Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Wahyu 11 >> 

Dua Orang Saksi

1Kemudian aku diberikan sebatang tongkat yang kelihatannya seperti kayu pengukur. Lalu aku diperintahkan, "Pergilah ukur Rumah Allah dan mazbah. Kiralah orang yang beribadat di Rumah Allah.

2Tetapi janganlah ukur halaman yang di sebelah luar, kerana bahagian itu sudah diserahkan kepada orang yang tidak mengenal Allah. Mereka akan menginjak-injak kota suci itu selama empat puluh dua bulan.

3Aku akan mengutus dua orang saksi-Ku yang mengenakan pakaian berkabung. Mereka akan mengisytiharkan perkhabaran Allah selama 1,260 hari."

4Kedua-dua orang saksi itu adalah dua batang pokok zaitun dan dua buah kaki pelita yang berdiri di hadapan Tuhan alam semesta.

5Jika sesiapa cuba mencederakan mereka, api keluar dari mulut mereka dan membinasakan musuh. Dengan demikian sesiapa sahaja yang cuba mencederakan mereka akan terbunuh.

6Mereka mempunyai kuasa untuk menutup langit supaya hujan tidak turun selama mereka mengisytiharkan perkhabaran Allah. Mereka juga berkuasa atas mata air untuk mengubah air menjadi darah; mereka juga berkuasa menimpakan segala macam malapetaka ke atas bumi, bila-bila masa mereka menghendakinya.

7Apabila mereka selesai mengisytiharkan perkhabaran, binatang yang keluar dari jurang maut akan melawan mereka, lalu mengalahkan dan membunuh mereka.

8Mayat mereka akan terlantar di jalan raya kota besar, tempat Tuhan mereka disalibkan. Kota itu diberikan nama kiasan Sodom atau Mesir.

9Orang dari semua negara, suku, bahasa, dan bangsa akan melihat mayat mereka selama tiga hari setengah, dan tidak mengizinkan mayat-mayat itu dikubur.

10Penduduk bumi akan bersukacita kerana kematian dua orang saksi ini. Mereka akan merayakannya dan saling mengirim hadiah, kerana kedua-dua orang nabi itu telah mendatangkan banyak kesusahan kepada umat manusia.

11Setelah tiga hari setengah, nafas daripada Allah yang memberikan hidup, memasuki mereka. Mereka pun bangkit, sehingga semua orang yang melihat mereka sangat ketakutan.

12Kemudian dua orang nabi itu mendengar suara lantang dari syurga berkata kepada mereka, "Marilah naik ke sini!" Di depan mata musuh mereka, kedua-dua orang nabi itu naik ke syurga dengan awan.

13Tepat pada masa itu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Satu persepuluh kota itu musnah dan tujuh ribu orang terbunuh kerana gempa itu. Orang yang selebihnya ketakutan, lalu mereka memuji keagungan Allah di syurga.

14Bencana kedua sudah lalu. Tetapi lihatlah! Bencana ketiga akan segera datang.

Trompet Ketujuh

15Kemudian malaikat ketujuh meniup trompetnya dan suara-suara lantang di syurga berkata, "Allah, Tuhan kita dan Penyelamat yang diutus-Nya mempunyai kuasa untuk memerintah dunia. Dia akan memerintah selama-lamanya!"

16Lalu dua puluh empat orang pemimpin yang duduk di atas takhta mereka di hadapan Allah, bersujud dan menyembah Allah.

17Mereka berkata, "Ya Tuhan, Allah Maha Kuasa, yang ada dan yang sudah ada! Kami bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah menggunakan kuasa-Mu yang besar, dan mula memerintah!

18Orang yang tidak mengenal Engkau meradang, kerana telah tiba masanya Engkau meluahkan kemurkaan-Mu, dan masanya Engkau mengadili orang mati. Inilah masanya Engkau menghadiahi hamba-hamba-Mu para nabi itu, dan juga umat-Mu, semua orang yang hormat dan takut akan Engkau, baik orang besar mahupun orang biasa. Inilah masanya Engkau membinasakan mereka yang memusnahkan bumi!"

19Rumah Allah di syurga terbuka dan Tabut Perjanjian kelihatan di situ. Kemudian kilat sabung-menyabung, guruh menggelegar dan bergemuruh, bumi bergoncang dan hujan batu turun dengan lebat.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Wahyu 11):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Wahyu 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel