Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 17 >> 

Yesus Berdoa bagi Pengikut-Pengikut-Nya

1Setelah berkata demikian, Yesus menengadah ke langit lalu berkata, "Ya Bapa, sekarang tibalah saatnya. Muliakanlah Anak-Mu, supaya Anak pun boleh memuliakan Bapa.

2Engkau sudah memberikan kuasa atas umat manusia kepada Anak-Mu, supaya Anak-Mu memberikan hidup sejati dan kekal kepada semua orang yang Engkau serahkan kepada-Nya.

3Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal.

4Aku sudah memuliakan Engkau di atas bumi dengan menyelesaikan tugas yang Engkau berikan kepada-Ku.

5Ya Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Aku miliki bersama-sama-Mu sebelum dunia ini dijadikan.

6Aku sudah menunjukkan Engkau kepada semua orang dari dunia ini yang Engkau serahkan kepada-Ku. Mereka milik-Mu, dan Engkau menyerahkan mereka kepada-Ku. Mereka mentaati firman-Mu,

7dan sekarang mereka tahu bahawa semua yang Engkau berikan kepada-Ku datangnya daripada-Mu.

8Perkhabaran yang Engkau berikan kepada-Ku sudah Aku sampaikan kepada mereka, dan mereka menerimanya. Mereka tahu bahawa Aku betul-betul datang daripada Engkau dan mereka percaya bahawa Engkau mengutus Aku.

9Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia, melainkan untuk semua orang yang sudah Engkau serahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu.

10Semua milik-Ku, milik-Mu juga; dan semua milik-Mu, milik-Ku juga. Kemuliaan-Ku dinyatakan melalui mereka.

11Sekarang Aku datang kepada-Mu. Aku tidak tinggal lagi di dunia, tetapi mereka masih di dunia. Ya Bapa yang suci, jagalah mereka dengan kekuasaan nama-Mu, nama yang sudah Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku juga satu.

12Semasa Aku bersama-sama mereka, Aku menjaga mereka dengan kekuasaan nama-Mu; nama yang Engkau berikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tidak seorang pun daripada mereka sesat, kecuali orang yang memang seharusnya sesat, supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku.

13Sekarang Aku datang kepada-Mu. Perkara-perkara ini Aku katakan sementara Aku masih di dunia, supaya mereka boleh merasakan kegembiraan-Ku dengan sepenuhnya.

14Aku menyampaikan firman-Mu kepada mereka, lalu dunia membenci mereka kerana mereka bukan milik dunia, sebagaimana Aku pun bukan milik dunia.

15Aku tidak meminta Engkau mengeluarkan mereka dari dunia, tetapi Aku meminta Engkau menjaga mereka daripada Si Jahat.

16Sebagaimana Aku bukan milik dunia, mereka pun bukan milik dunia.

17Jadikanlah mereka milik-Mu yang khas melalui firman-Mu yang benar; firman-Mu selalu benar.

18Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus Aku ke dunia.

19Bagi kepentingan mereka, Aku mengabdikan diri kepada-Mu, supaya mereka pun mengabdikan diri kepada-Mu.

20Aku berdoa bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui perkhabaran mereka.

21Ya Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu, sebagaimana Engkau bersatu dengan-Ku, dan Aku dengan-Mu. Semoga mereka menjadi satu dengan Kita supaya dunia percaya bahawa Engkau mengutus Aku.

22Aku memberi mereka kemuliaan yang Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku satu juga;

23Aku bersatu dengan mereka dan Engkau bersatu dengan Aku, supaya mereka benar-benar menjadi satu. Lalu dunia akan tahu bahawa Engkau mengutus Aku dan bahawa Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi Aku.

24Ya Bapa, Aku ingin supaya mereka yang sudah Engkau serahkan kepada-Ku bersama-sama Aku di tempat Aku ada, supaya mereka boleh melihat kemuliaan yang Engkau berikan kepada-Ku, kerana Engkau mengasihi Aku sebelum dunia ini dijadikan.

25Ya Bapa yang adil! Dunia tidak mengenal Engkau, tetapi Aku mengenal Engkau, dan semua orang ini tahu bahawa Engkau mengutus Aku.

26Aku sudah menunjukkan Engkau kepada mereka; Aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepada-Ku tetap di dalam hati mereka dan supaya Aku bersatu dengan mereka."


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Yohanes 17):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Yohanes 17 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel