-roh jahat itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua orang sakit.

17Yesus melakukan semua itu supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, "Dia menanggung penderitaan kita dan menyembuhkan penyakit kita."

Orang yang Hendak Menjadi Pengikut Yesus

18Yesus nampak orang ramai di sekeliling-Nya, lalu Dia menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi ke seberang tasik.

19Seorang guru Taurat datang kepada Yesus dan berkata, "Guru, saya bersedia mengikut guru ke mana sahaja guru pergi!"

20Yesus menjawab, "Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat."

21Lalu seorang pengikut yang lain berkata, "Tuan, izinkanlah saya balik terlebih dahulu untuk menguburkan jenazah bapa saya."

22Tetapi Yesus menjawab, "Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka sendiri."

Yesus Meneduhkan Ribut

23Yesus menaiki sebuah perahu dan pengikut-pengikut-Nya pergi bersama-sama Dia.

24Tiba-tiba ribut membadai dan melanda tasik itu sehingga ombak memenuhi perahu. Tetapi Yesus sedang tidur.

25Oleh itu pengikut-pengikut-Nya pergi kepada-Nya lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, "Ya Tuhan, selamatkanlah kami! Kita hampir mati!"

26Yesus menjawab, "Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu kurang percaya kepada-Ku?" Lalu Yesus bangun dan menengking angin dan ombak itu. Dengan segera tasik itu menjadi tenang sekali.

27Para pengikut Yesus hairan. Mereka berkata, "Angin dan ombak pun taat kepada perintah-Nya. Orang apakah Dia ini?"

Yesus Menyembuhkan Dua Orang yang Dirasuk Roh Jahat

28Apabila Yesus tiba di seberang tasik di daerah Gadara, Dia didatangi oleh dua orang yang dirasuk roh jahat. Mereka keluar dari gua kubur dan mereka sangat ganas, sehingga tiada sesiapa pun berani lalu di situ.

29Apabila mereka melihat Yesus, mereka berseru, "Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap kami, hai Anak Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum waktunya?"

30Tidak jauh dari situ, ada kawanan babi yang sedang makan.

31Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, "Jika Engkau hendak memerintah kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam kawanan babi itu."

32"Pergilah," kata Yesus. Dengan segera roh-roh jahat itu meninggalkan kedua-dua orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi itu. Semua babi itu lari ke pinggir jurang, terjun ke dalam tasik lalu tenggelam.

33Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan segala perkara itu dan apa yang telah berlaku kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh jahat.

34Semua orang di bandar itu pergi menjumpai Yesus. Apabila mereka melihat Yesus, mereka memohon supaya Dia meninggalkan kawasan mereka.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Matius 8):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Matius 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel