Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 13 >> 

Nubuat terhadap Nabi Palsu Lelaki

1TUHAN berfirman kepadaku,

2"Hai manusia fana, kecamlah nabi-nabi Israel yang mengucapkan nubuat yang direka-reka oleh mereka sendiri. Suruhlah mereka mendengarkan firman TUHAN."

3Demikianlah firman TUHAN Raja, "Alangkah malangnya nabi-nabi bodoh itu! Mereka mendapat ilham daripada khayalan mereka sendiri dan penglihatan mereka palsu belaka.

4Hai umat Israel, nabi-nabi kamu tidak berguna; mereka seperti serigala yang tinggal di tengah runtuhan kota.

5Mereka tidak mengawal tempat-tempat yang roboh temboknya, ataupun membina tembok-tembok itu semula, sehingga Israel tidak dapat dipertahankan apabila peperangan berlaku pada hari Aku, TUHAN datang menjatuhkan hukuman.

6Penglihatan mereka itu palsu dan ramalan mereka pun dusta belaka. Mereka mengaku menyampaikan firman-Ku, padahal Aku tidak mengutus mereka. Namun mereka berharap supaya ramalan mereka akan berlaku.

7Aku berfirman kepada mereka: Penglihatan kamu itu palsu, dan ramalan kamu itu dusta belaka. Kamu berkata bahawa semua itu firman-Ku, padahal Aku tidak berfirman kepada kamu!"

8Oleh itu TUHAN Raja berfirman kepada mereka, "Kerana kata-kata kamu itu dusta dan penglihatan kamu itu palsu, Aku akan melawan kamu.

9Aku akan menghukum kamu, nabi-nabi yang melihat penglihatan palsu serta menyampaikan ramalan yang menyesatkan. Kamu tidak akan bersama-sama umat-Ku apabila mereka bersidang; nama kamu tidak akan tercatat dalam daftar warga Israel, dan kamu tidak akan pulang ke tanah air kamu. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN Raja.

10Para nabi itu menyesatkan umat-Ku dengan mengatakan bahawa semuanya selamat, pada hal semuanya tidak selamat! Umat-Ku membina tembok yang tidak kukuh, lalu nabi-nabi itu datang dan mengapurnya.

11Beritahulah nabi-nabi itu bahawa tembok mereka akan roboh. Aku akan menurunkan hujan lebat. Tembok itu akan dilanda angin ribut dan ditimpa hujan batu.

12Lalu tembok itu akan roboh, dan orang akan bertanya kepada kamu apa gunanya tembok itu dikapur."

13Demikianlah firman TUHAN Raja, "Semasa Aku sangat murka, Aku mendatangkan angin kencang, hujan lebat, dan hujan batu untuk memusnahkan tembok itu.

14Aku bermaksud untuk merobohkan tembok yang dikapur mereka. Aku akan menghancurkannya sehingga batu asasnya kelihatan. Tembok itu akan roboh dan membunuh kamu semua. Barulah setiap orang tahu bahawa Akulah TUHAN.

15Tembok itu dan mereka yang mengapurnya akan merasakan kedahsyatan kemurkaan-Ku. Kemudian Aku akan memberitahu kamu bahawa tembok itu dan orang yang mengapurnya telah binasa,

16iaitu nabi-nabi yang bernubuat bahawa Yerusalem akan selamat, padahal tidak!" Demikianlah firman TUHAN Raja.

Nubuat tentang Nabi Palsu Perempuan

17TUHAN berfirman, "Hai manusia fana, lihatlah wanita-wanita yang berlagak sebagai nabi di kalangan bangsamu. Kecamlah mereka,

18dan sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka, ‘Alangkah malangnya kamu! Kamu membuat gelang azimat dan kain tudung sakti, supaya kamu dapat menguasai hidup orang lain. Kamu ingin menguasai hidup mati umat-Ku bagi keuntungan kamu sendiri.

19Kamu menghina Aku di hadapan umat-Ku untuk mendapat hanya beberapa genggam barli dan beberapa ketul roti. Orang yang tidak patut mati, kamu bunuh sedangkan orang yang tidak patut hidup, kamu biarkan hidup. Lalu kamu berdusta kepada umat-Ku dan mereka percaya kepada kamu.’"

20Oleh itu TUHAN Raja berfirman, "Aku membenci gelang azimat yang kamu gunakan untuk menguasai hidup mati orang lain. Aku akan merenggut gelang itu daripada lengan kamu dan membebaskan orang yang kamu kuasai.

21Aku akan mengoyakkan kain tudung kamu dan membebaskan umat-Ku daripada kuasa kamu selama-lamanya. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.

22Dengan dusta kamu itu kamu menawarkan hati orang baik, yang Aku tidak mahu apa-apakan. Kamu menggalakkan orang jahat supaya terus melakukan kejahatan sehingga mereka tidak dapat diselamatkan.

23Sekarang penglihatan palsu dan ramalan kamu yang menyesatkan itu telah berakhir. Aku sedang menyelamatkan umat-Ku daripada kuasa kamu supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 13 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel