Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 21 >> 

Yesus Masuk ke Yerusalem

1Semasa mendekati Yerusalem, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Betfage, sebuah pekan di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu.

2Yesus berkata kepada mereka, "Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Sebaik sahaja kamu memasuki pekan itu, kamu akan nampak seekor keldai yang terikat, dan anaknya pun di situ. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku.

3Jika ada orang mengatakan sesuatu, katakan kepadanya, ‘Tuhan memerlukannya.’ Dengan segera orang itu akan membenarkan kedua-dua ekor keldai itu dibawa pergi."

4Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi,

5"Katakanlah kepada kota Sion, Rajamu sedang datang kepada kamu. Dia rendah hati dan menunggang seekor keldai, Dia datang mengendarai anak keldai yang muda."

6Kedua-dua orang pengikut itu pun pergi dan melakukan seperti yang diarahkan oleh Yesus.

7Mereka membawa kedua-dua ekor keldai itu, lalu mengalasi punggung keldai dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya.

8Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat ranting-ranting pokok, lalu menyelerakkannya di jalan.

9Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang Yesus mula berseru-seru, "Pujilah Anak Daud! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Pujilah Allah!"

10Apabila Yesus masuk ke Yerusalem, seluruh kota menjadi gempar. Orang bertanya, "Siapakah dia?"

11"Dia Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea," jawab orang ramai yang mengiringi Yesus.

Yesus Masuk ke Rumah Tuhan

12Yesus masuk ke Rumah Tuhan, lalu mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati.

13Yesus berkata kepada mereka, "Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!"

14Orang buta dan orang tempang datang kepada Yesus di Rumah Tuhan dan Yesus menyembuhkan mereka.

15Ketua imam dan guru Taurat marah apabila mereka melihat mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Mereka marah juga apabila mendengar anak-anak berseru-seru di Rumah Tuhan, "Pujilah Anak Daud!"

16Mereka berkata kepada Yesus, "Adakah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh mereka?" "Tentu sahaja," jawab Yesus. "Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab berikut, ‘Ya Allah, Engkau telah mengajar anak-anak dan bayi mengucapkan pujian yang sempurna.’"

17Yesus meninggalkan mereka, lalu keluar dari kota itu dan pergi ke Betania. Dia bermalam di situ.

Yesus Mengutuk Pokok Ara

18Keesokan paginya, dalam perjalanan kembali ke kota, Yesus lapar.

19Dia melihat sebatang pokok ara di pinggir jalan. Dia menghampiri pokok itu, tetapi tidak mendapati satu buah ara pun. Dia mendapati daun sahaja. Yesus berkata kepada pokok itu, "Hai pokok, engkau tidak akan berbuah lagi!" Dengan segera pokok ara itu layu.

20Apabila pengikut-pengikut Yesus nampak kejadian itu, mereka hairan. Mereka bertanya, "Bagaimanakah pokok ara itu layu dengan serta-merta?"

21"Ketahuilah," jawab Yesus, "jika kamu percaya kepada Allah dan tidak ragu-ragu, kamu akan dapat melakukan apa yang telah Aku lakukan terhadap pokok ara ini. Bukan itu sahaja, bahkan kamu akan dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Hal itu pun akan berlaku.

22Apabila kamu berdoa dan percaya bahawa Allah akan melakukan apa yang kamu minta, maka Dia akan melakukannya."

Pertanyaan tentang Hak Yesus

23Yesus kembali ke Rumah Tuhan. Semasa Dia mengajar, ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada-Nya dan bertanya, "Dengan hak siapakah kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak ini kepadamu?"

24Yesus menjawab, "Aku akan bertanya satu soalan sahaja. Jika kamu menjawabnya, Aku akan memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.

25Dengan hak siapa Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?" Mereka mula berbincang sesama sendiri, "Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapakah kamu tidak percaya kepada Yohanes?’

26Tetapi jika kita berkata, ‘Dengan hak manusia,’ kita takut akan apa yang mungkin dilakukan orang ramai, kerana mereka semua yakin bahawa Yohanes seorang nabi."

27Oleh itu, mereka menjawab, "Kami tidak tahu." Yesus berkata kepada mereka, "Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini."

Perumpamaan tentang Dua Orang Anak Lelaki

28"Sekarang bagaimana pendapat kamu?" kata Yesus selanjutnya. "Ada seorang bapa yang mempunyai dua orang anak lelaki. Dia pergi kepada anaknya yang sulung dan berkata, ‘Pergilah bekerja di ladang anggur hari ini.’

29Anaknya menjawab, ‘Saya tidak mahu,’ tetapi kemudian anak itu mengubah fikirannya lalu pergi ke ladang anggur itu.

30Kemudian bapa itu pergi kepada anaknya yang kedua, dan mengatakan hal yang sama. ‘Baiklah ayah,’ jawab anaknya yang kedua. Tetapi dia tidak pergi.

31Yang manakah antara kedua-dua orang anak itu melakukan kehendak bapanya?" "Anak yang sulung," jawab mereka. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, "Ketahuilah! Pemungut cukai dan pelacur akan menikmati Pemerintahan Allah lebih dahulu daripada kamu.

32Yohanes Pembaptis datang kepada kamu dan menunjukkan cara hidup yang dikehendaki oleh Allah, tetapi kamu tidak mahu percaya kepada ajarannya. Sebaliknya pemungut cukai dan pelacur percaya kepada ajarannya. Meskipun kamu telah melihat pemungut cukai dan pelacur berbuat demikian, kamu tidak mahu mengubah fikiran dan percaya kepada ajarannya."

Perumpamaan tentang Penyewa-Penyewa Ladang Anggur

33"Dengarlah sebuah perumpamaan lain," kata Yesus. "Seorang pemilik tanah mempunyai ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain.

34Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hamba-hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya.

35Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba-hamba pemilik ladang itu; ada yang dipukul, ada yang dibunuh, dan ada lagi yang direjam.

36Sekali lagi pemilik ladang itu mengutus hamba-hamba lain, lebih banyak daripada yang dahulu. Tetapi hamba-hamba itu juga menerima perlakuan yang sama.

37Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada mereka. Dia berkata dalam hati, ‘Tentu mereka akan menghormati anakku.’

38Tetapi apabila penyewa-penyewa ladang itu nampak anak pemilik ladang itu, mereka berkata sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’

39Oleh itu mereka menangkap anak itu, membuang dia ke luar ladang, dan membunuh dia."

40Kemudian Yesus bertanya, "Apabila pemilik ladang anggur itu kembali, apakah yang akan dilakukannya kepada penyewa-penyewa ladang itu?"

41Mereka menjawab, "Tentu dia akan membunuh semua orang jahat itu, lalu menyewakan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain yang mahu memberikan hasil bahagiannya pada musim anggur."

42Yesus berkata kepada mereka, "Belum pernahkah kamu baca apa yang tertulis di dalam Alkitab? ‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama. Inilah perbuatan Tuhan; alangkah indahnya!’"

43Yesus berkata lagi, "Ketahuilah! Hak untuk menikmati Pemerintahan Allah akan diambil daripada kamu, lalu diserahkan kepada orang yang memberikan hasil yang dikehendaki oleh Allah."

44[Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan tergilas menjadi debu.]

45Ketua imam dan orang Farisi mendengar perumpamaan-perumpamaan Yesus, dan mereka tahu bahawa Yesus berkata-kata tentang mereka.

46Oleh itu mereka cuba menangkap Yesus. Tetapi mereka takut akan orang ramai, yang menganggap Yesus sebagai nabi.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Matius 21):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Matius 21 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel