Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 119 >> 

Taurat TUHAN

1Berbahagialah orang yang hidup tanpa cela, dan hidup menurut Taurat TUHAN.

2Berbahagialah mereka yang menurut perintah-Nya, dan mentaati Dia dengan sepenuh hati.

3Mereka tidak melakukan kejahatan, tetapi hidup menurut kehendak TUHAN.

4Engkau memberi kami hukum-Mu, ya TUHAN, dan menyuruh kami mematuhinya dengan setia.

5Semoga aku setia mematuhi peraturan-Mu.

6Jika aku menumpukan perhatian kepada semua perintah-Mu, aku tidak akan dipermalukan.

7Ketika aku mempelajari ketetapan-Mu yang adil, aku akan memuji Engkau dengan hati yang murni.

8Aku akan taat kepada hukum-Mu; janganlah sekali-kali tinggalkan aku!

Mentaati Taurat TUHAN

9Bagaimanakah seorang pemuda dapat hidup suci? Dia dapat hidup suci dengan mentaati perintah-Mu.

10Dengan sepenuh hati aku berusaha untuk mentaati Engkau; jangan biarkan aku menyimpang daripada perintah-Mu.

11Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku, supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu.

12Aku memuji Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku kehendak-Mu.

13Aku akan menceritakan segala hukum yang telah Engkau berikan.

14Aku gemar menurut perintah-Mu, lebih daripada memiliki segala kekayaan.

15Aku akan mengkaji peraturan-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ajaran-Mu.

16Aku gemar akan hukum-Mu; aku tidak akan melupakan perintah-Mu.

Taurat TUHAN Membahagiakan Orang

17Semoga Engkau murah hati kepadaku, hamba-Mu, supaya aku dapat hidup dan mentaati ajaran-Mu.

18Bukalah mataku supaya aku dapat melihat ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu.

19Aku tinggal di bumi ini hanya untuk seketika; janganlah sembunyikan perintah-Mu daripadaku.

20Hatiku sangat rindu untuk mengetahui ketetapan-Mu setiap waktu.

21Engkau menegur orang yang sombong; terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu.

22Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka, kerana aku telah melakukan hukum-Mu.

23Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku, tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu.

24Peraturan-Mu menyenangkan hatiku; peraturan-Mu menasihati aku.

Hasrat untuk Mentaati Taurat TUHAN

25Aku terbaring di atas debu kerana kalah; pulihkanlah aku menurut janji-Mu.

26Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku; ajarlah aku kehendak-Mu.

27Tolonglah aku memahami hukum-Mu, dan aku akan merenungkan ajaran-Mu yang mengagumkan.

28Jiwaku hancur kerana kesedihan; kuatkanlah aku menurut janji-Mu.

29Jauhkanlah aku dari jalan yang salah, dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu.

30Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu.

31Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan.

32Aku suka mentaati perintah-Mu, kerana Engkau menambahkan pengertianku.

Doa Minta Pengertian

33Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu, dan aku akan mentaatinya selalu.

34Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya, dan dengan sepenuh hati melakukannya.

35Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu, kerana perintah-Mu menggembirakan aku.

36Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu, dan bukan untuk mendapat kekayaan.

37Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; berilah aku hidup menurut kehendak-Mu.

38Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu, janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu.

39Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti; betapa baiknya ketetapan-Mu.

40Aku mahu mentaati perintah-Mu; berilah aku hidup baru kerana Engkau adil.

Mempercayai Taurat TUHAN

41Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu.

42Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku, kerana aku mempercayai firman-Mu.

43Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar, kerana aku yakin akan ketetapan-Mu.

44Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu, untuk selama-lamanya.

45Maka aku akan hidup dengan bebas, kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu.

46Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja, dan aku tidak akan dipermalukan.

47Aku gemar mentaati perintah-Mu, kerana aku mencintai perintah-Mu.

48Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu; aku akan merenungkan peraturan-Mu.

Yakin akan Taurat TUHAN

49Ingatlah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu; janji yang telah memberikan harapan kepadaku.

50Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur, kerana janji-Mu memberi aku hidup.

51Orang sombong selalu menghina aku, tetapi aku tidak menyimpang daripada Taurat-Mu.

52Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu, dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN.

53Aku sangat marah kepada orang jahat apabila mereka melanggar Taurat-Mu.

54Selama hidupku yang singkat di bumi ini, aku menggubah lagu tentang perintah-Mu.

55Pada waktu malam aku ingat akan Engkau, ya TUHAN, dan aku memikirkan Taurat-Mu.

56Aku mendapat kebahagiaan dengan mentaati perintah-Mu.

Kepatuhan kepada Taurat TUHAN

57Hanya Engkau yang aku inginkan, ya TUHAN; aku berjanji untuk mematuhi hukum-Mu.

58Dengan sepenuh hati aku meminta kepada-Mu; kasihanilah aku menurut janji-Mu.

59Aku telah memikirkan kelakuanku, dan berjanji akan menurut peraturan-Mu.

