1Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud. Ya TUHAN, Engkau telah menelitiku dan mengenalku.
2Engkau mengenal dudukku dan berdiriku; Engkau memahami fikiranku dari jauh.
3Engkau meneliti jalanku dan baringku; serta mengerti semua caraku.
4Sebelum ada sepatah kata di lidahku, ya TUHAN, Engkau telah mengetahui seluruhnya.
5Engkau telah merangkulku – di belakang dan di hadapan; dan meletakkan tangan-Mu ke atasku.
6Pengetahuan demikian terlalu menakjubkan bagiku, tingginya tidak tercapai olehku.
7Ke mana dapat aku pergi daripada Roh-Mu? Atau ke mana dapat aku lari dari hadirat-Mu?
8Jika aku naik ke syurga, Engkau di sana; jika aku membuat tempat tidurku di neraka, lihatlah, Engkau di sana.
9Jika kuambil sayap pagi, dan tinggal di bahagian laut yang paling dalam,
10di sana pun tangan-Mu akan memimpinku, tangan kanan-Mu akan memegangku.
11Jika aku berkata, “Tentulah kegelapan akan menyelubungiku dan cahaya sekelilingku akan menjadi malam,”
12sesungguhnya kegelapan tidak gelap bagi-Mu; dan malam terang-benderang seperti siang, kegelapan dan cahaya serupa bagi-Mu.
13Kerana Engkau telah membentuk bahagian-bahagian dalamku; Engkau melindungiku di dalam rahim ibuku.
14Aku akan memuji-Mu, kerana aku dicipta dengan mengagumkan dan menakjubkan; sungguh menakjubkan ciptaan-Mu, dan ini amat diketahui oleh jiwaku.
15Bentukku tidak tersembunyi daripada-Mu ketika aku dicipta dalam rahsia dan diukir dengan mahir di bahagian bumi yang paling bawah.
16Mata-Mu telah melihat zatku yang masih belum dibentuk. Dan dalam kitab-Mu segalanya tersurat hari-hari yang ditentukan untukku.
17Betapa bernilai fikiran-Mu juga bagiku, ya Allah! Betapa besar jumlahnya!
18Jika kuhitung, jumlahnya lebih banyak daripada pasir. Apabila aku terjaga, aku masih bersama-Mu.
19Semoga Engkau musnahkan orang zalim, ya Allah! Maka pergilah daripadaku, hai orang yang suka menumpahkan darah!
20Kerana mereka bercakap menentang-Mu dengan durjana; musuh-Mu menyebut nama-Mu sewenang-wenang.
21Tidakkah aku membenci mereka yang membenci-Mu, ya TUHAN, dan membenci mereka yang bangkit menentang-Mu?
22Aku membenci mereka dengan sepenuh kebencian; aku menganggap mereka musuhku.
23Telitilah aku, ya Allah, dan kenallah hatiku; dugalah aku dan ketahuilah kebimbanganku.
24Lihatlah jika ada kecenderungan durjana di dalamku, dan pimpinlah aku ke jalan yang kekal selama-lamanya.