Doa untuk Kesejahteraan Bangsa
1Untuk pemimpin koir. Mazmur puak Korah. (85-2) Ya TUHAN, Engkau berbelas kasihan terhadap negeri-Mu; Engkau telah menjadikan Israel makmur semula.
2(85-3) Engkau telah mengampunkan dosa umat-Mu dan memaafkan segala kesalahan mereka.
3(85-4) Engkau tidak murka lagi terhadap mereka, dan telah menahan kemurkaan-Mu yang menyala-nyala.
4(85-5) Pulihkanlah kami, ya Allah penyelamat kami, jangan murka lagi kepada kami.
5(85-6) Adakah Engkau akan murka kepada kami selama-lamanya? Adakah kemurkaan-Mu tidak akan padam?
6(85-7) Kuatkanlah kami semula, lalu kami, umat-Mu akan memuji Engkau.
7(85-8) Tunjukkanlah bahawa Engkau tetap mengasihi kami, tolonglah dan selamatkanlah kami, ya TUHAN.
8(85-9) Aku mendengar apa yang difirmankan TUHAN Allah; Dia menjanjikan kesejahteraan kepada kita, umat-Nya, jika kita tidak kembali berbuat dosa.
9(85-10) Pasti Dia akan menyelamatkan orang yang menghormati Dia, supaya Allah yang agung tinggal di negeri kita.
10(85-11) Kasih dan kesetiaan akan bertemu; keadilan dan kesejahteraan akan berdampingan.
11(85-12) Kesetiaan manusia akan naik dari bumi, dan keadilan Allah akan menjenguk dari syurga.
12(85-13) TUHAN akan menjadikan kita makmur, dan tanah kita akan mengeluarkan hasil yang banyak.
13(85-14) Keadilan akan mendahului TUHAN, dan menyediakan jalan untuk-Nya.