Pengakuan Orang yang Menderita
1Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Untuk Yedutun. (39-2) Aku berkata, "Aku akan berhati-hati dengan perbuatanku, dan tidak akan berdosa dengan lidahku. Aku tidak akan berkata apa-apa selama orang jahat berada di sisiku."
2(39-3) Aku diam membatu, tidak berkata sepatah pun, walaupun tentang perkara yang baik. Tetapi penderitaanku bertambah berat,
3(39-4) dan hatiku penuh kecemasan. Semakin aku berfikir, semakin susah hatiku; lalu aku bertanya,
4(39-5) "Ya TUHAN, beritahulah aku masa kematianku supaya aku tahu betapa singkatnya hidupku."
5(39-6) Betapa pendeknya umurku Engkau tentukan! Bagi Engkau, seumur hidupku tidak bererti apa-apa. Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas,
6(39-7) hidup mereka berlalu seperti bayangan. Segala perbuatan mereka sia-sia; mereka mengumpulkan harta, tetapi tidak tahu siapa akan mewarisinya.
7(39-8) Apakah yang boleh aku harapkan, ya Tuhan? Aku berharap kepada-Mu.
8(39-9) Selamatkanlah aku daripada segala dosaku, dan jangan biarkan aku menjadi ejekan orang dungu.
9(39-10) Aku diam dan tidak membuka mulutku, kerana inilah perbuatan-Mu.
10(39-11) Janganlah hukum aku lagi, aku hampir mati kerana pukulan-Mu.
11(39-12) Engkau menghukum dosa manusia dengan teguran-Mu, dan seperti gegat, Engkau memusnahkan kesukaan mereka. Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas sahaja.
12(39-13) Dengarlah doaku, ya TUHAN, dan sambutlah rayuanku; janganlah diam ketika aku menangis. Aku menjadi tetamu-Mu hanya untuk sementara, seperti nenek moyangku.
13(39-14) Janganlah ganggu aku supaya aku dapat sedikit kebahagiaan, sebelum aku meninggal dan tiada lagi.