Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 26 >> 

Paulus membela diri di hadapan Agripa

1Setelah itu, Agripa berkata kepada Paulus, “Sekarang kamu diberi izin untuk membela dirimu.” Paulus pun memberikan isyarat dengan tangannya lalu membela dirinya demikian,

2“Tuanku Raja Agripa, aku berasa bahagia kerana dapat menjawab tuduhan orang Yahudi ke atasku di hadapan kamu pada hari ini;

3lebih-lebih lagi kerana kamu memahami adat dan perselisihan yang berlaku dalam kalangan orang Yahudi. Oleh itu, aku memohon kamu mendengarku dengan sabar.

4Semua orang Yahudi telah maklum tentang cara hidupku dari muda lagi, ketika di negeriku dan kemudiannya di Yerusalem.

5Dari mulanya mereka telah mengenaliku, kalaulah mereka mahu bersaksi. Mereka tahu bahawa aku menurut ajaran yang paling keras dalam agama kami kerana aku hidup sebagai orang Farisi.

6Sekarang pun aku berdiri di sini dan didakwa kerana aku berharap akan janji Allah kepada nenek moyang kami.

7Dua belas suku bangsa kami tekun menyembah Allah siang malam dan berharap akan janji itu juga. Oleh sebab harapan inilah, aku dituduh oleh orang Yahudi.

8Jika benar Allah membangkitkan orang daripada kematian, mengapakah pada hematmu hal itu tidak dapat dipercayai orang?

9Satu masa dahulu, pada perasaan hatiku, wajar sekali aku mengambil pelbagai tindakan terhadap nama Yesus orang Nazaret itu;

10dan aku sudah pun berbuat demikian di Yerusalem. Setelah mendapatkan kuasa daripada ketua-ketua imam, aku telah memenjarakan ramai orang yang salih; dan apabila mereka dibunuh, aku menyetujui pembunuhan itu.

11Kerap kali di saumaah aku menyeksa mereka dalam usaha memaksa mereka berpaling daripada iman; dan oleh sebab terlalu berang terhadap mereka, aku memburu mereka hingga ke negeri asing.”

12“Pada suatu hari sedang aku dalam perjalanan ke Damsyik, dengan membawa surat kuasa daripada ketua-ketua imam,

13pada waktu tengah hari, aku melihat di tengah jalan suatu cahaya dari langit, lebih terang daripada sinar matahari, bersinar mengelilingiku dan semua orang yang berjalan bersamaku.

14Kami semua rebah ke bumi, lalu aku mendengar suatu suara berkata dalam bahasa Ibrani kepadaku, ‘Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku? Sukarlah bagimu, seperti menendang sesuatu yang tajam.’

15Aku bertanya, ‘Siapakah Engkau, Tuan?’ Jawab Tuhan, ‘Akulah Yesus yang kauaniayakan.

16Tetapi bangunlah, berdirilah. Aku menampakkan diri kepadamu untuk melantikmu sebagai hamba-Ku dan saksi terhadap apa yang engkau lihat tentang-Ku, dan tentang apa yang akan Kutunjukkan lagi kepadamu.

17Aku akan menyelamatkanmu daripada orang Yahudi dan bangsa lain juga. Aku akan mengutusmu kepada mereka,

18untuk mencelikkan mata mereka dan membawa mereka daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kuasa Iblis kepada kuasa Allah. Dengan demikian mereka akan menerima pengampunan dosa dan tempat antara orang yang disucikan oleh iman kepada-Ku.’ ”

19“Oleh itu, Tuanku Raja Agripa, aku dengan sepenuh rela menurut perintah dari penglihatan yang datang dari syurga itu.

20Aku telah menyampaikan kepada semua orang di Damsyik, Yerusalem dan seluruh Yudea, juga kepada orang bangsa asing, bahawa mereka hendaklah bertaubat dan berpaling kepada Allah serta berkelakuan selaras dengan pertaubatan itu.

21Itulah sebabnya orang Yahudi menangkapku di dalam Bait Suci, serta mencari jalan hendak membunuhku.

22Tetapi hingga saat ini Allah telah menolongku dan aku berdiri di sini sambil bersaksi kepada orang besar dan orang biasa, dengan mengatakan perkara yang telah dinubuatkan oleh nabi-nabi dan oleh Musa:

23iaitu Kristus pasti mengalami kematian dan menjadi orang yang pertama bangkit daripada kematian. Dengan demikian Dia mengisytiharkan penyelamatan kepada orang Yahudi dan bangsa lain, penyelamatan yang seperti cahaya bagi semua.”

24Sedang Paulus menegakkan pembelaannya demikian, Festus berkata dengan suara nyaring, “Kamu gila, Paulus; ilmu yang terlalu banyak menjadikan kamu gila.”

25Paulus menjawab, “Aku bukannya gila, Festus yang mulia. Aku mengatakan perkara yang benar dan bijaksana.

26Tuanku Raja Agripa, aku berani berkata-kata di hadapanmu dengan bebas kerana aku tahu dalam hati bahawa kamu faham akan perkara-perkara ini, memandangkan segalanya tidaklah berlaku di tempat yang tersembunyi.

27Tuanku Raja Agripa, percayakah kamu akan kata nabi-nabi itu? Aku tahu bahawa kamu percaya.”

28Agripa berkata kepada Paulus, “Dengan sepatah dua katamu, kausangka dapat menjadikanku orang Kristian?”

29Paulus menjawab, “Sepatah dua atau banyak, aku berdoa kepada Allah, mudah-mudahan kamu dan sekalian yang mendengar kata-kataku hari ini akan menjadi sama sepertiku, cuma tidak diikat dengan rantai.”

30Raja Agripa, Festus gabenor Kaisarea, Bernike dan semua yang bersama mereka,

31berangkat keluar dari mahkamah sambil berbincang. Seorang daripada mereka berkata, “Orang itu tidak melakukan apa-apa yang menyebabkan dia patut dibunuh atau dipenjara.”

32Agripa berkata kepada Festus, “Orang ini boleh dibebaskan, kalau tidak kerana dia hendak mengadukan halnya kepada Kaisar.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kisah Para Rasul 26 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran