Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 14 >> 

Menyeberangi Laut Merah

1TUHAN berfirman kepada Musa,

2“Suruhlah orang Israel berpatah balik dan berkhemah di hadapan Pi-Hahirot, di antara Migdol dengan laut. Mereka harus berkhemah di tepi laut, di hadapan Baal-Zefon.

3Firaun akan berkata, ‘Tentu orang Israel sudah tersesat di negeri ini. Gurun mengurung mereka.’

4Aku akan mengeraskan hati Firaun sehingga dia mengejar mereka. Kemuliaan-Ku akan dinyatakan melalui Firaun dan seluruh pasukannya, sehingga warga Mesir tahu bahawa Akulah TUHAN.” Maka orang Israel pun melaksanakan hal itu.

5Ketika dikhabarkan kepada raja Mesir bahawa bangsa itu sudah lari, maka berubahlah fikiran Firaun dan para pegawainya terhadap bangsa itu. Mereka berkata, “Apakah yang telah kita lakukan ini? Kita melepaskan orang Israel daripada perhambaan kita!”

6Lalu dia mempersiapkan segala ratanya dan membawa pasukannya bersama-samanya.

7Dia membawa enam ratus rata pilihan serta kesemua rata yang ada di Mesir, lengkap dengan para perwira yang mengepalai kesemuanya.

8TUHAN mengeraskan hati Firaun, raja Mesir, sehingga dia mengejar orang Israel. Sementara itu orang Israel bergerak dengan semangat yang tinggi.

9Orang Mesir mengejar mereka dengan semua kuda dan rata Firaun, dan dengan pasukan tentera berkuda. Mereka hendak menyusul orang Israel yang sedang berkhemah di tepi laut, dekat Pi-Hahirot, berhadapan dengan Baal-Zefon.

10Ketika Firaun sudah dekat dan orang Israel melayangkan pandang mereka, kelihatanlah betapa warga Mesir bergerak menyusul mereka. Maka orang Israel menjadi sangat ketakutan, lalu mereka berseru kepada TUHAN.

11Kata mereka kepada Musa, “Apakah kerana tidak ada kuburan di Mesir maka engkau membawa kami pergi untuk mati di gurun ini? Apakah yang kaulakukan ini terhadap kami dengan membawa kami keluar dari Mesir?

12Bukankah di Mesir telah kami katakan kepadamu, ‘Jangan ganggu kami, biarlah kami menghambakan diri kepada warga Mesir’? Lebih baik kami menjadi hamba kepada orang Mesir daripada mati di gurun ini.”

13Lalu kata Musa kepada bangsa itu, “Jangan takut. Tetaplah berdiri dan lihatlah penyelamatan daripada TUHAN yang akan diberikan-Nya kepadamu pada hari ini, kerana selepas ini, warga Mesir yang kamu lihat kini tidak akan kamu lihat lagi buat selama-lamanya.

14TUHAN akan berperang untuk kamu, dan kamu hanya perlu berdiam sahaja.”

15Firman TUHAN kepada Musa, “Mengapakah engkau berseru kepada-Ku? Suruhlah orang Israel mara ke hadapan.

16Kemudian engkau, angkatlah tongkatmu, hulurkanlah tanganmu ke atas laut dan belahlah airnya, sehingga orang Israel dapat berjalan di tempat yang kering di tengah laut.

17Sementara Aku akan mengeraskan hati orang Mesir sehingga mereka akan bergerak mengikuti orang Israel. Kemuliaan-Ku akan dinyatakan kepada Firaun dan seluruh pasukannya, atas segala ratanya dan pasukan berkudanya.

18Orang Mesir akan mengetahui bahawa Akulah TUHAN pada waktu kemuliaan-Ku dinyatakan kepada Firaun, segala ratanya, dan pasukan berkudanya.”

19Kemudian malaikat Allah, yang sebelumnya berjalan di depan pasukan Israel, berpindah ke belakang mereka. Tiang awan itu bergerak dari depan mereka lalu berdiri di belakang mereka,

20di antara pasukan Mesir dengan pasukan Israel. Awan itu menimbulkan kegelapan di satu sisi dan cahaya di sisi yang lain pada malam hari, sehingga semalaman itu, pasukan Mesir tidak dapat menghampiri pasukan orang Israel.

21Kemudian Musa menghulurkan tangannya ke atas laut, dan TUHAN menguakkan laut dengan angin timur yang keras semalam-malaman itu, sehingga membuat dasar laut untuk menjadi tanah yang kering. Air pun terbelah.

22Lalu masuklah orang Israel ke tengah laut dengan berjalan di tanah yang kering, sementara air itu menjadi seperti tembok di sebelah kanan dan kiri mereka.

23Warga Mesir mengejar dan mengikuti mereka ke tengah laut – semua kuda Firaun, ratanya, dan pasukan berkudanya.

24Menjelang pagi, TUHAN menatap pasukan orang Mesir dari dalam tiang api dan awan, lalu mengacau pasukan warga Mesir itu.

25Dia melepaskan roda-roda rata mereka sehingga berat untuk dikemudikan. Kata orang Mesir, “Mari kita lari daripada orang Israel kerana ternyata memang TUHAN yang berperang melawan Mesir untuk mereka.”

26Firman TUHAN kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas laut supaya air berbalik melanda orang Mesir, segala rata mereka, dan pasukan berkuda mereka.”

27Musa pun menghulurkan tangannya ke atas laut, lalu pada waktu fajar terbit kembalilah air laut ke tempatnya seperti sediakala, sementara orang Mesir berlari ke arah air itu. Demikianlah TUHAN menghempaskan orang Mesir di tengah laut.

28Air itu kembali lalu menutupi segala rata dan pasukan berkuda, iaitu seluruh pasukan Firaun yang mengikuti orang Israel masuk ke laut. Tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang terselamat.

29Sebaliknya, orang Israel berjalan di tanah yang kering di tengah laut, dan air itu menjadi seperti tembok di sebelah kanan dan kiri mereka.

30Demikianlah TUHAN menyelamatkan orang Israel daripada tangan warga Mesir pada hari itu. Orang Israel melihat warga Mesir mati terdampar di pantai laut.

31Ketika orang Israel melihat betapa besarnya kuasa yang ditunjukkan TUHAN terhadap orang Mesir, maka takutlah umat itu kepada TUHAN. Mereka pun percaya kepada TUHAN dan kepada Musa, hamba-Nya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel