Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 13 >> 

Allah Akan Menghukum Babel

1Inilah perkhabaran Allah tentang Babel yang diterima oleh Yesaya anak Amos.

2Kibarkanlah panji perang di atas bukit yang gondol! Berserulah kepada para askar. Angkatlah lenganmu sebagai tanda bagi mereka untuk menyerang pintu-pintu gerbang kota yang sombong itu.

3TUHAN telah memanggil askar-askar pilihan-Nya. Mereka perkasa, percaya diri, dan dibanggakan-Nya. Dia menugaskan mereka untuk menghukum orang yang kena kemurkaan-Nya.

4Dengarlah keriuhan di atas gunung, seperti banyak orang yang berkumpul. Dengarlah kegemparan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan yang sedang berhimpun. TUHAN Yang Maha Kuasa sedang mengatur pasukan perang.

5Mereka datang dari negeri-negeri jauh, di hujung bumi. Kerana kemurkaan-Nya, TUHAN akan datang untuk memusnahkan seluruh bumi.

6Merataplah kerana hari TUHAN sudah dekat, masa TUHAN Yang Maha Kuasa mendatangkan kebinasaan.

7Tangan setiap orang akan menjadi lemah, dan semangat setiap orang akan hilang.

8Mereka akan ketakutan dan kesakitan seperti perempuan yang sedang bersalin. Mereka akan saling memandang dengan cemas, dan muka mereka merah kerana malu.

9Hari TUHAN itu akan tiba, dan pada hari itu TUHAN akan melampiaskan kemurkaan-Nya yang dahsyat. Bumi akan menjadi tandus, dan setiap orang yang berdosa akan dibinasakan.

10Setiap bintang dan gugusan bintang akan berhenti bersinar. Matahari akan menjadi gelap pada waktu fajar, dan bulan tidak akan bersinar.

11TUHAN berfirman, "Aku akan menghukum dunia kerana kejahatannya, dan semua orang kerana dosa mereka. Aku akan merendahkan setiap orang yang sombong, dan menghukum setiap orang yang tinggi hati serta kejam.

12Orang yang terselamat daripada bencana itu kecil sekali bilangannya, lebih sedikit daripada emas tulen.

13Aku akan menyebabkan langit gementar, dan bumi bergoncang dari tempatnya pada hari itu, apabila Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa menunjukkan kemurkaan-Ku.

14Orang bangsa asing yang tinggal di Babel akan lari ke negeri masing-masing. Mereka tercerai-cerai seperti rusa yang melarikan diri daripada pemburu, atau seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala.

15Sesiapa yang tertangkap akan ditikam sampai mati.

16Mereka akan menyaksikan bayi mereka dipukul sampai mati, rumah mereka dijarah, dan isteri mereka diperkosa."

17TUHAN berfirman, "Aku akan menggerakkan orang Madai supaya menyerang Babel. Mereka tidak mempedulikan perak, dan tidak tergoda oleh emas.

18Dengan busur dan panah, mereka akan membunuh orang muda. Mereka tidak menunjukkan belas kasihan kepada bayi ataupun kanak-kanak.

19Antara semua kerajaan, Babilonia adalah yang paling indah dan menjadi kebanggaan rakyatnya. Tetapi Aku, TUHAN, akan memusnahkan kota Babel sebagaimana Aku memusnahkan Sodom dan Gomora!

20Tiada sesiapa akan tinggal di situ lagi. Tiada pengembara Arab akan memasang khemahnya di situ, dan tiada gembala akan membawa domba untuk merumput di situ.

21Tempat itu akan didiami binatang liar dan burung hantu. Burung unta akan tinggal di situ, dan kambing hutan akan berkeliaran di seluruh runtuhan itu.

22Menara-menara dan istana-istana akan bergema dengan suara anjing hutan dan serigala. Saat kehancuran Babel hampir tiba, dan waktunya tidak ditunda lagi."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 13 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel