Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 41 >> 

Allah Meyakinkan Israel

1Allah berfirman, "Bertenanglah dan dengarlah firman-Ku, hai penduduk negeri-negeri jauh! Bersiaplah dan ajukanlah perkara kamu di mahkamah; kamu akan diberikan peluang untuk bercakap. Marilah kita tentukan siapa yang benar dan siapa yang salah.

2Siapakah yang mendatangkan penakluk dari timur, dan memberinya kemenangan ke mana sahaja dia pergi? Siapakah yang memberi dia kemenangan terhadap raja-raja dan bangsa-bangsa? Pedangnya menetak mereka seolah-olah mereka itu debu. Panahnya mencerai-beraikan mereka seperti jerami yang ditiup angin.

3Dia mengejar mereka dan maju tanpa rintangan, begitu laju sehingga hampir tidak menyentuh tanah!

4Siapakah yang membolehkan semua itu berlaku? Siapakah yang menentukan sejarah? Aku, TUHAN adalah yang pertama, dan Aku tetap ada sampai penghabisan.

5Penduduk negeri-negeri jauh telah melihat perbuatan-Ku; mereka terkejut dan gementar ketakutan. Oleh itu mereka semua datang dan berkumpul.

6Semua orang saling menolong, dan saling menguatkan hati.

7Tukang kayu menguatkan hati tukang emas, dan orang yang memipihkan logam dengan tukul, memuji orang yang menempa logam pada landasan. Mereka berkata tentang pematerian, ‘Sungguh baik hasil kerja ini.’ Lalu mereka menguatkan patung itu dengan paku.

8Tetapi kamu Israel, hamba-Ku, adalah umat pilihan-Ku, kamu keturunan Abraham, sahabat-Ku.

9Aku membawa kamu dari hujung bumi; Aku memanggil kamu dari tempat-tempat yang terjauh. Aku berfirman, ‘Kamu hamba-Ku.’ Aku tidak menolak kamu, sebaliknya Aku memilih kamu.

10Jangan takut kerana Aku menyertai kamu. Jangan cemas kerana Akulah Allah kamu. Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu.

11Orang yang marah terhadap kamu akan kalah dan dipermalukan. Orang yang melawan kamu akan mati dan lenyap dari muka bumi.

12Kamu akan mencari orang yang menentang kamu, tetapi mereka tidak akan kamu temukan. Orang yang berperang melawan kamu akan binasa dan lenyap.

13Akulah TUHAN, Allah kamu; Aku menguatkan kamu dan berfirman, ‘Jangan takut, Aku akan menolong kamu.’"

14TUHAN berfirman, "Walaupun kamu kecil dan lemah, hai Israel, jangan takut, Aku akan menolong kamu. Aku, Allah Israel, Allah yang suci, Akulah yang menyelamatkan kamu.

15Aku akan menjadikan kamu seperti papan pengirik yang baru, tajam, dan bergigi. Kamu akan mengirik gunung dan memusnahkannya; bukit-bukit pun akan hancur menjadi debu.

16Kamu akan menampi semuanya, lalu semua itu diterbangkan angin, dan dihamburkan taufan. Lalu kamu akan bersukacita kerana Aku Allah kamu; kamu akan memuji Aku, Allah Israel, Allah yang suci.

17Ketika umat-Ku yang sengsara memerlukan air, ketika tekak mereka kering kerana kehausan, Aku, TUHAN akan mengabulkan doa mereka; Aku, Allah Israel, tidak sekali-kali akan meninggalkan mereka.

18Aku akan menyebabkan sungai mengalir di bukit-bukit yang gondol, dan mata air memancar di lembah-lembah. Aku akan mengubah padang gurun menjadi kolam-kolam air dan air memancar dari tanah yang kering.

19Di padang gurun Aku akan menumbuhkan pokok sedar, pokok akasia, pokok kemunting, dan pokok zaitun. Tanah yang gondol akan menjadi hutan pokok pain, pokok juniper, dan pokok sipres.

20Maka semua orang akan melihatnya dan mengetahui bahawa Aku, TUHAN, yang melakukannya. Mereka akan memperhatikan dan mengerti bahawa Allah Israel, Allah yang suci telah melakukannya."

TUHAN Mencabar Dewa-Dewa

21Demikianlah TUHAN, raja Israel berfirman, "Hai dewa bangsa-bangsa, ajukanlah perkara kamu, dan kemukakanlah alasan-alasannya!

22Marilah dan ramalkanlah hal yang akan berlaku, supaya kami tahu ketika perkara itu berlaku. Terangkanlah kejadian masa lampau, dan jelaskanlah ertinya kepada kami.

23Ramalkanlah hal-hal yang akan berlaku, supaya kami tahu bahawa kamu benar-benar ilahi! Lakukanlah sesuatu yang baik, atau sesuatu yang jahat; supaya kami tercengang ketakutan!

24Kamu dan perbuatan kamu tidak bererti apa-apa; orang yang menyembah kamu menjijikkan sahaja.

25Aku telah menggerakkan hati seorang dari timur; Aku akan menyebabkan dia melancarkan serangan dari utara. Dia akan menginjak-injak para penguasa seolah-olah mereka lumpur, seperti tukang periuk menginjak-injak tanah liat.

26Siapakah antara kamu pernah meramalkan perkara ini, supaya kami tahu bahawa ramalan kamu tepat? Tiada sesiapa pun antara kamu yang meramalkan hal ini! Tiada seorang pun mendengar kamu mengatakan apa-apa!

27Aku TUHAN, Akulah yang pertama memberitakan hal itu kepada Sion; Aku menghantar utusan ke Yerusalem untuk menyampaikan berita baik, ‘Lihatlah bangsa kamu datang! Lihatlah mereka pulang!’

28Apabila Aku memandang dewa-dewa itu, tiada yang mengatakan apa-apa, tiada yang dapat menjawab pertanyaan-Ku.

29Semua dewa itu tidak berguna, tidak dapat berbuat apa-apa. Dewa-dewa itu patung sahaja, lemah dan tidak berdaya."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 41 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel