Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 27 >> 

Pelayaran Paulus ke Roma

1Setelah diputuskan bahawa kami akan belayar ke Itali, Paulus dan beberapa orang tahanan diserahkan kepada seorang ketua tentera dari Rejimen Kaisar, bernama Yulius.

2Kami menaiki sebuah kapal yang datang dari Adramitium dan hendak menyusur teluk rantau tanah Asia. Aristarkhus, orang Makedonia dari Tesalonika, menyertai kami.

3Esoknya kami singgah di Sidon. Yulius berasa kasihan dan melayani Paulus dengan baik serta membenarkannya bertemu dengan sahabat-sahabatnya untuk mendapatkan apa-apa yang diperlukannya.

4Kemudian kami belayar menyusur Siprus di sebelah bawah angin, kerana ketika itu angin bertiup ke arah yang bertentangan dengan hala tujuan kami.

5Setelah menyeberang laut Kilikia dan Pamfilia, kami sampai ke Mira di Tanah Likia.

6Di sana ketua tentera Kaisar itu mendapati sebuah kapal dari Aleksandria yang hendak belayar ke Itali, lalu dia menumpangkan kami dalam kapal itu.

7Kami belayar dengan lambat dan susah payah kerana melawan arah tiupan angin. Selepas beberapa hari, kami tiba di kota Knidus. Oleh sebab masalah angin itu, kami belayar ke selatan Pulau Kreta, melalui Salmone.

8Dengan susah payah juga kami menyusur pulau itu, lalu sampai ke tempat yang bernama Lindungan Indah, berdekatan Lasea.

9Beberapa hari kemudian, keadaan kian berbahaya untuk meneruskan pelayaran. Hari Puasa orang Yahudi pun sudah berlalu. Paulus mengingatkan ketua tentera itu,

10“Saudara-saudara, pada pandanganku, jika kita belayar, banyak bencana dan kerugian akan menimpa, bukan sahaja kapal ini dan muatannya malah nyawa kita juga.”

11Tetapi ketua tentera itu lebih mempercayai kata pengemudi dan pemilik kapal itu daripada kata Paulus.

12Pelabuhan itu memang tidak selesa untuk tinggal sepanjang musim dingin. Oleh itu, kebanyakan mereka hendak meneruskan pelayaran dengan harapan akan sampai ke Feniks lalu tinggal di situ, di pelabuhan di Pulau Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut.

Kapal terkandas

13Apabila bertiup angin selatan sepoi-sepoi bahasa, sangka mereka telah tercapailah hasrat mereka. Mereka pun membongkar sauh lalu menyusur Pulau Kreta.

14Tidak berapa lama kemudian, angin ribut yang bergelar Timur Laut membadai dari arah pulau itu.

15Kapal kami dipukul ribut dan tidak terdaya belayar melawan arah angin. Kami pun membiarkannya berhanyut,

16sampai ke selatan sebuah pulau kecil bernama Kauda. Dengan susah payah kami menyelamatkan sekoci kapal itu.

17Setelah dinaikkan sekoci itu ke kapal, diusahakan memperkukuh kapal itu dengan ikatan tali. Oleh sebab takut terdampar ke tebing Sirtis, layar diturunkan dan kapal itu dibiarkan mengikut angin.

18Kami begitu teruk dipukul ribut sehingga esoknya muatan kapal mula dibuang ke laut;

19dan lusanya sebahagian alat kapal itu pula dibuangkan.

20Beberapa hari kami tidak melihat matahari dan bintang serta dipukul ribut yang dahsyat; akhirnya putuslah harapan kami diselamatkan.

21Sekian lama orang di dalam kapal itu tidak makan, lalu Paulus berdiri dan berkata, “Saudara-saudara, sepatutnya dahulu saudara-saudara menurut kataku, jangan belayar meninggalkan Kreta, nanti ditimpa bencana dan kerugian demikian.

22Sekarang aku berkata kepada saudara-saudara, tabahkanlah hati masing-masing, kerana seorang pun tidak akan kehilangan hidup, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan.

23Malam tadi, di sisi aku terdiri malaikat daripada Allah yang memiliki seluruh diriku dan yang aku sembah.

24Malaikat itu berkata, ‘Paulus, jangan takut. Engkau pasti akan berdiri di hadapan Kaisar. Semua yang belayar bersamamu akan diselamatkan juga sebagai kurnia Allah kepadamu.’

25Oleh itu, saudara-saudara, tabahkanlah hati masing-masing. Aku percaya akan Allah dan janji-Nya yang disampaikan kepadaku itu.

26Tetapi tidak dapat dielakkan, kita akan terdampar di sebuah pulau.”

27Sampai ke malam yang keempat belas kami masih berhanyut dalam Laut Adria. Kira-kira tengah malam, anak kapal merasakan kami sudah hampir ke darat.

28Mereka membuang batu duga untuk mengukur dalamnya laut, didapatinya dua puluh depa; kemudian, apabila diduga lagi, didapatinya lima belas depa dalamnya.

29Mereka takut kalau-kalau terdampar pada batu karang, lalu mereka menurunkan empat sauh dari buritan kapal serta berdoa untuk tibanya hari siang.

30Ketika itu anak kapal hendak menyelamatkan diri sendiri. Mereka menurunkan sekoci ke laut dengan berpura-pura hendak menurunkan sauh di haluan kapal.

31Paulus pun berkata kepada ketua tentera dan askar-askar, “Jika mereka itu meninggalkan kapal, saudara-saudara tidak akan selamat.”

32Oleh itu askar mengerat tali sekoci dan membiarkannya hanyut.

33Sementara menunggu hari siang, Paulus meminta semua orang makan. Dia berkata, “Sekarang sudah empat belas hari saudara-saudara berlapar.

34Aku meminta kepada sekalian, makanlah sesuatu, kerana itulah yang akan membuat saudara-saudara selamat. Tiada seorang pun antara kita yang akan binasa sehelai rambutnya pun.”

35Setelah berkata demikian, Paulus mengambil roti lalu mengucapkan syukur kepada Allah di hadapan semua. Kemudian dia membahagi roti itu lalu makan.

36Masing-masing pun berasa bersemangat lagi lalu makan bersama-sama.

37Bilangan kami yang ada di dalam kapal itu dua ratus tujuh puluh enam jiwa.

38Setelah kenyang sekaliannya, kapal itu diringankan lagi dengan membuang gandum ke laut.

39Apabila hari siang, mereka melihat daratan yang tidak dikenali; di situ ada teluk yang berpantai rata lalu mereka bercadang hendak mengandaskan kapal itu ke situ.

40Mereka memotong tali sauh dan membiarkannya tenggelam di laut. Selepas itu, mereka melucutkan tali kemudi lalu menaikkan layar di haluan supaya angin meniup kapal itu menuju ke pantai.

41Kapal itu terlanggar busung pasir lalu terkandas haluannya, dan tidak dapat bergerak manakala buritannya pecah dipukul gelombang.

42Askar-askar mula berura-ura hendak membunuh semua orang tahanan supaya tiada seorang pun berenang melarikan diri.

43Tetapi ketua tentera itu hendak menyelamatkan Paulus lalu melarang askar-askarnya berbuat demikian. Dia menyuruh mereka yang tahu berenang terjun dahulu dan berenang ke darat.

44Yang lain berpegang kepada papan atau pecahan-pecahan kapal. Dengan demikian semuanya selamat naik ke darat.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kisah Para Rasul 27 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel