Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Nehemia 8 >> 

Ezra Membacakan Taurat bagi Rakyat

1Pada bulan ketujuh, orang Israel telah menetap di kota masing-masing. Pada hari pertama bulan itu, mereka semua berkumpul di Yerusalem, di lapangan dekat Pintu Gerbang Air. Mereka minta supaya kitab Taurat diambil oleh Imam Ezra, seorang ahli dalam Taurat yang diberikan TUHAN kepada Israel melalui Musa.

2Oleh itu Ezra membawa kitab itu ke hadapan semua orang yang berkumpul. Mereka terdiri daripada lelaki, perempuan, dan kanak-kanak yang dapat memahami kandungan kitab itu.

3Di lapangan itu, dekat pintu gerbang, Ezra membaca Taurat itu kepada mereka dari pagi hingga tengah hari, dan mereka semua mendengar dengan penuh perhatian.

4Ezra berdiri di atas pentas kayu yang dibina khas untuk maksud itu. Matica, Sema, Anaya, Uria, Hilkia, dan Maaseya berdiri di sebelah kanannya; sedangkan Pedaya, Misael, Malkia, Hasum, Hasbadana, Zakharia, dan Mesulam berdiri di sebelah kirinya.

5Pentas tempat Ezra berdiri lebih tinggi daripada semua orang itu, sehingga mereka dapat melihat Ezra. Sebaik sahaja Ezra membuka kitab itu, mereka semua berdiri.

6Ezra berkata, "Pujilah TUHAN, Allah yang agung!" Semua umat itu mengangkat tangan tinggi-tinggi dan menjawab, "Amin! Amin!" Kemudian mereka bersujud menyembah Allah.

7Setelah itu mereka berdiri di tempat masing-masing, dan orang Lewi yang berikut menjelaskan Taurat itu kepada mereka: Yesua, Bani, Serebya, Yamin, Akub, Sabetai, Hodia, Maaseya, Kelita, Azarya, Yozabad, Hanan, dan Pelaya.

8Mereka menterjemahkan Taurat Allah itu bahagian demi bahagian dan menghuraikannya supaya rakyat mengerti.

9Apabila rakyat mendengar pembacaan Taurat itu, mereka begitu terharu sehingga mereka menangis. Oleh itu Gabenor Nehemia dan Imam Ezra, ahli Taurat itu, dan orang Lewi yang sedang menghuraikan Taurat itu memberitahu rakyat, "Hari ini hari yang khas untuk TUHAN, Allah kamu. Oleh itu janganlah bersedih atau menangis.

10Pulanglah dan adakanlah jamuan makan. Bahagikanlah makanan dan wain kamu kepada mereka yang kekurangan. Hari ini hari yang khas bagi Tuhan kita. Oleh itu janganlah berdukacita. Kesukaan yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu akan menguatkan kamu."

11Orang Lewi berjalan ke sana sini untuk menenangkan rakyat dan berkata berulang kali, "Janganlah berdukacita pada hari yang khas ini."

12Kemudian semua orang itu pulang. Mereka makan dan minum sambil bersukacita, serta membahagikan makanan kepada orang lain, kerana mereka faham akan makna pembacaan yang didengar mereka itu.

Perayaan Pondok Daun

13Keesokan harinya, para pemimpin puak, para imam dan orang Lewi pergi kepada Ezra untuk mempelajari ajaran Taurat.

14Mereka mendapati bahawa dalam Taurat yang diberikan TUHAN dengan perantaraan Musa, TUHAN menyuruh umat Israel tinggal di dalam pondok-pondok sementara, apabila mereka merayakan Perayaan Pondok Daun.

15Oleh itu, mereka mengumumkan perintah berikut di seluruh Yerusalem, di kota-kota lain, dan di pekan-pekan, "Pergilah ke bukit-bukit dan ambillah dahan-dahan pokok pain, pokok zaitun, pokok kemunting, pokok kurma dan pokok-pokok lain, lalu buatlah pondok menurut peraturan yang tertulis di dalam Taurat."

16Kemudian rakyat pun pergi mengambil dahan-dahan dan membina pondok-pondok di atas bumbung rata rumah mereka, di halaman rumah, di halaman Rumah TUHAN, dan di padang dekat Pintu Gerbang Air, dan di padang dekat Pintu Gerbang Efraim.

17Semua orang yang sudah kembali dari pembuangan membuat pondok dan tinggal di situ. Inilah kali pertama hal itu dilakukan sejak zaman Yosua anak Nun. Mereka semua gembira dan bahagia.

18Tiap-tiap hari, dari hari pertama perayaan itu sehingga hari terakhir, Ezra membaca sebahagian daripada Taurat Allah kepada mereka. Mereka merayakan perayaan itu selama tujuh hari, dan pada hari kelapan mereka mengadakan upacara penutup menurut peraturan Taurat.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Nehemia 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel