Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Raja-raja 3 >> 

Allah memberikan kebijaksanaan kepada Raja Salomo

1Salomo menjadi menantu Firaun, raja Mesir. Dia memperisteri anak Firaun dan membawanya ke Kota Daud, sehingga dia selesai membina istananya dan juga Bait TUHAN serta tembok di sekeliling Yerusalem.

2Akan tetapi, orang Israel masih mempersembahkan korban di bukit-bukit pemujaan, kerana sampai masa itu belum dibangunkan sebuah bait bagi nama TUHAN.

3Salomo mencintai TUHAN, dia hidup menurut segala ketetapan Daud, ayahnya. Bagaimanapun, dia masih mempersembahkan korban dan membakar dupa di bukit-bukit pemujaan.

4Suatu kali, raja pergi ke Gibeon untuk mempersembahkan korban, kerana di situlah tempat bukit pemujaan yang terbesar. Kemudian, di atas mazbah di sana, Salomo mempersembahkan seribu korban bakaran.

5Di Gibeon, TUHAN menampakkan diri kepada Salomo dalam mimpi pada malam hari. Allah berfirman, “Mintalah apa yang kauingin Kukurniakan kepadamu.”

6Kata Salomo, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar kepada hamba-Mu Daud, ayahku, kerana dia hidup di hadirat-Mu dengan setia, benar, dan tulus hati. Engkau telah meneguhkan kasih yang besar ini baginya dengan mengurniakannya seorang anak yang duduk di atas takhtanya, sebagaimana nyata pada hari ini.

7Sekarang, ya TUHAN, Allahku, Engkau telah mengangkat hamba-Mu ini sebagai raja untuk menggantikan Daud, ayahku, padahal aku ini masih muda belia. Aku belum berpengalaman menangani ini dan itu.

8Hamba-Mu ini berada di tengah-tengah umat yang telah Kaupilih, umat yang besar, yang tidak terbilang dan tidak terhitung banyaknya.

9Oleh sebab itu kurniailah hamba-Mu ini hati yang bijaksana untuk memerintah umat-Mu sehingga aku dapat membezakan antara yang baik dengan yang jahat, kerana siapakah yang dapat memerintah umat-Mu yang besar ini?”

10Permintaan Salomo yang demikian itu dipandang baik oleh Tuhan.

11Firman Allah kepadanya, “Kerana engkau meminta hal itu, dan tidak meminta umur panjang atau kekayaan atau nyawa musuh-musuhmu, melainkan meminta pengertian untuk memutuskan hukum secara adil,

12maka Aku mengabulkan apa yang kauminta itu. Sesungguhnya, Aku mengurniaimu hati yang bijak dan berpengertian, sehingga sebelum engkau tidak ada orang yang seperti engkau, dan setelah engkau pun tidak akan bangkit orang yang seperti engkau.

13Selain itu, Kukurniaimu juga apa yang tidak kauminta, iaitu kekayaan dan kemuliaan, sehingga antara raja tidak akan ada seorang pun yang seperti engkau sepanjang umurmu.

14Jika engkau hidup menurut jalan-Ku serta berpegang teguh pada segala ketetapan-Ku serta perintah-Ku seperti yang dilakukan oleh Daud, ayahmu, maka Aku akan melanjutkan usiamu.”

15Salomo pun terjaga, rupanya dia bermimpi. Kemudian dia pergi ke Yerusalem, lalu berdiri di hadapan tabut perjanjian TUHAN. Dipersembahkannya korban bakaran dan korban kedamaian, lalu dia mengadakan jamuan bagi semua pegawainya.

Kebijaksanaan Raja Salomo

16Maka datanglah dua orang perempuan sundal menghadap raja lalu berdiri di hadapannya.

17Kata perempuan yang seorang, “Ya tuanku, hamba dan perempuan ini tinggal serumah. Beberapa waktu yang lalu, hamba melahirkan anak, dan ketika itu dia ada di rumah.

18Pada hari ketiga selepas hamba bersalin, perempuan ini juga bersalin. Tiada orang lain bersama-sama kami di rumah itu. Hanya kami berdua di dalam rumah.

19Pada malam hari, perempuan ini tertindih anaknya lalu matilah bayi itu.

20Lalu pada tengah malam, ketika hambamu ini sedang tidur, perempuan ini bangun dan mengambil anak hamba daripada sisi hamba lantas dibaringkannya anak hamba dalam pangkuannya manakala anaknya yang mati itu diletakkan dalam pangkuan hamba.

21Ketika hamba bangun pada pagi hari untuk menyusui anak hamba, ternyata dia sudah tidak bernyawa. Akan tetapi, setelah hamba mengamat-amatinya pada pagi itu, tampak bahawa dia bukan anak yang hamba lahirkan.”

22Kata perempuan yang seorang lagi, “Tidak! Yang hidup itu anakku dan yang mati itu anakmu.” Tetapi kata perempuan yang pertama, “Tidak! Yang mati itu anakmu dan yang hidup itu anakku.” Demikianlah mereka berbantah-bantahan di hadapan raja.

23Kata raja, “Yang seorang berkata, ‘Anakkulah yang hidup ini dan anakmulah yang mati.’ Yang seorang lagi berkata, ‘Tidak! Anakmulah yang mati dan anakkulah yang hidup.’ ”

24Kemudian raja berkata, “Ambilkan aku sebilah pedang.” Maka dibawalah sebilah pedang ke hadapan raja.

25Kata raja, “Penggallah anak yang hidup itu untuk menjadi dua. Berikan separuh kepada yang seorang dan separuh lagi kepada yang lain.”

26Maka, terdorong oleh rasa hiba terhadap anaknya, ibu sebenar kepada anak yang masih hidup itu berkata kepada raja, “Ya tuanku, berikanlah anak yang hidup itu kepadanya. Jangan sekali-kali tuanku membunuhnya.” Tetapi perempuan yang seorang lagi berkata, “Penggal sajalah supaya tidak menjadi milikku ataupun milikmu.”

27Lalu raja berkata, “Berikanlah anak yang hidup itu kepada perempuan yang pertama. Jangan sekali-kali dibunuh. Dialah ibunya.”

28Ketika semua orang Israel mendengar keputusan yang diberikan raja dalam hal itu, seganlah mereka kepada raja, kerana mereka melihat bahawa kebijaksanaan Allah ada padanya untuk menegakkan keadilan.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Raja-raja 3 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel