Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 26 >> 

Janji Allah kepada Ishak

1Maka berlakulah bencana kebuluran di negeri itu, lain daripada kebuluran pertama yang menimpa pada zaman Abraham. Maka pergilah Ishak ke Gerar untuk menghadap Abimelekh, raja orang Filistin.

2Lalu TUHAN menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Jangan pergi ke Mesir. Tinggallah di negeri yang akan Kuberitahu kepadamu.

3Tinggallah sementara di negeri itu, maka Aku akan bersama-samamu dan memberkatimu, kerana kepadamu dan kepada keturunan kamulah akan Kukurniakan seluruh negeri itu. Aku akan memenuhi ikrar yang Kujanjikan kepada ayahmu, Abraham.

4Aku akan melipatgandakan berkali ganda keturunanmu sehingga ramainya seperti bintang di langit. Aku akan mengurniakan seluruh negeri ini kepada keturunanmu, dan melalui benihmu semua bangsa di bumi akan diberkati,

5kerana Abraham mematuhi firman-Ku serta berpegang teguh pada segala kewajipannya kepada-Ku, segala perintah-Ku, segala ketetapan-Ku, dan segala hukum-Ku.”

Ishak dengan Abimelekh

6Maka tinggallah Ishak di Gerar.

7Ketika para lelaki di tempat itu bertanya tentang isterinya, Ishak menjawab, “Dia saudaraku,” kerana dia takut mengatakan, “Dia isteriku.” Fikirnya, “Jangan-jangan aku dibunuh oleh para lelaki di tempat ini kerana Ribka yang amat cantik parasnya.”

8Setelah agak lama Ishak berada di situ, pada suatu kali, Abimelekh, raja orang Filistin, yang melihat keluar dari jendela, terlihat Ishak sedang bercumbuan dengan Ribka, isterinya.

9Maka Abimelekh memanggil Ishak dan berkata, “Ternyata dia isterimu! Bagaimana boleh kaukatakan, ‘Dia saudaraku’?” Jawab Ishak kepadanya, “Kerana fikirku, ‘Jangan-jangan aku mati kerana dia.’ ”

10Kata Abimelekh pula, “Apakah yang telah kaulakukan terhadap kami ini? Mudah sahaja salah seorang warga ini meniduri isterimu sehingga dengan demikian engkau menimpakan kesalahan kepada kami.”

11Kemudian Abimelekh memberikan perintah kepada seluruh bangsa itu, katanya, “Sesiapa yang menyentuh orang ini atau isterinya, pasti dihukum mati.”

12Ishak bertani di negeri itu dan dalam tahun itu juga dia memperoleh hasil seratus kali lipat ganda kerana TUHAN memberkatinya.

13Lalu dia menjadi kaya dan terus bertambah kaya, sehingga menjadi sangat kaya.

14Dia memiliki kawanan domba, kawanan lembu, dan banyak hamba, sehingga orang Filistin iri hati terhadapnya.

15Semua perigi yang digali oleh hamba-hamba ayahnya pada zaman Abraham, ayahnya, itu, telah ditutup oleh orang Filistin dan ditimbunkan dengan tanah.

16Kemudian Abimelekh berkata kepada Ishak, “Pergilah daripada kami, kerana kamu telah menjadi jauh lebih kuat daripada kami.”

17Maka pergilah Ishak dari sana. Didirikannya khemahnya di Lembah Gerar lalu tinggal di situ.

18Kemudian Ishak menggali kembali perigi-perigi yang telah digali pada zaman Abraham, ayahnya, kerana orang Filistin telah menutupnya sesudah kematian Abraham. Dia pun menamai perigi-perigi itu sebagaimana ayahnya menamainya.

19Akan tetapi, ketika hamba-hamba Ishak menggali lembah itu dan mendapati di sana sebuah mata air yang membuak-buak airnya,

20bertengkarlah gembala-gembala Gerar dengan gembala-gembala Ishak. Kata mereka, “Air ini milik kami!” Maka Ishak menamai perigi itu Esek, kerana warga di situ bertengkar dengannya.

21Mereka menggali perigi yang lain pula, tetapi orang itu mengatakan itu juga milik mereka. Maka Ishak menamai perigi itu Sitna.

22Ishak pindah dari sana lalu menggali perigi yang lain, tetapi kali ini orang itu tidak mempertikaikan pemilikannya. Maka dia menamai perigi itu Rehobot, kerana katanya, “Sekarang TUHAN telah memberikan kelapangan kepada kita, sehingga kita dapat beranak cucu di negeri ini.”

23Dari sana dia pergi ke Bersyeba.

24Lalu pada waktu malam TUHAN menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Akulah Allah Abraham, ayahmu. Jangan takut, kerana Aku menyertai kamu. Aku akan memberkatimu dan memperbanyak keturunanmu kerana Abraham, hamba-Ku itu.”

25Kemudian Ishak membina sebuah mazbah di sana dan menyeru nama TUHAN. Di situ dia mendirikan khemahnya, dan hamba-hambanya menggali sebuah perigi.

26Maka datanglah Abimelekh kepadanya dari Gerar bersama-sama Ahuzat sahabatnya dan Pikhol panglima tenteranya.

27Kata Ishak kepada mereka, “Apakah sebabnya kamu datang menemuiku padahal kamu benci padaku dan telah menyuruh aku pergi daripada kamu?”

28Jawab mereka, “Kami sudah melihat dengan nyata bahawa TUHAN menyertai kamu. Jadi, kami berfikir, ‘Sebaiknya ada ikrar antara kita,’ iaitu antara kami dan kamu. Mari kita mengikat perjanjian antara kita

29bahawa kamu tidak akan berbuat jahat terhadap kami, seperti kami dahulu tidak mengusik kamu melainkan selalu berbuat baik terhadapmu dan menyuruh kamu pergi dengan damai. Sekarang ini pun kamu diberkati TUHAN.”

30Ishak mengadakan jamuan untuk mereka, lalu mereka pun makan dan minum.

31Keesokan harinya mereka bangun pagi-pagi lalu bersumpah satu sama lain. Setelah itu, Ishak melepaskan mereka dan mereka pun pergi meninggalkannya dengan damai.

32Pada hari itu juga hamba-hamba Ishak datang memberitahu kepadanya tentang perigi yang telah digali mereka. Kata mereka kepadanya, “Kami telah mendapatkan air!”

33Ishak menamai perigi itu Syeba. Itulah sebabnya kota itu dinamai Bersyeba sehingga hari ini.

34Ketika Esau berumur empat puluh tahun, dia memperisteri Yudit, anak Beeri, orang Het, dan Basmat anak Elon, orang Het.

35Kedua-dua isterinya itu menimbulkan kegetiran dalam hati Ishak dan Ribka.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 26 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
© 2010-2021
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran