Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 43 >> 

TUHAN Kembali ke Rumah TUHAN

1Lelaki itu membawa aku ke pintu gerbang yang menghadap ke sebelah timur.

2Di situ aku nampak cahaya berkilauan datang dari timur, yang menandakan hadirat Allah Israel. Suara Allah nyaring seperti deru ombak laut, dan bumi bergemerlapan kerana cahaya hadirat Allah.

3Penglihatan ini sama seperti yang aku nampak ketika Allah memusnahkan Yerusalem, dan seperti yang aku nampak di tebing Sungai Kebar. Lalu aku bersujud sampai ke tanah.

4Cahaya yang berkilauan itu bergerak melalui pintu gerbang timur dan masuk ke dalam Rumah TUHAN.

5Roh TUHAN mengangkat aku dan membawa aku ke halaman dalam. Di situ aku nampak Rumah TUHAN dipenuhi cahaya kemuliaan TUHAN.

6Lelaki itu berdiri di sisiku, lalu aku mendengar TUHAN berfirman kepadaku dari dalam Rumah TUHAN,

7"Hai manusia fana, inilah takhta-Ku. Aku akan tinggal di sini, di tengah-tengah umat Israel, dan Aku akan memerintah mereka selama-lamanya. Umat Israel dan raja-raja mereka tidak akan lagi mencemarkan nama-Ku yang suci dengan menyembah berhala, atau dengan menguburkan jenazah raja mereka di tempat ini.

8Raja-raja mereka itu telah membina ambang dan tiang pintu istana mereka di samping ambang dan tiang pintu Rumah-Ku, sehingga hanya satu tembok memisahkan mereka daripada Aku. Mereka mencemarkan nama-Ku yang suci dengan segala perbuatan mereka yang menjijikkan. Oleh itu Aku membinasakan mereka kerana Aku sangat murka.

9Sekarang mereka mesti berhenti menyembah berhala dan memindahkan jenazah raja-raja mereka. Jika mereka berbuat demikian Aku akan tinggal di tengah-tengah mereka selama-lamanya."

10Lalu TUHAN berfirman lagi, "Hai manusia fana, beritahulah umat Israel tentang Rumah-Ku dan suruhlah mereka meneliti rekabentuknya. Permalukan mereka kerana dosa mereka.

11Lalu jika mereka malu akan perbuatan mereka, jelaskanlah pelan Rumah-Ku kepada mereka: rekabentuk, pintu-pintu, bentuk, susunan bangunan, dan segala peraturan serta hukumnya. Tuliskanlah semuanya supaya mereka dapat melihat dan memperhatikan cara mengatur segala sesuatu, dan mentaati semua peraturannya.

12Inilah hukum utama tentang Rumah TUHAN: Seluruh kawasan di sekelilingnya di puncak gunung itu sangat suci."

Mazbah

13Inilah ukuran mazbah menurut ukuran yang digunakan untuk mengukur Rumah TUHAN. Di sekeliling bahagian bawah mazbah itu ada sebuah parit yang dalamnya 50 sentimeter dan lebarnya 50 sentimeter juga, dengan pinggiran di tepi luarnya setinggi 25 sentimeter.

14Dari parit ke jalur mazbah yang paling bawah, tingginya 1 meter. Bahagian tengah mazbah itu tingginya 2 meter, dan 50 sentimeter lebih sempit daripada lingkar bahagian bawah mazbah. Bahagian ketiga, iaitu puncak mazbah, juga 50 sentimeter lebih sempit daripada lingkar bahagian tengahnya.

15Bahagian ketiga ini tempat untuk membakar korban, dan tingginya 2 meter. Pada keempat-empat sudut mazbah ada bahagian yang menonjol seperti tanduk.

16Puncak mazbah itu berbentuk empat persegi, tiap-tiap sisinya berukuran 6 meter.

17Bahagian tengahnya juga berbentuk empat persegi, tiap-tiap sisinya berukuran 7 meter, dengan tepi yang setinggi 25 sentimeter di pinggiran luarnya. (Lebar parit itu 50 sentimeter.) Tangga mazbah itu di sisi sebelah timur.

Pentahbisan Mazbah

18TUHAN Raja berfirman kepadaku, "Hai manusia fana, dengarlah apa yang Kufirmankan kepadamu. Sesudah mazbah itu dibina, engkau harus mentahbiskannya dengan membakar korban di atasnya dan dengan memercikkan darah binatang yang dikorbankan.

19Hanya imam-imam keturunan Zadok daripada suku Lewi boleh datang ke hadirat-Ku untuk melayani Aku. Aku, TUHAN Raja, memerintahkan hal itu. Hendaklah engkau memberi mereka seekor anak lembu jantan supaya dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa.

20Hendaklah engkau mengambil sedikit darah korban itu dan membubuhkannya pada unjuran di keempat-empat sudut puncak mazbah, dan juga pada sudut-sudut bahagian tengahnya, serta di sekeliling tepi mazbah itu. Dengan cara itu engkau menyucikan dan mentahbiskan mazbah itu.

21Ambillah anak lembu jantan yang dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan bakarlah korban itu di tempat yang ditentukan, iaitu di luar kawasan suci Rumah TUHAN.

22Esoknya, hendaklah engkau mengambil seekor kambing jantan yang tidak bercacat, lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Sucikanlah mazbah itu dengan darah kambing jantan itu sebagaimana yang telah engkau lakukan dengan darah anak lembu jantan itu.

23Kemudian ambillah seekor anak lembu jantan dan seekor domba jantan yang tidak ada cacat,

24lalu bawalah kedua-duanya kepada-Ku. Imam-imam harus menaburkan garam ke atas kedua-dua binatang itu lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku.

25Tiap-tiap hari selama tujuh hari, hendaklah engkau mempersembahkan seekor kambing, seekor lembu jantan, dan seekor domba jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Semua binatang itu tidak boleh ada cacat.

26Hendaklah para imam menyucikan dan menyiapkan mazbah itu selama tujuh hari.

27Selepas satu minggu, hendaklah imam-imam mula mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban untuk memohon berkat-Ku, di atas mazbah bagi umat. Barulah Aku berkenan kepada kamu semua. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 43 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel