Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 14 >> 

Kemarau yang Dahsyat

1Demikianlah firman TUHAN kepadaku tentang masa kemarau,

2"Yehuda bersedih hati; penduduk kotanya hampir mati. Mereka berbaring di tanah dan mengeluh; Yerusalem berseru minta dibantu.

3Orang kaya menyuruh para hamba mencari air; mereka pergi ke perigi-perigi tetapi air tidak ada lagi; dengan kendi kosong mereka kembali. Dengan hampa dan putus asa mereka malu dan menutup muka.

4Oleh sebab hujan tidak turun tanah kering kerontang; para petani putus asa, mereka malu dan menutup muka.

5Induk rusa di padang meninggalkan anaknya yang baru lahir kerana rumput tidak ada lagi.

6Keldai liar berdiri di puncak bukit, terengah-engah seperti anjing hutan. Mata keldai liar menjadi kabur kerana makanan tidak ada.

7Umat-Ku berseru kepada-Ku, ‘Walaupun dosa kami menyalahkan kami, ya TUHAN, tolonglah kami menurut janji-Mu. Kami telah berkali-kali meninggalkan Engkau; kami berdosa terhadap-Mu.

8Engkaulah satu-satunya harapan Israel, yang menyelamatkan kami daripada malapetaka. Mengapakah Engkau seperti orang asing di negeri kami, dan seperti musafir yang singgah satu malam lalu pergi?

9Mengapakah Engkau seperti orang yang bingung, seperti pahlawan yang tidak sanggup menolong? Tentu Engkau menyertai kami, ya TUHAN! Kami umat-Mu, jangan tinggalkan kami!’"

10Demikianlah firman TUHAN tentang umat itu, "Mereka suka lari daripada-Ku dan mereka tidak mahu mengawal diri. Oleh itu Aku tidak berkenan kepada mereka. Aku akan mengingat kesalahan mereka, dan menghukum mereka kerana dosa mereka."

11TUHAN berfirman kepadaku, "Janganlah minta Aku menolong umat itu.

12Walaupun mereka berpuasa, Aku tidak mahu mempedulikan seruan mereka minta tolong; dan meskipun mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, Aku tidak akan berkenan kepada mereka. Sebaliknya, Aku akan membinasakan mereka dengan peperangan, kebuluran, dan wabak."

13Kemudian aku berkata, "Ya TUHAN Raja, Engkau tahu nabi-nabi memberitahu rakyat bahawa tidak akan ada peperangan atau kebuluran, kerana Engkau telah berjanji bahawa di negeri ini akan selalu ada kedamaian."

14Tetapi TUHAN menjawab, "Nabi-nabi itu berdusta demi nama-Ku; Aku tidak mengutus mereka, dan tidak juga memberikan perintah atau berfirman kepada mereka. Penglihatan-penglihatan yang diceritakan mereka itu bukan daripada-Ku. Mereka meramalkan hal-hal yang tidak berguna, yang dikarang mereka sendiri.

15Nabi-nabi berkata demi nama-Ku bahawa negeri ini tidak akan ditimpa peperangan atau kebuluran, padahal Aku tidak menyuruh mereka mengatakan hal itu. Aku, TUHAN memberitahu engkau, apa yang akan Kulakukan terhadap nabi-nabi itu. Aku akan membunuh mereka dengan peperangan dan kebuluran.

16Orang yang telah menerima ramalan mereka pun akan dibunuh dengan cara yang sama. Mayat mereka akan dilempar ke jalan-jalan di Yerusalem; tiada orang akan menguburkan mayat mereka. Demikianlah kesudahan mereka semua, termasuk isteri, anak lelaki dan anak perempuan mereka. Aku akan menyebabkan mereka menanggung akibat kejahatan mereka."

17TUHAN menyuruh aku memberitahukan kesedihanku kepada umat-Nya. Aku harus berkata begini, "Biarlah aku menangis tiada hentinya, siang dan malam bercucuran air mata, kerana bangsaku luka parah dan sangat menderita.

18Apabila aku pergi ke padang, aku nampak mayat mangsa perang. Apabila aku pergi ke kota, aku nampak orang hampir mati kelaparan. Nabi dan imam menjalankan kewajipan tanpa mengerti apa yang dilakukan."

Umat Israel Minta Dikasihani TUHAN

19Ya TUHAN, adakah Yehuda Kautolak sama sekali? Adakah penduduk Sion Kaubenci? Mengapa Engkau memukul kami dengan keras sekali sehingga kami tidak dapat sembuh lagi? Sia-sia sahaja kami mencari kedamaian; kami mengharapkan kesembuhan, tetapi yang ada hanyalah keganasan.

20Ya TUHAN, terhadap Engkau sahaja kami telah berdosa. Kami mengakui dosa kami dan dosa nenek moyang kami.

21Ingatlah akan janji-Mu, janganlah hina kami; janganlah batalkan perjanjian-Mu dengan kami. Janganlah hina Yerusalem, tempat takhta-Mu yang mulia.

22Tiada dewa bangsa-bangsa dapat menurunkan hujan; langit pun tidak dapat mencurahkan hujan. Ya TUHAN, Allah kami, Engkaulah satu-satunya harapan kami, kerana Engkaulah yang menyebabkan semuanya terjadi.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel