Kejahatan Manusia dan Kebaikan Allah
1Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud, hamba TUHAN. (36-2)
Kejahatan Manusia
Dosa bertutur dalam lubuk hati orang jahat, mereka menyangkal Allah dan tidak takut kepada-Nya,
2(36-3) kerana mereka membanggakan diri, dan berfikir dosa mereka tidak akan diketahui dan tidak dibenci.
3(36-4) Kata-kata mereka penuh dengan kejahatan dan dusta, mereka tidak lagi melakukan yang baik dan bijaksana.
4(36-5) Mereka merancang kejahatan ketika berbaring di katil; tiada perbuatan mereka yang baik, dan mereka tidak pernah menolak apa-apa yang jahat.
5(36-6)
Kebaikan Allah
Ya TUHAN, kasih-Mu membumbung setinggi langit, kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi.
6(36-7) Kebaikan-Mu teguh seperti gunung yang besar, dan keadilan-Mu sedalam laut. Engkau menjaga manusia dan haiwan.
7(36-8) Ya Allah, betapa berharganya kasih-Mu, manusia mendapat perlindungan di bawah naungan sayap-Mu.
8(36-9) Mereka mengenyangkan diri dengan makanan berlimpah dari rumah-Mu; Engkau memberi mereka minuman dari sungai kebaikan-Mu.
9(36-10) Engkaulah sumber segala kehidupan, dan kerana cahaya-Mu, kami dapat melihat cahaya.
10(36-11) Tetaplah mengasihi orang yang mengenal Engkau, dan berbuat baik kepada orang yang tulus hati.
11(36-12) Jangan biarkan orang sombong menyerang aku ataupun orang jahat menyebabkan aku lari.
12(36-13) Lihatlah, orang jahat sudah jatuh, mereka rebah, tidak dapat bangun lagi.