Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Ulangan 3 >> 

Israel Mengalahkan Raja Og

1"Kemudian kita menuju ke utara, ke arah daerah Basan. Raja Og dari Basan datang dengan seluruh tenteranya untuk menyerang kita dekat kota Edrei.

2Tetapi TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan takut akan dia. Aku akan menyerahkan dia, tenteranya, dan seluruh wilayahnya kepadamu. Perlakukanlah dia sebagaimana engkau sudah memperlakukan Sihon, raja orang Amori, yang memerintah di Hesybon.’

3Oleh itu TUHAN menyerahkan Raja Og dan rakyatnya kepada kita, dan kita membunuh mereka semua.

4Pada masa itu juga, kita menaklukkan semua kota Raja Og, sebanyak enam puluh buah kota, iaitu seluruh daerah Argob, yang diperintah oleh Raja Og dari Basan. Tiada satu kota pun yang tidak kita rebut.

5Semua kota itu diperkuat dengan tembok yang tinggi, pintu gerbang, dan palang untuk mengunci pintu gerbang. Selain itu, ada juga banyak pekan yang tidak mempunyai tembok.

6Kita memusnahkan semua kota itu dan membunuh semua orang lelaki, perempuan, dan kanak-kanak, seperti yang kita lakukan di kota-kota milik Raja Sihon dari Hesybon.

7Kita mengambil ternakan dan menjarah kota-kota mereka.

8Pada masa itu, daerah di sebelah timur Sungai Yordan, dari Sungai Arnon sampai ke Gunung Hermon, telah kita rebut daripada dua orang raja Amori itu.

9(Gunung Hermon disebut Siryon oleh orang dari kota Sidon, dan disebut Senir oleh orang Amori.)

10Kita merebut seluruh wilayah Raja Og dari Basan: kota-kota di dataran tinggi, daerah Gilead dan Basan, sampai ke kota Salka dan Edrei di sebelah timur."

11(Raja Og ialah orang terakhir daripada bangsa Refaim. Peti jenazahnya dibuat daripada batu, berukuran kira-kira dua meter lebar dan kira-kira empat meter panjang menurut ukuran rasmi. Sampai sekarang peti jenazah itu masih dapat dilihat di Raba, kota orang Amon.)

Suku-Suku yang Menetap di Daerah Sebelah Timur Sungai Yordan

12"Selepas tanah itu menjadi milik kita, aku memberikan suku Ruben dan Gad tanah di utara kota Aroer, dekat Sungai Arnon dan sebahagian daripada perbukitan Gilead, termasuk kota-kota di situ.

13Aku memberikan daerah Gilead yang selebihnya kepada setengah suku Manasye, dan juga seluruh daerah Basan, tempat Raja Og memerintah dahulu, iaitu seluruh wilayah Argob." (Basan terkenal sebagai tanah bangsa Refaim.

14Yair, seorang daripada suku Manasye, menduduki seluruh wilayah Argob, iaitu Basan, sampai perbatasan Gesur dan Maakha. Dia menamakan pekan-pekan di situ menurut namanya sendiri. Sampai sekarang, pekan-pekan itu masih dikenal sebagai pekan-pekan Yair.)

15"Aku memberikan daerah Gilead kepada puak Makhir daripada suku Manasye.

16Aku memberikan daerah di antara Gilead dan Sungai Arnon kepada suku Ruben dan Gad. Bahagian tengah Sungai Arnon menjadi sempadan daerah mereka di sebelah selatan. Sempadan mereka di sebelah utara ialah Sungai Yabok, yang sebahagiannya menjadi sempadan negeri orang Amon.

17Di sebelah barat, daerah mereka terbentang sampai ke Sungai Yordan, dari Tasik Galilea di utara sampai ke Laut Mati di selatan, dan sampai ke kaki Bukit Pisga di sebelah timur.

18Pada masa itu juga aku memberikan perintah ini kepada mereka, ‘TUHAN, Allah kita sudah memberi kamu tanah di sebelah timur Sungai Yordan untuk menjadi tempat tinggal kamu. Sekarang lengkapilah askar-askar kamu dengan senjata, dan suruhlah mereka pergi ke seberang Sungai Yordan, supaya mereka mendahului suku-suku Israel yang lain untuk menolong mereka menduduki tanah itu.

19Hanya anak isteri dan ternakan kamu yang boleh tinggal di kota-kota yang sudah aku berikan kepada kamu. Aku tahu bahawa ternakan kamu banyak.

20Tolonglah sesama kamu umat Israel sehingga mereka menduduki tanah yang diberikan TUHAN kepada mereka di sebelah barat Sungai Yordan, dan sehingga TUHAN mengizinkan mereka tinggal di sana dengan tenteram, sebagaimana yang sudah dilakukan-Nya untuk kamu. Selepas itu barulah kamu boleh pulang ke tanah yang sudah aku berikan kepada kamu.’

21Kemudian aku berkata kepada Yosua, ‘Engkau sudah nampak segala yang dilakukan TUHAN, Allahmu terhadap Raja Sihon dan Raja Og, dua orang raja itu; Dia akan melakukan hal yang sama kepada setiap raja yang negerinya engkau serang.

22Jangan takut kepada mereka, kerana TUHAN, Allahmu akan berperang untukmu.’"

Musa Tidak Dibenarkan Masuk ke Kanaan

23"Pada masa itu aku berdoa dengan sungguh-sungguh,

24‘Ya TUHAN Raja, aku tahu bahawa apa yang sudah Engkau tunjukkan kepadaku hanya permulaan perkara besar dan ajaib yang akan Engkau lakukan. Tiada tuhan lain di langit ataupun di bumi yang dapat melakukan perkara ajaib yang telah Engkau lakukan.

25Ya TUHAN, benarkanlah aku menyeberangi Sungai Yordan dan melihat tanah yang subur di seberang, kawasan perbukitan yang indah dan Pergunungan Lebanon.’

26Tetapi kamu sudah menyebabkan TUHAN murka terhadap aku sehingga Dia tidak mahu mengabulkan permintaanku. Sebaliknya Dia berfirman, ‘Sudahlah! Jangan sebut perkara itu lagi!

27Pergilah ke puncak Gunung Pisga dan pandanglah ke arah utara dan selatan, ke arah timur dan barat. Perhatikanlah baik-baik apa yang engkau nampak, kerana engkau tidak akan pergi ke seberang Sungai Yordan.

28Berikanlah petunjuk-petunjuk kepada Yosua. Kuatkanlah hatinya, kerana dialah yang akan memimpin umat ke seberang sungai untuk menduduki tanah yang engkau nampak itu.’

29Oleh itu kita tinggal di lembah, di seberang kota Bet-Peor."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ulangan 3 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel