Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 65 >> 

Hukuman Allah bagi Pemberontak

1TUHAN berfirman, "Aku bersedia mengabulkan doa umat-Ku, tetapi mereka tidak berdoa kepada-Ku. Aku bersedia ditemui oleh mereka, tetapi mereka tidak cuba mencari Aku. Bangsa ini tidak berdoa kepada-Ku, walaupun Aku sentiasa bersedia menjawab, ‘Inilah Aku. Aku mahu menolong kamu.’

2Aku sentiasa bersedia menyambut umat-Ku, tetapi mereka selalu berdegil dan melakukan perkara-perkara yang salah serta mengikut kehendak mereka sendiri.

3Mereka terus-menerus membuat Aku murka. Mereka mempersembahkan korban di taman-taman keramat dan membakar kemenyan di mazbah-mazbah dewa.

4Pada waktu malam mereka pergi ke gua dan kubur untuk minta nasihat arwah. Mereka makan daging babi dan minum kuah daging yang telah dipersembahkan kepada berhala.

5Kemudian mereka berkata, ‘Jauhilah kami. Jangan sentuh kami kerana kami terlalu suci bagi kamu!’ Aku membenci orang yang berkelakuan demikian. Kemurkaan-Ku terhadap mereka seperti api yang tidak pernah padam.

6Aku telah menentukan hukuman bagi mereka. Hukuman itu telah Kutuliskan. Aku tidak akan membiarkan perbuatan mereka. Aku akan membalas

7dosa mereka dan dosa nenek moyang mereka. Mereka telah membakar kemenyan untuk dewa-dewa di tempat pemujaan di bukit, dan menghina Aku. Oleh itu Aku akan menghukum mereka setimpal dengan perbuatan mereka."

8TUHAN berfirman, "Tiada sesiapa pun memusnahkan buah anggur yang baik; sebaliknya mereka membuat wain daripadanya. Aku pun tidak akan membinasakan semua umat-Ku; Aku akan menyelamatkan mereka yang mengabdikan diri kepada-Ku.

9Aku akan memberkati umat Israel daripada suku Yehuda. Keturunan mereka akan memiliki tanah pergunungan-Ku. Umat pilihan-Ku yang mengabdikan diri kepada-Ku akan tinggal di situ.

10Mereka akan menyembah Aku, dan akan memimpin ternak mereka ke Dataran Saron di sebelah barat, dan ke Lembah Akhor di sebelah timur.

11Tetapi bukan begitu kesudahan kamu yang meninggalkan Aku serta tidak mempedulikan Sion, bukit-Ku yang suci, dan yang menyembah Gad dan Meni, dewa nasib dan dewa takdir.

12Kamu akan mati dengan dahsyatnya kerana kamu tidak menjawab ketika Aku memanggil, dan kamu tidak mendengar ketika Aku berfirman. Kamu sengaja tidak mahu taat kepada-Ku dan kamu sengaja melakukan kejahatan.

13Sesungguhnya, orang yang menyembah Aku dan taat kepada-Ku akan mendapat banyak makanan dan minuman, tetapi kamu akan lapar dan dahaga. Mereka akan gembira tetapi kamu akan dihina.

14Mereka akan menyanyi dengan gembira, sedangkan kamu akan menangis dan putus asa.

15Umat pilihan-Ku akan menggunakan nama kamu sebagai kutukan. Aku, TUHAN Raja akan membunuh kamu, tetapi kepada mereka yang taat kepada-Ku akan Kuberikan nama yang baru.

16Sesiapa yang tinggal di negeri itu, dan yang memohon berkat akan minta diberkati oleh Allah yang setia. Sesiapa yang bersumpah, akan bersumpah demi Allah yang setia. Hal itu demikian kerana penderitaan pada masa yang lalu telah lenyap dan dilupakan."

Ciptaan Baru

17TUHAN berfirman, "Aku akan mencipta langit yang baru dan bumi yang baru. Peristiwa-peristiwa yang lalu akan dilupakan sama sekali.

18Bergiranglah dan bersukacitalah selama-lamanya kerana apa yang Aku ciptakan. Yerusalem baru yang Aku cipta akan penuh kegembiraan dan penduduknya akan bahagia.

19Aku sendiri akan bersukacita kerana Yerusalem dan penduduknya. Di sana tiada lagi tangisan ataupun seruan minta tolong.

20Anak-anak tidak akan mati ketika masih bayi, dan orang akan panjang umur. Mereka yang berusia seratus tahun akan dianggap muda. Sesiapa yang mati sebelum seratus tahun akan dianggap kena hukuman-Ku.

21Orang yang membina rumah akan mendiaminya; rumah-rumah itu tidak akan didiami orang lain. Mereka yang menanam pokok anggur akan menikmati hasilnya; hasil itu tidak akan dinikmati orang lain. Umat-Ku akan panjang umur seperti pokok. Mereka akan puas menikmati hasil usaha mereka.

22(65:21)

23Usaha mereka akan berjaya, dan anak mereka tidak akan ditimpa malapetaka. Aku akan memberkati mereka dan keturunan mereka selama-lamanya.

24Sebelum mereka habis berdoa, Aku sudah mengabulkan doa mereka.

25Serigala dan anak domba akan makan bersama-sama, singa akan makan jerami seperti lembu, dan ular tidak berbahaya lagi. Di Sion, bukit-Ku yang suci, tidak lagi terdapat perkara yang berbahaya ataupun jahat."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 65 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel