Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 7 >> 

Kehancuran Israel Sudah Dekat

1TUHAN berfirman kepadaku,

2"Hai manusia fana, Aku, TUHAN Raja hendak berfirman kepada negeri Israel: Inilah kemusnahan seluruh negeri!

3Hai Israel, sekarang sudah tiba kemusnahanmu! Engkau akan merasakan kemurkaan-Ku, kerana Aku mengadili perbuatanmu. Aku akan membalas kelakuanmu yang menjijikkan itu.

4Aku tidak akan melepaskan engkau ataupun mengasihani engkau. Aku akan menghukum engkau bagi perbuatanmu yang menjijikkan itu, supaya engkau tahu bahawa Akulah TUHAN."

5Inilah yang difirmankan TUHAN Raja, "Bencana demi bencana akan menimpa engkau.

6Segalanya telah berakhir. Inilah kemusnahanmu. Tidak ada harapan lagi bagimu.

7Hai penduduk negeri ini, segalanya telah berakhir bagi kamu. Kamu tidak akan mengadakan perayaan lagi di tempat pemujaan di atas gunung; hanya kekacauan akan engkau alami.

8Sebentar lagi kamu akan merasakan kedahsyatan kemurkaan-Ku. Aku akan mengadili kamu, dan Aku akan membalas kamu bagi segala kelakuan kamu yang menjijikkan.

9Aku tidak akan melepaskan kamu ataupun mengasihani kamu. Aku akan menghukum kamu bagi perbuatan kamu yang menjijikkan, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN dan Akulah yang menghukum kamu."

10Hari bencana bagi Israel hampir tiba. Keganasan bertambah-tambah. Kesombongan mencapai puncaknya.

11Keganasan mengakibatkan lebih banyak kejahatan. Segala kekayaan, keagungan, dan kemuliaan mereka akan lenyap.

12Waktunya semakin hampir, harinya sudah dekat, apabila berjual beli tidak lagi bermakna, kerana hukuman Allah akan menimpa setiap orang.

13Pedagang tidak akan hidup lama untuk menutup kerugian, kerana kemurkaan Allah menimpa setiap orang. Mereka yang jahat tidak akan selamat.

14Trompet ditiup dan semua orang bersiap-sedia. Tetapi tidak ada seorang pun berangkat ke medan perang, kerana kemurkaan Allah akan menimpa setiap orang.

Hukuman Kerana Dosa Israel

15Orang berperang di jalan, orang sakit dan kelaparan di dalam rumah. Sesiapa yang berada di luar kota akan mati kerana peperangan, dan sesiapa yang berada di dalam kota akan menjadi mangsa penyakit dan kelaparan.

16Ada orang yang lari ke gunung seperti burung merpati terbang dari lembah kerana takut. Mereka semua merintih kerana dosa mereka.

17Tangan setiap orang menjadi lemah, lutut mereka goyah.

18Mereka akan memakai kain guni dan seluruh badan mereka akan gementar. Rambut mereka akan dicukur, dan mereka semua akan dipermalukan.

19Mereka akan membuang emas dan perak seperti sampah di jalan, kerana baik perak mahupun emas tidak dapat menyelamatkan mereka apabila TUHAN melampiaskan kemurkaan-Nya. Mereka tidak dapat menggunakan emas dan perak itu untuk memuaskan diri ataupun mengenyangkan perut. Justeru emas dan peraklah yang menyebabkan mereka berdosa.

20Pada suatu masa dahulu mereka membangga-banggakan permata yang indah, tetapi mereka menggunakannya untuk membuat berhala-berhala yang menjijikkan. Oleh itu TUHAN membuat harta mereka itu memuakkan mereka.

21TUHAN berfirman, "Aku akan membiarkan orang bangsa asing merompak mereka. Penjahat akan merampas harta mereka serta mencemarkannya.

22Aku tidak akan campur tangan apabila Rumah-Ku yang Aku hargai dinajiskan orang, apabila perompak masuk dan mencemarkannya.

23Seluruh negeri kacau-bilau; negeri penuh dengan pembunuhan, dan kota-kota penuh dengan keganasan.

24Aku akan menghantar bangsa-bangsa yang paling kejam ke negeri ini dan membiarkan mereka mendiami rumah-rumah kamu. Apabila Aku membiarkan mereka menajiskan tempat ibadat kamu, lelaki yang paling kuat antara kamu akan kehilangan semangat.

25Kamu akan putus asa. Kamu mencari keamanan, tetapi sia-sia sahaja.

26Bencana dan berita buruk akan datang terus-menerus. Ketika itu kamu akan memohon para nabi untuk menyatakan penglihatan, tetapi sia-sia sahaja. Para imam tidak mempunyai apa-apa untuk diajarkan kepada umat, dan orang tua-tua kehabisan nasihat.

27Raja akan berkabung; putera raja akan kehilangan harapan, dan rakyat akan gementar ketakutan. Aku akan menghukum kamu setimpal dengan segala perbuatan kamu. Aku akan mengadili kamu sebagaimana kamu telah mengadili orang lain. Barulah kamu akan tahu bahawa Aku TUHAN."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 7 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel