Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 14 >> 

Mengenai musim kemarau

1Demikianlah firman TUHAN yang turun kepada Yeremia tentang musim kemarau,

2“Yehuda berkabung, pintu-pintu gerbangnya merana dan berdukacita sambil terduduk di tanah, jeritan Yerusalem naik ke langit.

3Bangsawan menyuruh para hamba mereka mencari air. Mereka pergi ke perigi-perigi tetapi tidak mendapatkan air, lalu pulang dengan wadah kosong. Mereka kecewa dan malu, lalu menyelubungi kepala mereka.

4Tanah retak, kerana hujan tidak turun di negeri. Petani kecewa, lalu menyelubungi kepala mereka.

5Bahkan rusa betina di padang beranak lalu meninggalkan anaknya, kerana tidak ada rumput muda.

6Keldai liar berdiri di atas bukit-bukit gondol, terengah-engah seperti serigala. Matanya sayu, sebab tidak ada tumbuh-tumbuhan.”

7Sekalipun kesalahan-kesalahan kami bersaksi menentang kami, bertindaklah demi nama-Mu, ya TUHAN, kerana banyak kemurtadan kami. Kami telah berdosa terhadap-Mu.

8Ya Pengharapan orang Israel, Penyelamat Israel pada masa kesesakan, mengapakah Engkau seperti pendatang di negeri ini, seperti orang dalam perjalanan yang hanya singgah untuk bermalam?

9Mengapakah Engkau seperti orang yang terperanjat, seperti kesateria yang tidak sanggup menyelamatkan? Padahal Engkau hadir antara kami, ya TUHAN, dan kami disebut atas nama-Mu. Janganlah tinggalkan kami!”

10Beginilah firman TUHAN tentang bangsa ini, “Memang mereka suka mengembara dan tidak menahan kaki mereka. Oleh sebab itu TUHAN tidak berkenan kepada mereka. Sekarang, Dia akan mengingati kesalahan mereka dan menghukum dosa mereka.”

11Firman TUHAN kepadaku, “Jangan berdoa untuk kebaikan bangsa ini!

12Sekalipun mereka berpuasa, Aku tidak akan mendengar permohonan mereka. Sekalipun mereka mempersembahkan korban bakaran dan persembahan bahan makanan, Aku tidak akan berkenan kepada mereka. Sebaliknya, Aku akan menghapuskan mereka dengan pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit.”

13Lalu aku berkata, “Aduh, ya Tuhan ALLAH, sesungguhnya para nabi telah berkata kepada mereka, ‘Kamu tidak akan melihat pedang dan tidak akan mengalami bencana kebuluran, tetapi Aku akan mengurniakan kepadamu kedamaian yang terjamin di tempat ini.’ ”

14Firman TUHAN kepadaku, “Para nabi itu menyampaikan nubuat dusta atas nama-Ku! Aku tidak mengutus mereka, tidak memerintahkan mereka, dan tidak berfirman kepada mereka. Nubuat yang diberikan mereka kepadamu adalah daripada penglihatan bohong, tenungan kosong, dan tipu daya hati mereka sendiri.

15Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN mengenai para nabi yang menyampaikan nubuat atas nama-Ku itu: Aku tidak mengutus mereka, tetapi mereka berkata, ‘Pedang dan bencana kebuluran tidak akan melanda negeri ini.’ Para nabi itu akan dilenyapkan oleh pedang dan bencana kebuluran.

16Rakyat yang menerima nubuat mereka akan dicampakkan ke jalan-jalan Yerusalem oleh bencana kebuluran dan pedang. Tidak ada yang akan menguburkan mereka, isteri mereka, anak-anak mereka baik lelaki mahupun perempuan. Aku akan mencurahkan kejahatan mereka ke atas mereka.”

17Sampaikanlah perkataan ini kepada mereka, “Biarlah mataku menitiskan air mata siang dan malam tanpa henti, kerana perawan, puteri bangsaku, mendapat luka parah, cedera yang amat berat.

18Jika aku keluar ke padang, tampaklah orang yang terbunuh oleh pedang. Jika aku memasuki kota, tampaklah orang yang menderita oleh bencana kebuluran. Baik nabi mahupun imam berkelana ke negeri yang tidak dikenali mereka.”

19Adakah Engkau sudah menolak Yehuda sama sekali? Adakah hati-Mu sudah muak kepada Sion? Mengapa Engkau memukul kami, sehingga tidak ada penyembuhan bagi kami? Kami mengharapkan damai, tetapi tidak ada sesuatu yang baik, mengharapkan waktu penyembuhan, tetapi hanya ada kengerian.

20Ya TUHAN, kami menyedari kefasiqan kami dan kesalahan nenek moyang kami. Sungguh, kami telah berdosa terhadap Engkau.

21Demi nama-Mu, janganlah kiranya Engkau menolak kami, jangan hinakan takhta kemuliaan-Mu. Ingatlah kiranya perjanjian-Mu dengan kami, jangan batalkan.

22Adakah antara berhala bangsa-bangsa itu yang dapat menurunkan hujan? Dapatkah langit sendiri menurunkan hujan lebat? Bukankah Engkau yang membuatnya, ya TUHAN Allah kami? Kami berharap kepada-Mu, kerana Engkaulah yang membuat semua itu.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel