Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Ulangan 17 >> 

1Jangan persembahkan lembu atau domba yang cacat kepada TUHAN, Allah kamu; TUHAN membenci perbuatan itu.

2Andaikata kamu mendengar bahawa di salah sebuah kota kamu, ada beberapa orang lelaki atau perempuan yang telah berdosa terhadap TUHAN, dan melanggar perjanjian-Nya

3serta perintah TUHAN kerana mereka menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain, atau kepada matahari, atau kepada bulan, atau kepada bintang-bintang.

4Jika kamu mendengar laporan seperti itu, kamu harus menyiasat perkara itu dengan teliti. Jika benar bahawa perkara jahat itu sudah berlaku di Israel,

5bawalah orang itu ke luar kota lalu rejamlah dia sampai mati.

6Seseorang hanya boleh direjam sampai mati jika ada dua atau tiga orang saksi yang menyalahkan dia, tetapi dia tidak boleh direjam jika hanya ada seorang saksi.

7Orang yang menjadi saksi itulah yang mesti melemparkan batu pertama, barulah semua orang lain melempari orang itu dengan batu. Dengan cara ini kamu membasmi kejahatan itu.

8Mungkin ada beberapa perkara tentang hak milik, kecederaan, ataupun soal pembunuhan sengaja, atau tidak sengaja yang terlalu sukar diadili oleh hakim setempat. Apabila ada perkara seperti itu, segeralah pergi ke satu tempat ibadat yang dipilih oleh TUHAN, Allah kamu.

9Di situ, ajukanlah perkara itu kepada imam-imam suku Lewi, dan kepada hakim yang bertugas pada waktu itu. Biarlah mereka mengadili perkara itu.

10Mereka akan memberikan keputusan tentang perkara itu, dan kamu mesti melakukan dengan teliti apa yang dikatakan mereka kepada kamu.

11Terimalah keputusan mereka dan laksanakanlah apa yang ditetapkan mereka sampai kepada hal-hal terperinci.

12Sesiapa berani membantah hakim atau imam yang bertugas mesti dihukum mati; dengan cara ini kamu membasmi kejahatan itu di Israel.

13Kemudian semua orang akan mendengar tentang perkara itu dan menjadi takut, sehingga tidak seorang pun akan berani bertindak seperti itu lagi."

Peraturan tentang Raja

14"Setelah kamu memiliki tanah yang akan diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan kamu sudah menetap di sana, mungkin kamu menginginkan seorang raja seperti bangsa-bangsa di sekeliling kamu.

15Pastikanlah bahawa orang yang kamu pilih menjadi raja itu adalah orang yang dipilih oleh TUHAN. Raja itu mesti orang bangsa kamu sendiri. Jangan pilih orang asing menjadi raja kamu.

16Raja itu tidak boleh mempunyai pasukan berkuda yang besar bilangannya. Raja itu tidak boleh menghantar orang ke Mesir untuk membeli kuda, kerana TUHAN sudah berfirman bahawa umat-Nya tidak boleh balik ke Mesir.

17Raja itu tidak boleh mempunyai banyak isteri, kerana hal itu akan menyebabkan baginda berpaling daripada TUHAN; raja itu tidak boleh memperkaya diri dengan emas atau perak.

18Apabila baginda ditabalkan menjadi raja, baginda mesti diberikan sebuah kitab hukum Allah yang disalin daripada kitab asli yang disimpan oleh imam-imam suku Lewi.

19Kitab itu mesti selalu ada dekat raja, dan baginda mesti membaca kitab itu seumur hidupnya, supaya baginda belajar menghormati TUHAN dan dengan setia mentaati segala perintah di dalam kitab itu.

20Jika raja berbuat demikian, baginda tidak akan menganggap dirinya lebih baik daripada orang sebangsanya, dan baginda tidak akan melanggar perintah TUHAN dengan cara apa pun. Maka raja akan memerintah Israel untuk masa yang lama, dan keturunannya akan memerintah Israel sampai turun-temurun."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ulangan 17 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel