Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ulangan 7 >> 

Umat pilihan Allah

1Apabila TUHAN, Allahmu, membawa kamu ke negeri yang akan kaumasuki serta duduki, Dia akan mengusir banyak bangsa dari hadapanmu, iaitu orang Het, orang Girgasi, orang Amori, orang Kanaan, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus iaitu tujuh jenis bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu.

2Pada masa TUHAN, Allahmu, menyerahkan mereka kepadamu sehingga mereka kamu kalahkan, hendaklah kamu menumpaskan mereka sama sekali. Jangan ikat perjanjian dengan mereka dan jangan kasihani mereka.

3Jangan saling berkahwin dengan mereka. Jangan berikan anak perempuanmu kepada anak lelaki mereka, dan jangan ambil anak perempuan mereka untuk menjadi isteri kepada anak lelakimu,

4kerana mereka akan membuat anak lelakimu menyimpang, tidak lagi mengikuti Aku, dan kemudian beribadat kepada tuhan-tuhan lain. Jika demikian halnya, maka murka TUHAN akan menyala atas kamu dan Dia akan membinasakan kamu dengan segera.

5Sebaliknya, hendaklah kamu melakukan begini terhadap mereka: robohkanlah segala mazbah tempat pembakaran korban mereka, hancurkanlah segala tiang berhala mereka, tebanglah patung berhala Asyera mereka, dan bakarlah habis patung-patung ukiran mereka,

6kerana kamu umat yang suci bagi TUHAN, Allahmu. Kamu telah dipilih oleh TUHAN, Allahmu, untuk menjadi umat kesayangan-Nya daripada semua bangsa yang ada di muka bumi.

7TUHAN terpaut kepadamu dan memilih kamu bukan kerana jumlahmu lebih besar daripada segala bangsa – sesungguhnya kamulah bangsa yang terkecil –

8melainkan kerana TUHAN mengasihi kamu dan berpegang teguh pada sumpah yang diikrarkan-Nya kepada nenek moyangmu. Itulah sebabnya TUHAN membawa kamu keluar dengan tangan yang kuat dan membebaskan kamu daripada tempat perhambaan, daripada tangan Firaun, raja Mesir.

9Oleh sebab itu ketahuilah bahawa TUHAN, Allahmu, Dia Allah, Allah yang setia, yang berpegang teguh pada perjanjian, dan menunjukkan rahmat-Nya terhadap orang yang mengasihi-Nya serta yang berpegang teguh pada perintah-perintah-Nya, sampai beribu-ribu keturunan.

10Tetapi terhadap orang yang membenci-Nya, Dia mengadakan pembalasan dengan membinasakan orang itu. Dia tidak menunda-nunda untuk mengadakan pembalasan terhadap orang yang membenci-Nya.

11Oleh sebab itu lakukanlah dengan setia segala perintah, kanun, dan peraturan yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.

Berkat dijanjikan bagi umat yang taat

12Jadi, apabila kamu mendengar dan mentaati segala peraturan itu serta melakukannya dengan bersungguh-sungguh, maka TUHAN, Allahmu, akan berpegang teguh pada perjanjian dan kasih-Nya yang abadi, yang telah Dia sumpah kepada nenek moyangmu.

13Dia akan mengasihi kamu, memberkati kamu, dan meramaikan jumlahmu. Dia akan memberkati buah kandunganmu, hasil tanahmu, iaitu gandummu, anggurmu, dan minyakmu, juga anak lembumu serta kawanan dombamu di negeri yang telah Dia sumpah untuk memberikan kepada nenek moyangmu.

14Kamu akan diberkati melebihi segala bangsa. Tidak akan ada seorang pun yang mandul dalam kalanganmu, baik lelaki mahupun perempuan, bahkan juga haiwan ternakanmu.

15TUHAN akan menjauhkan segala penyakit daripada kamu. Segala wabak dahsyat yang kamu ketahui di Mesir tidak akan ditimpakan-Nya ke atasmu, melainkan akan didatangkan-Nya kepada semua orang yang membenci kamu.

16Kamu harus menghancurkan segala bangsa yang diserahkan TUHAN, Allahmu, kepadamu. Jangan berasa hiba terhadap mereka dan jangan beribadat kepada tuhan mereka, kerana hal itu akan menjadi jerat bagimu.

17Jika sekiranya kamu berfikir dalam hatimu, ‘Bangsa-bangsa itu lebih besar daripada aku. Bagaimana dapat aku mengusir mereka?’

18maka janganlah takut kepada mereka. Ingatlah baik-baik apa yang dilakukan TUHAN, Allahmu, terhadap Firaun dan terhadap semua orang Mesir,

19iaitu cubaan-cubaan besar yang kamu lihat dengan matamu sendiri, tanda-tanda ajaib, mukjizat-mukjizat, tangan yang perkasa dan lengan yang terhulur. Dengan semua hal itu TUHAN, Allahmu, telah membawa kamu keluar. Demikian jugalah akan dilakukan TUHAN, Allahmu, terhadap segala bangsa yang kautakuti.

20Selain itu TUHAN, Allahmu, akan melepaskan serangga penyengat ke tengah-tengah mereka, sampai kalangan yang masih selamat dan yang menyembunyikan diri daripada kamu akan habis binasa.

21Janganlah gentar terhadap mereka kerana TUHAN, Allahmu, hadir di tengah-tengahmu. Dialah Allah yang besar dan teramat hebat.

22TUHAN, Allahmu, akan menyingkirkan bangsa-bangsa itu dari hadapanmu secara beransur-ansur. Kamu tidak boleh memusnahkan mereka sama sekali, supaya jangan jumlah binatang liar melebihi jumlah kamu.

23TUHAN, Allahmu, akan menyerahkan mereka kepadamu dan mengacau-bilaukan mereka dengan hebat sampai mereka punah.

24Dia juga akan menyerahkan raja-raja mereka ke dalam tanganmu dan kamu akan melenyapkan nama mereka daripada kolong langit. Tiada seorang pun akan dapat bertahan di hadapanmu, sampai mereka kamu musnahkan.

25Hendaklah kamu membakar habis segala tuhan mereka yang berupa patung-patung ukiran. Janganlah kamu menginginkan perak dan emas yang ada pada mereka atau mengambilnya untuk dirimu, supaya jangan kamu terjebak olehnya, kerana perbuatan itu suatu kekejian kepada TUHAN, Allahmu.

26Apa yang dipandang keji oleh-Nya jangan kamu bawa masuk ke dalam rumahmu sehingga kamu pun perlu dikhususkan untuk dimusnahkan seperti barang-barang itu. Hendaklah kamu benar-benar membenci dan benar-benar memandang keji kesemua barang itu, kerana kesemuanya akan dikhususkan untuk dimusnahkan.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ulangan 7 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel