Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yosua 7 >> 

Dosa Akhan

1Firman TUHAN yang melarang orang Israel mengambil apa-apa pun dari kota Yerikho yang sepatutnya dimusnahkan, tidak dipatuhi. Seorang yang bernama Akhan anak Karmi melanggar perintah itu. Oleh itu TUHAN murka kepada umat Israel. (Akhan anak Karmi dan cucu Zabdi; dia daripada puak Zerah, sebahagian daripada suku Yehuda.)

2Yosua mengirim beberapa orang dari Yerikho ke Ai, sebuah kota di sebelah timur Betel, dekat Bet-Awen. Yosua menyuruh mereka menjelajahi negeri itu. Setelah mereka berbuat demikian,

3mereka memberikan laporan kepada Yosua, "Tidak perlu semua orang pergi menyerang kota itu. Kirimlah dua atau tiga ribu orang sahaja. Tidak perlu seluruh angkatan tentera pergi ke sana untuk berperang kerana kota Ai bukan kota yang besar."

4Oleh itu hanya kira-kira tiga ribu orang Israel menyerang kota itu, tetapi mereka dipukul mundur.

5Orang Ai mengejar mereka dari pintu gerbang kota itu hingga ke kawasan kuari, lalu membunuh kira-kira tiga puluh enam orang Israel di lereng bukit. Oleh itu orang Israel hilang semangat dan menjadi takut.

6Yosua dan para pemimpin Israel mengoyak-ngoyakkan pakaian kerana dukacita, lalu sujud di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN sehingga senja. Mereka juga menghamburkan debu di atas kepala untuk menunjukkan kesedihan mereka.

7Yosua berkata. "Ya TUHAN Raja, mengapakah Engkau membawa kami menyeberang Sungai Yordan? Adakah Engkau hendak menyerahkan kami kepada orang Amori supaya dibinasakan oleh mereka? Mengapakah Engkau tidak membiarkan kami tinggal saja di seberang sungai itu?

8Ya Tuhan, apakah yang dapat aku katakan sekarang, setelah orang Israel dipukul mundur oleh musuh?

9Orang Kanaan dan semua orang di negeri ini akan mendengar tentang hal itu. Mereka akan mengepung kami lalu membunuh kami semua! Kemudian apakah yang akan Engkau buat untuk mempertahankan kehormatan-Mu?"

10TUHAN berfirman kepada Yosua, "Bangunlah! Mengapakah engkau sujud demikian?

11Umat Israel telah berdosa! Mereka melanggar perjanjian yang Aku suruh mereka pegang. Mereka telah mengambil sebahagian daripada barang-barang yang sepatutnya dimusnahkan. Mereka mencuri barang-barang itu lalu berdusta pula. Mereka menyimpannya bersama dengan barang-barang mereka sendiri.

12Itulah sebabnya orang Israel tidak dapat melawan musuh. Mereka terpaksa mundur kerana mereka sendiri telah dijatuhi hukuman untuk dibinasakan. Aku tidak akan menyertai kamu lagi kecuali kamu memusnahkan barang-barang yang tidak sepatutnya kamu simpan.

13Bangunlah! Sucikanlah umat dan suruhlah mereka bersedia menghadap Aku. Suruhlah mereka bersedia menghadap Aku esok kerana Aku, TUHAN dan Allah umat Israel berfirman, ‘Hai orang Israel, ada pada kamu sebahagian barang yang sepatutnya dimusnahkan menurut perintah-Ku. Kamu tidak dapat mengalahkan musuh sebelum kamu membuang barang-barang itu.’

14Oleh itu beritahulah mereka bahawa pada pagi esok mereka akan dihadapkan kepada-Ku, suku demi suku. Suku yang Aku tunjuk akan tampil, puak demi puak. Puak yang Aku tunjuk akan tampil, keluarga demi keluarga. Keluarga yang Aku tunjuk akan tampil, seorang demi seorang.

15Orang yang didapati menyimpan barang-barang terlarang itu akan dibakar, bersama-sama keluarganya dan segala miliknya kerana dia telah mempermalukan Israel dan melanggar perjanjian-Ku."

16Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi dan menghadapkan orang Israel kepada TUHAN, suku demi suku, lalu suku Yehuda yang ditunjuk.

17Yosua menghadapkan suku Yehuda, puak demi puak, lalu puak Zerah yang ditunjuk. Kemudian dia menghadapkan puak Zerah, keluarga demi keluarga, lalu keluarga Zabdi yang ditunjuk.

18Kemudian Yosua menghadapkan keluarga Zabdi, seorang demi seorang, lalu Akhan yang ditunjuk. Akhan anak Karmi dan cucu Zabdi.

19Yosua berkata kepadanya, "Hai anakku, katakanlah yang benar di hadapan TUHAN, Allah Israel dan mengakulah. Sekarang, beritahulah aku apa yang telah engkau lakukan. Jangan sembunyikan perkara itu daripadaku."

20Akhan menjawab, "Sesungguhnya saya telah berdosa terhadap TUHAN, Allah Israel. Inilah yang saya lakukan.

21Saya mendapati sehelai jubah yang cantik buatan Babilonia, perak seberat hampir dua kilogram, dan sebatang emas yang beratnya lebih daripada setengah kilogram di antara barang-barang jarahan itu. Saya begitu menginginkan barang-barang itu sehingga saya mengambilnya. Barang-barang itu tertanam di tanah di dalam khemah saya; perak itu terletak di bawah sekali."

22Kemudian Yosua menyuruh beberapa orang berlari ke khemah itu. Mereka mendapati barang-barang terkutuk itu benar-benar tertanam di sana, dengan perak terletak di bawah sekali.

23Mereka membawa barang-barang itu keluar dari khemah, lalu membawanya kepada Yosua dan semua umat Israel. Mereka meletakkan barang-barang itu di hadapan TUHAN.

24Yosua dan semua umat Israel menangkap Akhan, lalu mengambil perak, jubah, dan emas itu; mereka juga menangkap anak-anaknya lelaki dan perempuan dan mengambil lembu, keldai, domba, khemah, dan segala miliknya lalu membawa semuanya ke Lembah Kesusahan.

25Kemudian Yosua berkata, "Lihatlah kesusahan yang telah engkau datangkan kepada kami! Sekarang TUHAN pun akan mendatangkan kesusahan kepadamu!" Maka semua umat Israel merejam Akhan sehingga mati. Mereka juga merejam dan membakar anggota keluarganya dan segala miliknya.

26Kemudian mereka menimbuninya dengan batu sehingga menjadi satu timbunan yang besar. Timbunan batu itu masih ada di sana sampai hari ini. Itulah sebabnya tempat itu masih dinamakan Lembah Kesusahan. Selepas itu TUHAN tidak murka lagi.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yosua 7 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel