Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 16 >> 

1Aku sudah memberitahu kamu semua ini supaya kamu tidak kecewa sehingga tidak lagi percaya kepada-Ku.

2Mereka akan melarang kamu masuk ke rumah ibadat. Akan tiba masanya sesiapa yang membunuh kamu menyangka bahawa dengan perbuatan itu dia mengabdi kepada Allah.

3Mereka akan melakukan perkara-perkara ini terhadap kamu, kerana mereka belum mengenal Bapa ataupun Aku.

4Tetapi sekarang Aku sudah mengatakan semua ini kepada kamu, supaya apabila hal itu berlaku kelak, kamu akan ingat bahawa Aku sudah memberitahu kamu."

Pekerjaan Roh Allah

"Aku tidak memberitahu kamu hal ini dari permulaan, kerana Aku masih bersama-sama kamu.

5Tetapi sekarang Aku akan pergi kepada Dia yang mengutus Aku, tetapi tidak seorang pun daripada kamu bertanya, ‘Ke mana Guru mahu pergi?’

6Sekarang kamu sedih, kerana Aku sudah memberitahu kamu hal ini.

7Tetapi apa yang Aku katakan kepada kamu benar: Untuk kebaikan kamu, lebih baik Aku pergi. Jika Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepada kamu. Tetapi jika Aku pergi, Aku akan mengutus Dia kepada kamu.

8Apabila Dia datang kelak, Dia akan membuktikan kepada orang dunia bahawa pendapat mereka tentang dosa, tentang apa yang benar, dan tentang hukuman Allah, semuanya salah.

9Pendapat mereka tentang dosa salah, kerana mereka tidak percaya kepada-Ku.

10Pendapat mereka tentang apa yang benar itu salah, kerana Aku pergi kepada Bapa dan kamu tidak akan melihat Aku lagi.

11Pendapat mereka tentang hukuman Allah pun salah, kerana penguasa dunia ini sudah dihukum.

12Banyak lagi yang hendak Aku katakan kepada kamu, tetapi sekarang ini kamu belum sanggup menerimanya.

13Tetapi apabila Roh yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah itu datang, Roh akan membimbing kamu supaya mengetahui segala kebenaran itu. Roh tidak akan mengatakan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan mengatakan apa yang didengar-Nya dan memberitahu kamu perkara-perkara yang akan berlaku.

14Roh akan memuliakan Aku, kerana apa yang dinyatakan oleh Roh kepada kamu, diterima daripada Aku.

15Semua milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Itulah sebabnya Aku berkata bahawa apa yang disampaikan oleh Roh kepada kamu, diterima daripada Aku."

Kesedihan dan Kegembiraan

16Yesus berkata, "Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku."

17Beberapa orang pengikut Yesus bertanya sesama sendiri, "Apakah maksud Dia berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku’? Dia juga berkata, ‘Aku akan pergi kepada Bapa.’

18Apakah erti ‘tidak lama lagi’ itu? Kita tidak memahami apa yang dikatakan-Nya!"

19Yesus tahu bahawa mereka hendak bertanya kepada-Nya. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, "Tadi Aku berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku.’ Adakah kamu mempersoalkan hal itu?

20Percayalah, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersukacita. Kamu akan bersedih hati, tetapi kesedihan kamu itu akan berubah menjadi kegembiraan.

21Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, hatinya susah kerana masa penderitaannya sudah tiba. Tetapi ketika anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita, kerana seorang anak sudah dilahirkan ke dunia.

22Demikianlah halnya dengan kamu: Sekarang kamu susah hati, tetapi Aku akan berjumpa lagi dengan kamu. Hati kamu akan dipenuhi kegembiraan yang tidak dapat diambil oleh sesiapa pun.

23Pada hari itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Percayalah, Bapa akan mengurniai kamu apa sahaja yang kamu minta daripada Bapa demi nama-Ku.

24Hingga saat ini kamu belum pernah minta apa-apa demi nama-Ku. Mintalah, lalu kamu akan menerimanya, supaya kegembiraan kamu sempurna."

Yesus Mengalahkan Dunia

25"Aku sudah mengatakan segala perkara ini kepada kamu dengan perumpamaan. Tetapi akan tiba masanya Aku tidak lagi berkata-kata kepada kamu dengan perumpamaan, melainkan Aku akan berkata-kata dengan terus terang kepada kamu tentang Bapa.

26Pada masa itu, kamu akan meminta kepada Bapa demi nama-Ku. Aku tidak berkata bahawa Aku akan meminta kepada-Nya bagi pihak kamu,

27kerana Bapa sendiri mengasihi kamu. Dia mengasihi kamu kerana kamu mengasihi Aku dan percaya bahawa Aku datang daripada Allah.

28Aku memang berasal daripada Bapa, dan Aku sudah datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini lalu kembali kepada Bapa."

29Lalu pengikut-pengikut-Nya berkata kepada Dia, "Sekarang barulah Guru berkata dengan terus terang, tanpa menggunakan perumpamaan.

30Sekarang kami tahu bahawa Guru mengetahui semuanya. Tidak perlu sesiapa pun bertanya apa-apa kepada Guru. Oleh itu kami percaya bahawa Guru berasal daripada Allah."

31Yesus berkata kepada mereka, "Adakah kamu percaya sekarang?

32Saatnya akan datang, malah sudah tiba, apabila kamu akan dicerai-beraikan. Kamu akan pulang ke rumah masing-masing dan meninggalkan Aku seorang diri. Meskipun demikian, Aku tidak sendirian, kerana Bapa bersama-sama Aku.

33Aku mengatakan semua ini supaya kamu beroleh kesejahteraan kerana bersatu dengan Aku. Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia!"


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Yohanes 16):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Yohanes 16 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel