Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 23 >> 

Yesus di hadapan Pilatus

1Semua anggota majlis bangkit, lalu membawa Yesus ke hadapan Pilatus.

2Di situ mereka mula menuduh Dia dan berkata, "Kami dapati orang ini menyesatkan rakyat. Dia menghasut orang ramai supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan dia mengaku diri sebagai Kristus, seorang raja."

3Pilatus bertanya kepada Yesus, "Betulkah kamu raja orang Yahudi?" Yesus menjawab, "Begitulah yang tuan katakan."

4Kemudian Pilatus berkata kepada para ketua imam dan orang ramai, "Aku tidak mendapati kesalahan apa-apa pun sehingga orang ini patut dihukum."

5Tetapi mereka berulang kali berkata, "Dengan ajarannya, orang ini menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak; dia memulakannya di Galilea dan sekarang sudah sampai di sini pula."

Yesus di Hadapan Herodes

6Ketika mendengar hal itu, Pilatus bertanya, "Adakah orang ini orang Galilea?"

7Apabila Pilatus mengetahui bahawa Yesus berasal dari daerah yang diperintah oleh Herodes, dia menyuruh orang menghantar Yesus kepada Herodes. Ketika itu, Herodes juga di Yerusalem.

8Herodes sangat gembira ketika nampak Yesus, kerana sudah lama dia mendengar perihal Yesus dan ingin melihat dia. Herodes berharap dapat menyaksikan Yesus melakukan mukjizat.

9Oleh itu Herodes mengajukan banyak pertanyaan kepada Yesus, tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun.

10Semua ketua imam dan guru Taurat yang di situ maju ke hadapan dan mendakwa Yesus dengan berbagai-bagai tuduhan yang berat.

11Herodes dan askar-askarnya mempermainkan serta menghina Yesus. Mereka mengenakan jubah yang indah pada Yesus, lalu mengembalikan Yesus kepada Pilatus.

12Mulai hari itu Herodes dan Pilatus bersahabat; dahulunya mereka bermusuhan.

Yesus Dijatuhi Hukuman Mati

13Pilatus mengumpulkan para ketua imam, pemimpin, dan orang ramai.

14Dia berkata kepada mereka, "Kamu membawa orang ini kepadaku dan berkata bahawa dia menyesatkan rakyat. Aku sudah menyoal dia di sini di hadapan kamu, dan tidak mendapati kesalahan apa-apa pun sebagaimana yang kamu tuduhkan kepadanya.

15Herodes pun berpendapat demikian, kerana dia menghantar Yesus kembali kepada kami. Orang ini tidak melakukan sesuatu pun sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati.

16Oleh itu aku menyuruh orang mencambuk dia, lalu membebaskannya."

17[Pada tiap-tiap perayaan Paska, Pilatus harus membebaskan seorang tahanan untuk rakyat.]

18Semua orang di situ berseru, "Bunuhlah dia! Bebaskan Barabas untuk kami!"

19(Barabas dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.)

20Pilatus hendak membebaskan Yesus. Oleh itu Pilatus berseru lagi kepada orang ramai.

21Tetapi mereka berseru, "Salibkan dia! Salibkan dia!"

22Lalu untuk kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka, "Tetapi apakah kesalahannya? Aku tidak mendapati kesalahan apa-apa pun pada orang ini sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati! Aku akan menyuruh orang mencambuk dia, kemudian membebaskannya."

23Tetapi mereka terus-menerus berseru dengan sekuat tenaga bahawa Yesus harus disalibkan, dan akhirnya mereka berjaya.

24Pilatus menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus sesuai dengan kehendak orang ramai.

25Kemudian Pilatus membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan dan pembunuhan. Setelah itu Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk diperlakukan dengan sesuka hati.

Yesus Disalibkan

26Askar-askar itu membawa Yesus pergi, lalu di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon, yang berasal dari Kirene. Dia sedang memasuki kota. Askar-askar itu menangkap dia, lalu memaksa dia memikul salib Yesus dan berjalan di belakang Yesus.

27Banyak orang mengikut Yesus dan antara mereka ada beberapa orang wanita yang menangisi dan meratapi Yesus.

28Yesus berpaling kepada mereka dan berkata, "Wanita-wanita Yerusalem, janganlah tangisi Aku. Tangisilah diri kamu sendiri dan anak-anak kamu.

29Masanya akan tiba apabila orang berkata, ‘Alangkah bertuahnya wanita yang tidak pernah mengandung, yang tidak pernah melahirkan dan menyusukan bayi!’

30Itulah masanya apabila orang akan berkata kepada gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit, ‘Sembunyikanlah kami!’

31Jika demikian yang dilakukan mereka terhadap kayu yang masih hijau, apa pula yang akan dilakukan mereka terhadap kayu yang kering?"

32Ada pula dua orang penjahat yang akan disalibkan bersama-sama Yesus.

33Apabila tiba di tempat yang disebut "Tengkorak," mereka menyalibkan Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu -- seorang di sebelah kanan Yesus dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya.

34Yesus berkata, "Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka." Pakaian Yesus dibahagi-bahagikan antara mereka sendiri dengan membuang undi.

35Semua orang yang berdiri di situ memandang sahaja, tetapi para pemimpin orang Yahudi mengejek Dia dengan berkata, "Dia telah menyelamatkan orang lain. Jika dia benar-benar Penyelamat yang dipilih oleh Allah, biarlah dia menyelamatkan dirinya sendiri!"

36Askar-askar juga mengejek dia. Mereka mendekati Yesus lalu memberikan wain masam kepada-Nya.

37Mereka berkata, "Jika kamu raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri!"

38Pada sebelah atas kayu salib Yesus, tertulis kata-kata: "Inilah Raja Orang Yahudi."

39Salah seorang penjahat yang disalibkan di situ menghina Yesus. Dia berkata, "Bukankah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah? Selamatkanlah dirimu sendiri dan juga kami!"

40Tetapi penjahat yang seorang lagi menegur dia dan berkata, "Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita semua sudah dihukum mati.

41Hukuman kita berdua memang setimpal dengan perbuatan kita, tetapi orang ini tidak bersalah!"

42Lalu dia berkata kepada Yesus, "Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!"

43Yesus berkata kepadanya, "Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus."

Kematian Yesus

44Kira-kira pukul dua belas tengah hari, matahari tidak bersinar dan seluruh negeri itu diliputi kegelapan sehingga pukul tiga petang.

45Pada waktu itu tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak menjadi dua helai.

46Lalu Yesus berseru dengan suara lantang, "Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!" Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal.

47Ketua askar nampak apa yang telah berlaku. Dia memuji Allah dan berkata, "Memang Dia tidak bersalah!"

48Apabila semua orang yang berkumpul di situ melihat apa yang telah berlaku, mereka semua pulang ke rumah sambil menebah dada kerana menyesal.

49Semua sahabat Yesus, termasuk wanita-wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea, berdiri dari jauh dan menyaksikan semua perkara itu.

Penguburan Yesus

50Ada seorang bernama Yusuf; dia berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang baik yang dihormati orang. Dia sedang menantikan masanya Allah mula memerintah. Meskipun dia anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan Majlis itu.

51(23:50)

52Dia menghadap Pilatus dan meminta jenazah Yesus.

53Dia menurunkan jenazah Yesus dari salib, lalu membalutnya dengan kain linen. Setelah itu dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur yang dipahat pada sebuah bukit batu. Kubur itu belum pernah digunakan.

54Hari itu hari Jumaat dan hari Sabat hampir bermula.

55Wanita-wanita dari Galilea yang datang dengan Yesus, mengikuti Yusuf. Mereka nampak kubur itu dan melihat bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya.

56Setelah itu mereka pulang, lalu menyediakan ramuan dan minyak wangi untuk jenazah Yesus. Pada hari Sabat mereka berhenti bekerja untuk mentaati perintah Taurat.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Lukas 23):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Lukas 23 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel