Doa Keyakinan
1Mazmur Daud. Jagalah aku, ya Allah, kerana aku berlindung kepada-Mu.
2Aku berkata kepada TUHAN, "Engkaulah Tuhanku; tiada yang baik bagiku selain Engkau."
3Betapa baiknya umat yang setia kepada Allah! Aku sangat ingin bersama-sama mereka.
4Mereka yang menyembah dewa-dewa bertambah-tambah kesusahan mereka. Aku tidak mahu turut serta mempersembahkan korban; aku tidak mahu menyembah dewa mereka.
5Ya TUHAN, hanya Engkau yang aku miliki, Engkau memberi aku segala keperluanku; nyawaku ada di dalam tangan-Mu.
6Sungguh indah pemberian-Mu kepadaku; betapa baiknya semua itu!
7Aku memuji TUHAN kerana Engkau membimbing aku, pada waktu malam suara hatiku mengajar aku.
8Aku sentiasa sedar akan hadirat TUHAN; Engkau ada di sampingku, tiada suatu pun dapat menggoncang aku.
9Demikianlah hatiku bersyukur dan gembira, dan aku selamat,
10kerana Engkau tidak akan membiarkan aku mati; orang yang Engkau kasihi tidak Kaubiarkan binasa.
11Jalan yang menuju kehidupan Engkau tunjukkan kepadaku; hadirat-Mu menggembirakan aku, dan sentiasa membahagiakan aku.