Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 5 >> 

Yesus Menyembuhkan Orang yang Dirasuk Roh Jahat

1Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di seberang Tasik Galilea, di daerah Gerasa.

2Sebaik sahaja Yesus turun dari perahu, Dia didatangi oleh seorang lelaki yang keluar dari gua kubur.

3Orang itu dirasuk roh jahat dan tinggal di kawasan perkuburan. Tiada seorang pun dapat mengikat dia lagi, walaupun dengan rantai.

4Banyak kali kaki dan tangannya dirantai, tetapi dia sentiasa memutuskan rantai itu dan mematahkan belenggu besi pada kakinya. Dia begitu kuat sehingga tiada seorang pun dapat menahaninya.

5Siang malam dia berkeliaran di kuburan dan di bukit, sambil berteriak-teriak dan melukai tubuhnya dengan batu.

6Dia masih jauh tatkala dia nampak Yesus. Segera dia lari mendekati Yesus lalu sujud di hadapan-Nya.

7Dengan suara keras dia berseru, "Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Demi Allah, aku memohon, janganlah seksa aku!"

8(Dia berkata demikian kerana Yesus berkata kepadanya, "Roh jahat, keluarlah daripada orang ini!")

9Lalu Yesus bertanya kepadanya, "Siapa namamu?" Orang itu menjawab, "‘Legiun’ -- kerana kami ini banyak sekali."

10Dia memohon dengan sangat supaya Yesus tidak menyuruh roh-roh jahat itu keluar dari kawasan itu.

11Dekat tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit.

12Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, "Suruhlah kami masuk ke dalam babi-babi itu."

13Yesus bersetuju. Kemudian roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam babi-babi itu. Kesemua babi itu -- lebih kurang dua ribu ekor -- terjun dari pinggir jurang ke dalam tasik lalu tenggelam.

14Penjaga-penjaga kawanan babi itu lari dan menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung. Lalu penduduk keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku.

15Mereka datang kepada Yesus dan nampak orang yang tadinya dirasuk roh jahat, duduk di situ. Dia sudah berpakaian dan fikirannya waras. Mereka semua ketakutan.

16Semua orang yang telah menyaksikan perkara itu memberitahu mereka apa yang sudah berlaku kepada orang itu dan kawanan babi itu.

17Oleh itu mereka meminta Yesus meninggalkan daerah itu.

18Ketika Yesus menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh jahat memohon kepada-Nya, "Guru, benarkanlah saya mengikut guru."

19Tetapi Yesus tidak membenarkan dia ikut. Sebaliknya Yesus berkata kepadanya, "Pulanglah kepada keluargamu dan beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan dan betapa baiknya Dia kepadamu!"

20Demikianlah orang itu pergi ke seluruh daerah Sepuluh Kota dan memberitakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya. Semua orang yang mendengarnya kehairanan.

Anak Perempuan Yairus dan Wanita yang Menyentuh Jubah Yesus

21Yesus kembali ke seberang tasik. Di pantai tasik itu, banyak sekali orang datang berkumpul di sekeliling Yesus.

22Yairus, ketua rumah ibadat tempatan, datang juga dan ketika dia melihat Yesus, dia sujud di hadapan Yesus.

23Dia memohon dengan sungguh-sungguh, "Guru, anak perempuan saya sakit tenat. Tolonglah datang dan letakkanlah tangan guru padanya, supaya dia sembuh dan tidak mati!"

24Yesus pun pergi bersama-sama Yairus. Orang yang mengikut Yesus amat banyak sehingga Dia diasak dari semua sisi.

25Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya selama dua belas tahun.

26Dia sudah menghabiskan segala hartanya untuk membayar rawatan doktor, tetapi dia tidak sembuh, malahan semakin parah keadaannya.

27Wanita itu telah mendengar banyak hal tentang Yesus. Oleh itu dia datang ke tengah-tengah orang ramai dan mendekati Yesus dari belakang.

28"Jika aku dapat menyentuh jubah-Nya," kata wanita itu dalam hati, "tentu aku akan sembuh."

29Dia menyentuh jubah Yesus dan seketika itu juga pendarahannya berhenti. Wanita itu berasa dirinya sudah sembuh.

30Pada saat itu juga Yesus menyedari ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya. Yesus berpaling kepada orang ramai dan bertanya, "Siapa yang menyentuh jubah-Ku?"

31Pengikut-pengikut-Nya berkata, "Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Guru. Mengapa Guru bertanya siapa yang menyentuh Guru?"

32Tetapi Yesus memandang di sekeliling-Nya untuk mencari orang yang telah menyentuh-Nya.

33Wanita itu tahu akan apa yang telah berlaku pada dirinya. Dia gementar kerana takut, lalu sujud di hadapan Yesus dan memberitahu Dia segala-galanya.

34Yesus berkata kepada wanita itu, "Hai anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera. Kamu sihat sekarang!"

35Semasa Yesus berkata demikian, beberapa orang pesuruh datang dari rumah Yairus dan memberitahu Yairus, "Anak perempuan tuan sudah meninggal. Tak usah tuan susahkan guru lagi."

36Yesus tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh mereka, tetapi Dia berkata kepada Yairus, "Jangan takut, percayalah kepada-Ku!"

37Setelah itu Yesus tidak membenarkan sesiapa pun mengikut Dia kecuali Petrus, Yakobus, dan Yohanes, saudara Yakobus.

38Apabila mereka tiba di rumah Yairus, Yesus melihat keadaan yang kecoh serta mendengar tangisan dan ratapan yang kuat.

39Lalu Yesus masuk dan berkata kepada mereka, "Mengapa sangat kecoh dan mengapa menangis? Anak itu tidak mati; dia hanya tidur!"

40Mereka mula mentertawakan Yesus. Oleh itu Yesus menyuruh mereka semua keluar. Dia mengajak ibu bapa anak itu serta ketiga-tiga orang pengikut-Nya masuk ke dalam bilik tempat anak itu berbaring.

41Yesus memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, "Talitha kum," yang bererti, "Anak perempuan, Aku berkata kepadamu: Bangun!"

42Anak perempuan itu segera bangun lalu berjalan. (Umurnya dua belas tahun.) Ketika peristiwa itu berlaku, mereka semua sangat kagum.

43Tetapi dengan tegas Yesus melarang mereka memberitahukan hal itu kepada sesiapa pun. Lalu Dia berkata, "Berilah anak ini makanan."


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Markus 5):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Markus 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel