Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 23 >> 

Janji tentang Tunas Daud yang benar

1“Malangnya para gembala yang membinasakan dan mencerai-beraikan domba gembalaan-Ku,” demikianlah firman TUHAN.

2Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN, Allah Israel, terhadap para gembala yang menggembala bangsa-Ku, “Kamu telah mencerai-beraikan kawanan domba-Ku, menghalaunya, dan tidak mengurusnya. Sesungguhnya, Aku akan menghukum kamu atas perbuatan-perbuatanmu yang jahat itu,” demikianlah firman TUHAN.

3“Aku sendiri akan mengumpulkan sisa-sisa domba-Ku dari segala negeri tempat mereka Kuhalau, dan Aku akan mengembalikan mereka ke padang ragut mereka. Mereka akan beranak cucu dan bertambah banyak.

4Aku akan mengangkat gembala-gembala yang akan mengurus mereka. Mereka tidak akan takut lagi, tidak akan kecut hati, dan tidak akan hilang seekor pun,” demikianlah firman TUHAN.

5“Sesungguhnya, waktunya akan datang,” demikianlah firman TUHAN, “bahawa Aku akan menumbuhkan Tunas yang benar bagi Daud . Dia akan bertakhta sebagai raja dan bertindak bijaksana. Dia akan menegakkan keadilan dan perbenaran di negeri ini.

6Pada zamannya Yehuda akan diselamatkan dan Israel akan tinggal dengan aman. Inilah nama yang diberikan orang kepadanya, ‘TUHAN ialah sumber perbenaran kita.’ ”

7“Oleh sebab itu ketahuilah, waktunya akan datang,” demikianlah firman TUHAN, “bahawa tidak lagi akan dikatakan, ‘Demi TUHAN yang hidup, yang menuntun bani Israel keluar dari Tanah Mesir,’

8tetapi, ‘Demi TUHAN yang hidup, yang menuntun dan yang membawa keturunan kaum Israel keluar dari tanah utara dan dari segala negeri tempat Dia menghalau mereka.’ Mereka akan tinggal di tanah mereka sendiri.”

Menentang nabi yang sesat

9Mengenai nabi-nabi: Hatiku hancur dalam diriku, semua tulangku menggigil. Aku seperti orang mabuk, seperti lelaki dipengaruhi air anggur, kerana TUHAN dan kerana firman-Nya yang suci.

10Negeri ini penuh dengan penzina. Kerana kutukan, negeri ini berkabung, padang-padang rumput di gurun mengering. Cara hidup mereka jahat dan kekuasaan mereka disalahgunakan.

11“Baik nabi mahupun imam berlaku mungkar, bahkan di dalam Bait-Ku Aku dapati kejahatan mereka,” demikianlah firman TUHAN.

12“Oleh sebab itu jalan hidup mereka akan seperti jalan licin bagi mereka. Dalam gelap mereka akan tergelincir dan jatuh di situ, kerana Aku akan mendatangkan malapetaka kepada mereka pada tahun penghukuman mereka,” demikianlah firman TUHAN.

13“Antara nabi Samaria Aku melihat hal yang tidak patut: mereka bernubuat atas nama Baal dan menyesatkan umat-Ku Israel.

14Antara nabi Yerusalem Aku melihat hal yang mengerikan: mereka berzina dan hidup dalam kebohongan, mereka menyokong orang yang berbuat jahat, sehingga tiada seorang pun bertaubat daripada kejahatannya. Mereka semua seperti Sodom bagi-Ku, dan penduduknya seperti Gomora.”

15Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN alam semesta, mengenai para nabi itu, “Sesungguhnya, Aku akan memberi mereka makan tanaman pahit dan minum air beracun, kerana daripada nabi-nabi Yerusalem kemungkaran telah menyebar ke seluruh negeri.”

16Beginilah firman TUHAN alam semesta, “Jangan dengarkan perkataan para nabi yang menyampaikan ramalan kepadamu. Mereka memberimu harapan yang sia-sia. Mereka menyampaikan penglihatan yang muncul dari hati mereka sendiri, bukan daripada TUHAN.

17Mereka selalu berkata kepada orang yang menista Aku, ‘TUHAN berfirman: Kamu akan hidup damai!’ Kepada semua orang yang menuruti kedegilan hatinya, mereka berkata, ‘Malapetaka tidak akan menimpa kamu.’

18Tetapi siapakah yang hadir dalam majlis perundingan TUHAN sehingga dia memperhatikan dan mendengar firman-Nya? Siapakah yang memperhatikan firman-Nya dan mendengarnya?

19Lihat, badai TUHAN! Murka memancar. Angin puting beliung berputar melanda kepala orang fasiq.

20Murka TUHAN tidak akan surut, sampai Dia selesai mengerjakan dan melaksanakan rancangan-rancangan hati-Nya. Pada kemudian hari kamu akan mengerti hal itu dengan jelas.

21Aku tidak mengutus para nabi itu, tetapi mereka bergegas pergi. Aku tidak berfirman kepada mereka, tetapi mereka menyampaikan nubuat.

22Sekiranya mereka hadir dalam majlis perundingan-Ku, tentu mereka akan membuat umat-Ku mendengar firman-Ku, membawa mereka berpaling daripada perilaku mereka yang jahat dan daripada perbuatan mereka yang jahat.

23Adakah Aku Allah apabila dekat sahaja,” demikianlah firman TUHAN, “dan bukan Allah juga apabila jauh?

24Masakan orang dapat menyembunyikan diri di tempat tersembunyi sehingga Aku tidak melihatnya?” demikianlah firman TUHAN. “Bukankah Aku memenuhi langit dan bumi?” demikianlah firman TUHAN.

25“Aku telah mendengar perkataan para nabi yang menyampaikan nubuat dusta atas nama-Ku dengan mengatakan, ‘Aku bermimpi! Aku bermimpi!’

26Berapa lama lagi hal itu terkandung dalam hati para nabi yang menyampaikan nubuat dusta, yang menyampaikan nubuat tipu daya hati mereka sendiri?

27Mereka bermaksud membuat umat-Ku melupakan nama-Ku melalui mimpi-mimpi yang diceritakan mereka satu sama lain, sebagaimana nenek moyang mereka melupakan nama-Ku demi Baal.

28Biarlah nabi yang mendapat mimpi menceritakan mimpinya! Tetapi sesiapa mendapat firman-Ku, biarlah dia menyampaikan firman-Ku itu dengan benar! Apakah sangkut-paut jerami dengan gandum?” demikianlah firman TUHAN.

29“Bukankah firman-Ku seperti api,” demikianlah firman TUHAN, “dan seperti tukul besi yang memecahkan bukit batu?”

30Oleh sebab itu ketahuilah, Aku akan menjadi lawan para nabi, demikianlah firman TUHAN, “yang mencuri firman-Ku daripada kawan masing-masing.

31Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawan para nabi,” demikianlah firman TUHAN, “yang menggunakan perkataan mereka sendiri dan menyatakan, ‘Demikianlah firman-Nya.’

32Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawan mereka yang menyampaikan nubuat daripada mimpi-mimpi dusta,” demikianlah firman TUHAN, “yang menceritakannya dan menyesatkan umat-Ku dengan dusta dan keangkuhan mereka. Aku tidak mengutus mereka dan tidak memberikan perintah kepada mereka. Mereka sama sekali tidak berfaedah bagi bangsa ini,” demikianlah firman TUHAN.

33“Apabila bangsa ini atau seorang nabi atau seorang imam bertanya kepadamu, ‘Apakah firman daripada TUHAN?’ katakanlah kepada mereka, ‘Firman apa? Aku akan membuang kamu, demikianlah firman TUHAN’

34Mengenai nabi, imam, atau rakyat yang berkata, ‘Inilah firman daripada TUHAN,’ Aku akan menghukum orang itu dan keluarganya.

35Beginilah harus kamu katakan, masing-masing kepada kawannya dan masing-masing kepada saudaranya, ‘Apa jawapan TUHAN?’ atau ‘Apa firman TUHAN?’

36Tetapi ‘firman daripada TUHAN’ jangan kamu sebut-sebut lagi, kerana perkataan setiap orang telah menjadi pernyataan ilahinya sendiri. Kamu telah memutarbalikkan firman Allah yang hidup, TUHAN alam semesta, Allah kita.

37Beginilah harus kamu katakan kepada nabi: ‘Apakah jawapan TUHAN kepadamu?’ atau ‘Apa yang TUHAN firmankan?’

38Tetapi jika kamu berkata, ‘Pernyataan ilahi daripada TUHAN,’ maka beginilah firman TUHAN: Kerana kamu mengucapkan perkataan ini: ‘Pernyataan ilahi daripada TUHAN,’ padahal Aku telah mengutus orang kepadamu dengan pesan: Jangan berkata, ‘Pernyataan ilahi daripada TUHAN,’

39maka ketahuilah, Aku pasti melupakan kamu dan membuang kamu dari hadirat-Ku berserta kota yang Kukurniakan kepadamu dan kepada nenek moyangmu.

40Aku akan menanggungkan kepadamu cela kekal dan aib kekal yang tidak akan dilupakan.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 23 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel