Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 26 >> 

Nubuat tentang Hukuman terhadap Tirus

1Pada hari pertama, bulan ..., tahun kesebelas masa pembuangan kami, TUHAN berfirman kepadaku,

2"Hai manusia fana, dengarlah sorakan orang Tirus. Mereka berseru, ‘Yerusalem telah hancur! Kekuatan perdagangannya sudah hilang! Yerusalem tidak menjadi saingan kita lagi!’"

3TUHAN Raja berfirman, "Aku musuhmu, hai Tirus. Aku akan membawa banyak bangsa untuk menyerang kamu. Mereka akan datang seperti ombak laut.

4Mereka akan memusnahkan tembok-tembok kota kamu dan merobohkan menara-menara kamu. Selepas itu Aku akan menyapu segala debu sehingga tinggal sebuah batu sahaja.

5Nelayan akan menjemur jala mereka di atas batu yang di tengah laut itu. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Bangsa-bangsa lain akan menjarah Tirus,

6dan dengan pedang, mereka akan membunuh penduduk di kota-kota di daratan Tirus. Maka Tirus akan tahu bahawa Akulah TUHAN."

7TUHAN Raja berfirman, "Aku akan menyebabkan Raja Nebukadnezar dari Babilonia menyerang Tirus. Raja yang paling kuat itu akan datang dari utara dengan pasukan tentera yang sungguh besar, dengan banyak kuda, kereta kuda, dan pasukan berkuda.

8Penduduk kota-kota di daratan akan dibunuh dalam peperangan. Musuh akan menggali parit, membina tembok pengepungan, dan menyusun perisai sebagai kubu yang kukuh untuk menentang kamu.

9Mereka akan memecah tembok-tembok kamu dengan kayu pelantak, dan merobohkan menara-menara kamu dengan batang besi.

10Kuda mereka sangat banyak sehingga menyebabkan debu berterbangan dan meliputi kamu. Derap daripada pasukan berkuda dan kereta kuda akan menggegarkan tembok kota kamu ketika mereka lalu di pintu gerbang dan memasuki kota yang runtuh itu.

11Pasukan berkuda itu akan menyerbu jalan-jalan kamu, sambil membunuh penduduk kamu dengan pedang. Tugu-tugu kamu yang besar itu akan dirobohkan.

12Musuh akan merampas kekayaan dan barangan perniagaan kamu. Mereka akan merobohkan tembok-tembok dan menghancurkan rumah-rumah mewah kamu. Mereka akan membuang segala batu, kayu, dan runtuhan batu ke dalam laut.

13Aku akan menghentikan nyanyian kamu dan muzik kecapi kamu.

14Aku akan meninggalkan sebuah batu sahaja untuk para nelayan menjemur jala. Kota itu tidak akan dibina lagi. Aku, TUHAN Raja telah berfirman."

15TUHAN Raja berfirman kepada kota Tirus, "Apabila kamu ditaklukkan kelak, orang yang tinggal di sepanjang pantai akan ketakutan kerana mendengar teriakan orang yang dibantai.

16Semua raja bangsa-bangsa di tepi pantai akan turun dari takhta mereka. Mereka akan menanggalkan jubah dan pakaian yang bersulam lalu duduk dengan gementar di tanah. Mereka akan sangat ketakutan melihat kesudahan kamu sehingga mereka tidak berhenti-henti gementar.

17Lalu mereka akan menyanyikan lagu ratapan ini bagi kamu: Kota kenamaan itu sudah musnah! Kapal-kapalnya disapu dari lautan. Dahulu penduduknya menguasai laut, dan menakutkan semua penduduk pantai.

18Tetapi sekarang kamu sudah jatuh, penduduk pulau-pulau gementar; mereka terkejut mendengar keruntuhanmu."

19TUHAN Raja berfirman, "Aku akan menjadikan kamu lengang seperti kota yang tidak berpenduduk. Aku akan menutupi kamu dengan air dari samudera.

20Aku akan mengirim kamu ke dunia orang mati supaya kamu tinggal bersama-sama orang purba. Aku akan membiarkan engkau menetap di dunia orang mati, di tengah runtuhan yang kekal, bersama-sama orang mati. Maka tanahmu tidak akan diduduki orang lagi, dan kamu tidak akan terbilang antara orang hidup.

21Kamu akan menjadi contoh yang mengerikan, dan demikianlah akhir riwayatmu. Orang mungkin mencari kamu, tetapi kamu tidak akan ditemui." TUHAN Raja telah berfirman.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 26 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel