Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 6 >> 

Isa memberi lima ribu orang makanan

1Setelah itu Isa pergi ke seberang Laut Galilea yang juga dipanggil Tiberias.

2Ramai orang mengikut-Nya setelah melihat mukjizat-Nya menyembuhkan orang sakit.

3Isa mendaki sebuah bukit lalu duduk di situ bersama para pengikut-Nya.

4Pada masa itu perayaan Paska orang Yahudi hampir tiba.

5Apabila Isa memandang sekeliling dan melihat ramai orang datang ke arah-Nya, Dia berkata kepada Filipus, ‘Dari manakah dapat kita beli makanan untuk semua mereka ini?’

6(Sebenarnya Isa bertanya itu untuk menduga Filipus sahaja kerana Dia tahu apa yang akan dilakukan-Nya.)

7Filipus menjawab, ‘Roti yang berharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup, meskipun jika dibahagi secebis seorang.’

8Seorang lagi pengikut Isa bernama Andreas, saudara Simon Petrus, berkata kepada-Nya,

9‘Ada seorang budak di sini yang mempunyai lima buku roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi tidak mungkin akan cukup untuk orang seramai ini!’

10Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Ajaklah mereka duduk.’ (Di situ ada banyak rumput.) Mereka itu pun duduk, kira-kira lima ribu orang lelaki semuanya.

11Isa mengambil roti itu lalu mengucap syukur kepada Allah. Selepas itu Dia memecah-mecahkan roti itu antara orang ramai itu. Kemudian Dia membahagi-bahagikan ikan itu pula. Semuanya makan sepuas-puasnya.

12Setelah kenyang semuanya, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang.’

13Lalu mereka mengumpulkannya dan mengisi dua belas bakul baki makanan daripada lima buku roti barli yang dimakan oleh orang ramai itu.

14Apabila mereka melihat mukjizat yang dilakukan oleh Isa itu, mereka pun berkata, ‘Memang Dialah Nabi yang dinanti-nantikan datang ke dunia!’

15Isa tahu bahawa mereka hendak datang dan memaksa-Nya menjadi raja. Oleh itu Dia beredar sekali lagi ke bukit seorang diri.

Isa berjalan di atas air

16Setelah senja hari, para pengikut Isa turun ke tasik.

17Mereka menaiki perahu menyeberangi tasik itu ke Kapernaum. Hari sudah gelap namun Isa belum pulang mendapatkan mereka.

18Ketika itu tasik mulai bergelombang kerana angin bertiup kencang.

19Setelah para pengikut Isa berkayuh tiga atau tiga setengah batu, mereka terpandang Dia berjalan di atas air ke arah perahu mereka, lalu mereka pun ketakutan.

20Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Jangan takut, Aku Isa!’

21Barulah mereka mahu menyambut-Nya naik ke perahu. Pada saat itu juga tibalah perahu itu ke tempat yang dituju.

22Pada keesokan harinya, orang ramai yang berada di seberang tasik sedar bahawa di situ hanya ada sebuah perahu dan Isa tidak menaiki perahu itu. Mereka tahu bahawa para pengikut Isa telah bertolak menaiki perahu itu tanpa-Nya.

23Kemudian, beberapa buah perahu dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti selepas Junjungan mengucap syukur.

24Apabila mereka tidak melihat Isa atau para pengikut-Nya, mereka pun menaiki perahu-perahu itu menuju ke Kapernaum untuk mencari Isa.

Roti Hidup

25Ketika mereka bertemu dengan Isa di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, ‘Tuan Guru, bilakah Engkau sampai ke mari?’

26Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang.

27Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepada-Mu oleh Putera Insan, kerana Allah Bapa telah melantik-Nya.’

28Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?’

29Isa berkata, ‘Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya.’

30Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan?

31Nenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci: “Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.”’

32Lalu Isa berkata, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga.

33Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia.’

34Kemudian mereka berkata, ‘Junjungan, berilah kami roti itu selalu.’

35Isa berkata kepada mereka, ‘Akulah Roti Hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.

36Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku.

37Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku.

38Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.

39Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberi kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir.

40Demikianlah kehendak Bapa-Ku iaitu setiap orang yang melihat Putera-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.’

41Orang Yahudi di situ mula merungut sesama sendiri menentang Isa kerana kata-katanya, ‘Akulah roti yang turun dari syurga.’

42Mereka berkata, ‘Bukankah Dia Isa, anak Yusuf, dan ibu bapa-Nya kita kenal? Bagaimana Dia boleh mengaku, “Aku turun dari syurga”?’

43Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Janganlah merungut sesama sendiri.

44Tiada seorang pun yang dapat datang kepada-Ku kecuali didorongkan oleh Bapa yang mengutus-Ku dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.

45Ada tersurat di dalam tulisan para nabi: “Semua manusia akan diajar oleh Allah.” Dengan demikian, seorang yang mendengar dan belajar daripada Bapa akan datang kepada-Ku.’

46Tidak seorang pun pernah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah telah melihat Bapa.

47Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, orang yang percaya mendapat hidup yang kekal.

48Akulah roti hidup.

49Nenek moyangmu makan manna di gurun, tetapi mereka mati juga.

50Inilah roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini tidak akan mati.

51Akulah Roti Hidup yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Kuberikan untuk hidup manusia di dunia ini adalah tubuh-Ku.’

52Orang Yahudi yang mendengar kata-kata ini mula bertengkar sesama sendiri ‘Bagaimanakah mungkin orang ini memberikan tubuh-Nya untuk kita makan?’

53Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan tubuh Putera Insan dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu.

54Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mendapat hidup yang kekal, maka Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.

55Tubuh-Ku inilah makanan yang sebenar. Darah-Ku inilah minuman yang sebenar.

56Apabila seorang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, maka dia tetap di dalam-Ku dan Aku di dalamnya.

57Seperti Bapa yang hidup mengutus Aku, dan Aku hidup kerana Bapa hidup. Demikianlah juga, orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku hidup.

58Inilah roti yang turun dari syurga, bukan seperti roti yang dimakan oleh nenek moyangmu, yang kemudiannya mati juga walaupun telah memakannya. Sebaliknya, sesiapa yang makan roti ini akan hidup kekal.’

59Demikianlah kata-kata Isa ketika mengajar di saumaah di Kapernaum.

Kata-kata untuk pengikut Isa

60Antara para pengikut yang mendengar kata-kata-Nya itu, ramai yang berkata, ‘Ajaran ini terlalu susah difahami. Siapakah yang dapat menerimanya?’

61Isa tahu tanpa diberitahu akan rungutan para pengikut-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, ‘Adakah perkara ini menyebabkan kamu enggan percaya?’

62Bagaimana nanti kalau kamu melihat Putera Insan naik semula ke tempat asal-Nya?

63Hanya Roh Suci memberi hidup. Tubuh tidak ada faedahnya. Apa yang Kukatakan kepadamu ini datang daripada Roh Suci dan memberi hidup.

64Sungguhpun begitu, sebilangan daripadamu tidak percaya.’ (Isa mengetahui dari mulanya siapa yang enggan percaya dan siapa yang akan mengkhianati-Nya.)

65Isa berkata lagi, ‘Maka itulah sebabnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang pun dapat datang kepada-Ku kecuali dengan keredaan Allah.’

Pengakuan Petrus

66Selepas itu, ramai pengikut Isa menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya.

67Oleh yang demikian, Isa bertanya kepada pengikut-Nya yang dua belas itu, ‘Adakah kamu juga akan meninggalkan-Ku?’

68Simon Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, kepada siapa lagi akan kami pergi? Engkaulah yang memiliki kata-kata hidup yang kekal.

69Kami percaya sepenuh hati bahawa Engkaulah Yang Suci daripada Allah.’

70Isa berkata, ‘Tidakkah kamu dua belas orang ini Kupilih, tetapi seorang daripadamu adalah iblis?’

71Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Yudas anak Simon Iskariot. Meskipun Yudas salah seorang pengikut Isa yang dua belas itu, dia akan mengkhianati-Nya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yohanes 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2020
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran