Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 17 >> 

Dosa dan Hukuman terhadap Yehuda

1TUHAN berfirman, "Hai bangsa Yehuda, dosa kamu telah ditulis dengan pen besi; dosa kamu itu diukir pada hati kamu dengan mata pen intan, dan dipahatkan pada setiap sudut mazbah-mazbah kamu.

2Bangsa kamu memuja berhala di mazbah-mazbah dan tiang-tiang berhala yang telah didirikan untuk Dewi Asyera di bawah setiap pokok hijau, di puncak-puncak bukit,

3dan di atas gunung-gunung di luar kota. Aku akan menyuruh musuh kamu mengangkut segala harta dan kekayaan kamu, kerana segala dosa yang telah kamu lakukan di seluruh negeri.

4Kamu akan terpaksa menyerahkan tanah yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku akan menjadikan kamu hamba musuh di negeri yang asing sekali bagi kamu. Aku melakukan semua itu kerana kemurkaan-Ku seperti api yang menyala-nyala selama-lamanya."

Pelbagai Ajaran

5TUHAN berfirman, "Aku akan menghukum sesiapa sahaja yang meninggalkan Aku, dan yang berharap kepada manusia serta bersandar kepada kekuatan manusia fana.

6Dia seperti belukar di padang gurun, yang tumbuh di kawasan gersang, di tanah bergaram, yang tidak ditumbuhi tumbuhan lain. Orang seperti itu tidak pernah mengalami kebaikan.

7Tetapi orang yang berharap kepada-Ku akan Kuberkati selalu.

8Dia bagaikan pokok yang tumbuh di tepi sungai yang mengalir; akarnya merambat sampai ke air. Musim panas tidak ditakutinya, kerana daun-daunnya selalu hijau; walaupun negeri dilanda kemarau, tidak ada kegelisahannya, kerana buah selalu dihasilkannya.

9Hati manusia tidak dapat difahami oleh sesiapa; hati manusia lebih licik daripada segala-galanya, dan penyakitnya terlalu parah.

10Aku, TUHAN, menyelidiki hati; fikiran manusia Kuuji. Setiap orang Kuperlakukan menurut tingkah lakunya, dan Kuperlakukan sesuai dengan perbuatannya."

11Bagaikan burung menetaskan telur yang bukan miliknya, begitulah orang yang tidak jujur memperoleh harta. Pada usia yang masih muda dia akan kehilangan semua hartanya. Pada akhir hidupnya akan terbukti bahawa dia orang yang bodoh sekali.

12Rumah TUHAN kita seperti takhta yang mulia, yang terletak di atas gunung tinggi sejak mula-mula.

13Ya TUHAN, Engkaulah harapan Israel; semua orang yang meninggalkan Engkau akan dipermalukan. Mereka akan lenyap dari dunia ini, dan pergi ke dunia orang mati, kerana mereka telah meninggalkan TUHAN, sumber air yang memberikan hidup.

Yeremia Minta Pertolongan TUHAN

14Ya TUHAN, sembuhkanlah aku, supaya aku sihat. Selamatkanlah aku, agar aku selamat. Engkau sahaja yang aku puji!

15Orang berkata kepadaku, "Di manakah semua ancaman TUHAN terhadap kami? Biarlah Dia melaksanakan semuanya sekarang!"

16Tetapi, ya TUHAN, tidak pernah aku mendesak Engkau untuk mendatangkan kecelakaan kepada mereka. Aku tidak juga mengingini kesusahan menimpa mereka. Engkau tahu hal itu, ya TUHAN. Engkau tahu apa yang kukatakan.

17Janganlah Engkau menjadi sesuatu yang menakutkan aku. Engkaulah tempat aku berlindung apabila kesusahan datang.

18Semoga Engkau mempermalukan orang yang menganiaya aku, tetapi lindungilah aku, ya TUHAN. Liputilah mereka dengan ketakutan, tetapi janganlah takutkan aku. Datangkanlah malapetaka terhadap mereka sehingga mereka hancur binasa.

Merayakan Hari Sabat

19TUHAN berfirman kepadaku, "Hai Yeremia, pergilah ke Pintu Gerbang Rakyat yang dilalui raja-raja Yehuda apabila mereka keluar masuk kota, dan isytiharkanlah perkhabaran-Ku di situ. Kemudian pergilah ke semua pintu gerbang yang lain di Yerusalem.

20Suruhlah raja-raja dan semua orang Yehuda serta segenap penduduk Yerusalem yang lalu di pintu-pintu itu, supaya mendengar firman-Ku.

21Katakanlah begini, ‘Jika kamu tidak mahu mati, jangan angkat beban pada hari Sabat, atau membawanya masuk melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem.

22Jangan bekerja dan jangan angkat beban keluar dari rumah kamu pada hari Sabat. Rayakanlah hari itu sebagai hari yang khas untuk Aku seperti yang telah Kuperintahkan kepada nenek moyang kamu.

23Tetapi nenek moyang kamu tidak mahu mendengarkan Aku atau memperhatikan firman-Ku. Mereka degil dan tidak mahu taat atau menerima ajaran daripada-Ku.

24Taatilah semua perintah-Ku. Jangan angkat beban melalui pintu gerbang kota ini pada hari Sabat. Rayakanlah hari Sabat sebagai hari yang khas untuk Aku, dan jangan bekerja pada hari itu.

25Jika kamu sungguh-sungguh menjalankan perintah-Ku itu, maka para raja dan pegawai yang memerintah seperti Daud akan memasuki pintu-pintu gerbang kota Yerusalem. Mereka bersama dengan orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, akan mengenderai kereta kuda dan menunggang kuda, sehingga kota Yerusalem dipenuhi orang selama-lamanya.

26Orang akan datang dari kota-kota Yehuda, dan dari kampung-kampung di sekitar Yerusalem; mereka akan datang dari wilayah Benyamin, dari kawasan kaki bukit, dari kawasan pergunungan, dan dari bahagian selatan Yehuda. Mereka akan membawa korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban-korban lain, korban untuk mengucap syukur, dan kemenyan, serta korban kesyukuran ke Rumah-Ku.

27Semua perkara itu akan berlaku apabila kamu taat kepada-Ku dan merayakan hari Sabat sebagai hari yang khas untuk Aku. Jangan angkat beban melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem pada hari itu. Jika kamu melanggar perintah-Ku itu, Aku akan membakar habis pintu-pintu gerbang Yerusalem serta istana-istananya, dan api itu tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa pun.’"


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 17 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel