Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Nehemia 9 >> 

Pengakuan dosa oleh orang Israel

1Pada hari kedua puluh empat dalam bulan itu juga orang Israel berkumpul dan berpuasa dengan memakai kain perkabungan serta meletakkan tanah di atas kepala.

2Orang Israel yang sejati mengasingkan diri daripada semua orang asing lalu berdiri mengakui dosa mereka dan kesalahan nenek moyang mereka.

3Selama seperempat hari mereka berdiri di tempat masing-masing demi mendengar pembacaan daripada Kitab Taurat TUHAN, Allah mereka. Kemudian selama seperempat hari berikutnya mereka mengakui dosa dan sujud menyembah TUHAN, Allah mereka.

4Lalu dari atas mimbar bani Lewi berdirilah Yesua, Bani, Kadmiel, Sebanya, Buni, Serebya, Bani, dan Kenani lalu berseru dengan suara yang nyaring kepada TUHAN, Allah mereka.

5Maka berkatalah beberapa orang Lewi, iaitu Yesua, Kadmiel, Bani, Hasabneya, Serebya, Hodia, Sebanya, dan Petahya, “Bangunlah dan pujilah TUHAN, Allahmu, dari abadi sampai abadi! Segala puji-pujian atas nama-Mu yang mulia, yang ditinggikan mengatasi segala puji dan hormat.”

6“Engkaulah TUHAN, Engkau sahaja! Engkau telah menjadikan langit, bahkan langit di atas segala langit, dengan segala penghuninya, bumi dengan segala yang ada di atasnya, dan laut dengan segala yang ada di dalamnya. Engkau memelihara semuanya, dan seluruh angkatan di langit pun menyembah Engkau.

7Engkaulah TUHAN, Allah yang telah memilih Abram, membawanya keluar dari Ur-Kasdim, dan menamainya Abraham.

8Kaudapati bahawa hatinya setia kepada-Mu dan Engkau mengikat perjanjian dengannya untuk mengurniakan kepada keturunannya tanah bani Kanaan, bani Het, bani Amori, bani Feris, bani Yebus, dan bani Girgasi. Engkau telah menepati firman-Mu kerana Engkau benar.

9Engkau melihat kesusahan nenek moyang kami di Mesir dan mendengar seruan mereka di tepi Laut Merah.

10Engkau menunjukkan tanda-tanda dan mukjizat-mukjizat di hadapan Firaun, semua pegawainya, dan seluruh penduduk negerinya, kerana Engkau tahu bahawa mereka telah bertindak angkuh terhadap nenek moyang kami. Demikianlah Engkau membuat nama-Mu masyhur, seperti yang nyata pada hari ini.

11Engkau membelah laut di hadapan umat-Mu lantas mereka dapat berjalan menyeberangi laut di tanah yang kering, tetapi kalangan musuh yang mengejar mereka Kaucampakkan ke dasar air yang dalam seperti batu di air yang deras.

12Engkau memimpin perjalanan mereka dengan tiang awan pada siang hari dan dengan tiang api pada malam hari untuk menerangi jalan yang perlu dilalui mereka.

13Engkau turun dan hadir di atas Gunung Sinai dan berfirman kepada mereka dari langit. Kauberi mereka peraturan-peraturan yang adil, hukum-hukum yang benar, serta ketetapan-ketetapan dan perintah-perintah yang baik.

14Engkau menyatakan kepada mereka fasal hari Sabat-Mu yang suci, dan Kauberi mereka perintah-perintah, ketetapan-ketetapan, dan hukum dengan perantaraan Musa, hamba-Mu.

15Engkau pula memberikan kepada mereka roti dari langit sebagai pengubat kelaparan, dan Engkau memancarkan air daripada bukit batu sebagai penawar kehausan. Engkau menyuruh mereka masuk menduduki negeri yang telah Kaujanjikan dengan bersumpah untuk dikurniakan kepada mereka.

16Tetapi mereka serta nenek moyang kami itu, bertindak angkuh, mengeraskan hati, dan tidak mahu mendengar segala perintah-Mu.

17Mereka tidak mahu taat dan tidak mengingati perbuatan-perbuatan ajaib yang telah Kaubuat dalam kalangan mereka. Mereka mengeraskan hati, dan dalam penderhakaan mereka itu, mereka melantik seorang pemimpin untuk kembali ke dalam kancah perhambaan. Namun demikian, Engkau ialah Allah yang pengampun, pengasih dan penyayang, panjang sabar dan melimpah-ruah kasih, sehingga Engkau tidak meninggalkan mereka.

18Bahkan ketika mereka membuat anak lembu tuangan lalu berkata, ‘Inilah Allahmu, yang memimpin kamu keluar dari Mesir,’ dan ketika mereka teramat berdosa dengan menghumbankan pelbagai nista terhadap Engkau,

19Engkau tidak meninggalkan mereka di gurun itu atas sebab teramat besarnya kasih sayang-Mu. Tiang awan tidak meninggalkan mereka pada siang hari untuk memimpin mereka di jalan, demikian juga tiang api pada malam hari untuk menerangi jalan yang harus ditempuh mereka.

20Engkau mengurniakan Roh-Mu yang baik untuk mengajar mereka. Manna-Mu tidak Kautahan daripada mulut mereka dan Engkau memberi mereka air sebagai penawar haus.

21Empat puluh tahun lamanya Engkau mencukupkan segala keperluan mereka di gurun itu. Mereka tidak kekurangan apa-apa pun. Pakaian mereka tidak usang, dan kaki mereka tidak bengkak.

22Kepada mereka, Engkau mengurniakan beberapa buah kerajaan serta bangsa, dan memberikan kepada mereka tanah bangsa-bangsa itu hingga setiap sudut bumi. Mereka pun menduduki tanah milik Sihon, raja Hesbon, dan tanah Og, raja Basan.

23Engkau melipatgandakan anak cucu mereka seperti bintang di langit, lalu Kaubawa mereka ke negeri yang telah Kaufirmankan kepada nenek moyang mereka untuk dimasuki dan diduduki.

24Kemudian masuklah keturunan mereka lalu menduduki negeri yang telah Engkau takluki di hadapan mereka dengan menundukkan penduduk negeri itu, iaitu bani Kanaan, lalu Kauserahkan semua orang itu berserta raja-raja dan bangsa-bangsa negeri itu ke dalam tangan mereka untuk diperlakukan sesuka hati mereka.

25Mereka merebut kota-kota berkubu dan tanah yang subur, mengambil begitu banyak rumah yang penuh dengan segala sesuatu yang baik, juga semua perigi, kebun anggur, kebun zaitun, serta pokok buah-buahan. Makanlah mereka hingga kenyang dan menjadi gemuk. Mereka hidup senang-lenang atas sebab kebaikan-Mu yang sebegitu besar.

26Namun begitu, mereka menderhaka dan memberontak terhadap Engkau serta membelakangi hukum Taurat-Mu dan membunuh para nabi-Mu yang mengingatkan mereka untuk berbalik kepada-Mu. Mereka mengucapkan pelbagai kekufuran terhadap Engkau.

27Atas sebab itulah Engkau menyerahkan mereka ke dalam tangan pihak lawan yang menyesakkan mereka. Namun demikian, ketika mereka berseru kepada-Mu pada masa mereka mengalami kesesakan, dari syurga Engkau mendengar permohonan mereka, dan kerana kasih sayang-Mu yang sebegitu besar, Kauberi mereka beberapa orang penyelamat yang melepaskan mereka daripada tangan pihak musuh mereka.

28Meskipun demikian, setelah mereka mendapat kelegaan sedikit, mereka berbuat jahat semula di hadapan-Mu. Oleh sebab itu Engkau menyerahkan mereka ke dalam tangan para musuh mereka yang kemudian menguasai mereka. Akan tetapi, ketika mereka kembali berbalik dan berseru kepada-Mu, dari persemayaman-Mu di syurga, Engkau sudi mendengar rintihan mereka dan berkali-kali Engkau menyelamatkan mereka kerana kasih sayang-Mu.

29Engkau memperingatkan mereka agar mereka berbalik kepada hukum Taurat-Mu tetapi mereka bersikap angkuh dan tidak mahu mendengar segala perintah-Mu. Mereka berdosa menentang segala peraturan-Mu, padahal orang yang mentaatinya akan hidup kerananya. Mereka membalikkan diri tanda membangkang, mengeraskan hati dan enggan mendengar.

30Selama bertahun-tahun Engkau sabar terhadap mereka dan menerusi Roh-Mu, Engkau mengingatkan mereka dengan perantaraan para nabi-Mu, tetapi mereka tidak mahu mendengar. Oleh sebab itu Engkau menyerahkan mereka ke dalam tangan bangsa segala negeri.

31Namun demikian, kerana begitu besarnya kasih sayang-Mu, Engkau tidak memusnahkan mereka dan tidak meninggalkan mereka, kerana Engkaulah Allah yang pengasih dan penyayang.

32Sekarang, ya Allah kami, Allah yang besar, perkasa, dan teramat hebat, yang berpegang teguh pada perjanjian dan kasih abadi, janganlah Kaupandang ringan segala kesusahan yang telah menimpa kami, raja kami, pemimpin kami, para imam kami, nabi kami, nenek moyang kami, dan seluruh umat-Mu sejak zaman raja-raja Asyur sampai hari ini.

33Sememangnya Engkau maha adil dalam segala hal yang menimpa kami, kerana Engkau telah berlaku setia walhal kami fasiq lagi mengkufuri Engkau.

34Para raja, para pemimpin, para imam, dan nenek moyang kami tidak mematuhi segala hukum-Mu. Mereka tidak mahu mendengar segala perintah-Mu dan peringatan-Mu yang Kauberikan kepada mereka.

35Bahkan ketika mereka memerintah kerajaan sendiri pun dengan menikmati kebaikan-Mu yang besar dan mendiami negeri yang luas serta subur yang Kaukurniakan kepada mereka, mereka juga tidak mengabdikan diri kepada-Mu. Mereka tidak berbalik daripada segala perbuatan jahat.

36Lihatlah, hari ini kami menjadi hamba. Kami menjadi hamba di negeri yang Kaukurniakan kepada nenek moyang kami untuk dinikmati hasilnya dan kelimpahannya.

37Negeri ini memberikan banyak hasil kepada para raja yang telah Kautetapkan atas kami kerana dosa-dosa kami. Mereka berkuasa atas tubuh kami dan boleh melakukan sesuka hati mereka atas ternakan kami, sehingga kami mengalami kesesakan yang amat besar.”

38Maka, berdasarkan semua ini, kami mengikat perjanjian yang teguh dan menulisnya. Para pemimpin kami, bani Lewi kami, dan para imam kami juga memateraikan perjanjian ini.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Nehemia 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel