Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Wahyu 19 >> 

1Setelah itu aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai di syurga yang berseru, "Pujilah Allah! Allah kita Allah yang menyelamatkan! Dia Allah yang mulia dan berkuasa!

2Penghakiman-Nya benar dan adil! Dia telah menjatuhkan hukuman kepada pelacur termasyhur itu, yang menyesatkan dunia dengan perbuatan cabulnya. Allah sudah menghukum dia kerana dia membunuh hamba-hamba Allah."

3Sekali lagi mereka berseru, "Pujilah Allah! Asap api yang menghanguskan kota agung itu mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya!"

4Dua puluh empat orang pemimpin dan empat makhluk itu bersujud dan menyembah Allah yang duduk di atas takhta. Mereka berkata, "Amin! Pujilah Allah!"

Perjamuan Kahwin Anak Domba

5Lalu terdengar dari takhta itu suara yang berkata, "Pujilah Allah, hai semua hamba-Nya dan semua orang yang takut akan Dia -- baik orang besar mahupun orang biasa!"

6Kemudian aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai, seperti deruman air terjun, dan seperti gemuruh guruh. Aku mendengar mereka berkata, "Pujilah Allah, kerana Tuhan, Allah kita Yang Maha Kuasa itu Raja!

7Marilah kita bersukacita dan bergembira! Marilah kita memuji keagungan-Nya, kerana masa perkahwinan Anak Domba sudah tiba dan pengantin perempuan-Nya sudah siap untuk perkahwinan itu.

8Pengantin perempuan itu telah diberikan pakaian linen yang bersih dan berkilauan untuk dikenakan." (Pakaian linen itu perbuatan baik yang dilakukan oleh umat Allah.)

9Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, "Tuliskan ini: Berbahagialah orang yang telah dijemput ke majlis perkahwinan Anak Domba itu." Malaikat itu berkata lagi, "Inilah firman yang benar daripada Allah."

10Aku bersujud hendak menyembah dia, tetapi dia berkata kepadaku, "Jangan! Jangan sembah aku, sembahlah Allah! Aku pun hamba seperti engkau dan semua saudaramu, dan seperti semua orang yang berpegang teguh pada ajaran benar yang dinyatakan oleh Yesus." Ajaran benar yang dinyatakan Yesus itulah yang mengilhami nabi-nabi.

Penunggang Kuda Putih

11Kemudian aku nampak syurga terbuka dan aku melihat seekor kuda putih. Penunggangnya bernama Yang Setia dan Yang Benar. Dia menghakimi dengan adil dan berperang untuk keadilan.

12Mata-Nya menyala seperti api dan Dia memakai banyak mahkota pada kepala-Nya. Pada diri-Nya tertulis satu nama yang hanya diketahui oleh-Nya.

13Jubah yang dipakai-Nya berlumuran darah. Nama-Nya "Firman Allah."

14Tentera syurga mengikuti Dia dengan menunggang kuda putih dan mengenakan pakaian linen putih yang bersih.

15Dari mulut-Nya keluar sebilah pedang yang tajam, dan dengan pedang itu Dia akan mengalahkan bangsa-bangsa. Dia akan memerintah mereka dengan tangan besi. Dia akan memeras anggur di dalam alat pemeras anggur, iaitu kemurkaan yang menyala-nyala daripada Allah Yang Maha Kuasa.

16Pada jubah-Nya dan paha-Nya tertulis nama ini: "Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung."

17Kemudian aku nampak satu malaikat berdiri di atas matahari. Dengan suara kuat dia berseru kepada semua burung yang terbang di angkasa, "Marilah berkumpul untuk menghadiri jamuan besar yang disediakan oleh Allah.

18Marilah makan daging raja, daging panglima dan askar, daging kuda dan penunggang kuda, daging semua orang, baik abdi mahupun orang bebas, orang besar mahupun orang biasa!"

19Kemudian aku nampak binatang itu dan raja-raja di bumi dengan tentera mereka berkumpul untuk melawan Dia yang menunggang kuda putih dengan tentera-Nya.

20Tetapi binatang itu ditawan bersama-sama nabi palsu yang telah melakukan mukjizat di hadapannya. (Dengan mukjizat itulah binatang itu menipu orang yang mempunyai tanda binatang itu, dan orang yang menyembah patung binatang itu.) Binatang itu dan nabi palsu itu dibuang hidup-hidup ke dalam lautan api yang bernyala-nyala dengan belerang.

21Tentera mereka dibunuh dengan pedang yang keluar dari mulut penunggang kuda putih itu. Lalu semua burung datang dan memakan daging mereka dengan lahap.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Wahyu 19):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Wahyu 19 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel