Berharap kepada Allah
1Mazmur Daud. (31-2) Aku berlindung pada-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan. Engkau Allah yang adil; selamatkanlah aku.
2(31-3) Dengarlah aku! Selamatkanlah aku dengan segera! Jadilah penaungku untuk melindungi aku, dan pembelaku untuk menyelamatkan aku.
3(31-4) Engkaulah penaungku dan pembelaku; bimbinglah aku menurut janji-Mu.
4(31-5) Selamatkanlah aku daripada perangkap yang dipasang untukku; Engkaulah tempat perlindunganku.
5(31-6) Aku serahkan diriku kepada jagaan-Mu. Engkau akan menyelamatkan aku, ya TUHAN, Allah yang setia.
6(31-7) Engkau membenci orang yang menyembah berhala, tetapi aku percaya kepada TUHAN.
7(31-8) Aku akan bergembira dan bergirang, kerana Engkau tetap mengasihi aku. Engkau nampak penderitaanku; Engkau tahu kesusahanku.
8(31-9) Engkau tidak membenarkan aku ditawan musuh; Engkau membolehkan aku berjalan dengan bebas.
9(31-10) Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku dalam kesusahan; mataku pedih kerana menangis; jiwa ragaku merana.
10(31-11) Kedukaan telah menyingkatkan hidupku, dan tangisan telah memendekkan umurku. Kesihatanku merosot kerana kesusahanku, bahkan tulangku menjadi rapuh.
11(31-12) Semua musuhku mentertawakan aku; jiran-jiranku menghina aku; mereka yang mengenal aku takut akan aku; mereka lari apabila nampak aku di jalan.
12(31-13) Aku dilupakan seolah-olah aku sudah mati; aku umpama barang terbuang.
13(31-14) Aku mendengar bisikan musuhku; perkara dahsyat terdapat di sekelilingku. Mereka berkomplot menentang aku, dan merancang hendak membunuh aku.
14(31-15) Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN; Engkaulah Allahku.
15(31-16) Aku sentiasa berada dalam jagaan-Mu; selamatkanlah aku daripada musuhku dan daripada mereka yang menganiaya aku.
16(31-17) Semoga Engkau berkenan kepada hamba-Mu; selamatkanlah aku demi kasih-Mu.
17(31-18) Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; jangan biarkan aku dipermalukan. Biarlah orang jahat dipermalukan, dan turun ke alam maut dengan senyap.
18(31-19) Biarlah pembohong menjadi kelu, kerana mereka sombong dan menghina orang jujur.
19(31-20) Betapa limpahnya kebaikan-Mu yang Engkau sediakan untuk orang yang menghormati Engkau. Setiap orang melihat kebaikan yang Engkau lakukan bagi mereka yang berlindung kepada-Mu.
20(31-21) Engkau menyembunyikan mereka di tempat hadirat-Mu, yang selamat daripada komplot manusia; Engkau menyembunyikan mereka di tempat perlindungan yang selamat daripada hinaan musuh mereka.
21(31-22) Terpujilah TUHAN! Sangat mengagumkan kasih-Nya bagiku, ketika aku dikepung dan diserang oleh musuh.
22(31-23) Aku takut dan menyangka bahawa TUHAN telah mengusir aku dari hadirat-Nya. Tetapi Dia telah mendengar seruanku, ketika aku minta pertolongan-Nya.
23(31-24) Kasihilah TUHAN, hai semua umat-Nya yang setia. TUHAN melindungi orang yang setia, tetapi menghukum orang yang sombong.
24(31-25) Kuatkanlah dan teguhkanlah hati kamu, kamu semua yang berharap kepada TUHAN.