60Aku bergegas-gegas dan tidak membuang masa untuk melakukan perintah-Mu.

61Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melupakan Taurat-Mu.

62Pada tengah malam aku bangun untuk memuji Engkau, kerana ketetapan-Mu adil.

63Aku bersahabat dengan semua orang yang taat kepada-Mu, semua orang yang mematuhi hukum-Mu.

64Ya TUHAN, bumi penuh dengan kasih-Mu yang kekal; ajarlah aku perintah-Mu.

Nilai Taurat TUHAN

65Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN, dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu.

66Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan, kerana aku percaya kepada perintah-Mu.

67Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu, tetapi kini aku mematuhi firman-Mu.

68Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik; ajarlah aku perintah-Mu.

69Orang sombong memfitnah aku, tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu.

70Mereka tidak mempunyai pengertian, tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku.

71Memang baik Engkau menghukum aku, supaya aku memahami perintah-Mu.

72Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga daripada segala kekayaan di dunia.

Keadilan Taurat TUHAN

73Engkau mencipta dan membentuk aku; berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu.

74Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku, kerana aku percaya kepada janji-Mu.

75Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN, dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia.

76Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku, menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu.

77Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup, kerana aku gemar akan Taurat-Mu.

78Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku, tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu.

79Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku, semua orang yang mengenal perintah-Mu.

80Semoga aku mentaati segala perintah-Mu, supaya aku tidak dipermalukan.

Doa Minta Pembebasan

81Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku; aku percaya akan janji-Mu.

82Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan, sementara aku bertanya, "Bilakah Engkau akan menolong aku?"

83Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang, namun aku tidak melupakan perintah-Mu.

84Sampai bilakah aku mesti menunggu? Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku?

85Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu sudah menggali lubang untuk memerangkap aku.

86Semua perintah-Mu dapat dipercayai; tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta!

87Mereka hampir berjaya membunuh aku, tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu.

88Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal, supaya aku dapat mentaati hukum-Mu.

Kepercayaan kepada Taurat TUHAN

89Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya; firman-Mu kekal abadi di syurga.

90Engkau tetap setia selama-lamanya, Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada.

91Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang, kerana semuanya hamba-Mu.

92Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku, pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku.

93Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu, kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku.

94Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu; aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu.

95Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku, tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu.

96Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas; hanya perintah-Mu yang sempurna.

Cinta kepada Taurat TUHAN

97Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari.

98Perintah-Mu selalu bersama-sama aku, dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku.

99Pengertianku melebihi pengertian semua guruku, kerana aku merenungkan peraturan-Mu.

100Aku lebih bijak daripada orang tua, kerana aku mentaati perintah-Mu.

101Aku mengelakkan segala kelakuan jahat, kerana aku mahu mematuhi firman-Mu.

102Aku tidak melalaikan peraturan-Mu, kerana Engkaulah yang mengajar aku.

103Betapa manisnya peraturan-Mu; lebih manis daripada madu!

104Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu, oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk.

Taurat TUHAN Memberikan Cahaya

105Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku, dan cahaya yang menerangi jalanku.

106Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah, untuk mentaati peraturan-Mu yang adil.

107Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN; selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu.

108Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN, dan ajarlah aku perintah-Mu.

109Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku; aku tidak melupakan Taurat-Mu.

110Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu.

111Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; perintah-Mu adalah kesukaan hatiku.

112Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu sehingga akhir hidupku.

Taurat TUHAN Memberikan Keselamatan

113Aku membenci orang yang tidak setia kepada-Mu dengan sepenuh hati, tetapi aku mencintai Taurat-Mu.

114Engkaulah pembelaku dan pelindungku; aku berharap kepada janji-Mu.

115Hai orang jahat, pergilah daripadaku. Aku akan mematuhi perintah Allahku.

116Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup; jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku!

117Bantulah aku, lalu aku akan selamat, dan aku akan sentiasa memperhatikan perintah-Mu.

118Engkau menolak semua orang yang tidak mematuhi hukum-Mu; muslihat mereka sia-sia belaka.

119Engkau menganggap semua orang jahat seperti sampah; oleh itu aku mencintai peraturan-Mu.

120Aku gementar kerana takut kepada-Mu, dan aku gentar kerana ketetapan-Mu.

Taat kepada Taurat TUHAN

121Aku telah melakukan perkara yang adil dan benar; jangan serahkan aku kepada musuh-musuhku!

122Berjanjilah bahawa Engkau akan menolong hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindas aku!

123Mataku penat menantikan Engkau datang untuk menyelamatkan aku, dan untuk membebaskan aku, menurut janji-Mu.

124Perlakukanlah aku sesuai dengan kasih-Mu, dan ajarlah aku perintah-Mu.

125Aku ini hamba-Mu, berilah aku pengertian, supaya aku memahami ajaran-Mu.

126Inilah masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana orang melanggar Taurat-Mu.

127Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas, lebih daripada emas murni.

128Oleh itu aku mengikut segala peraturan-Mu; aku benci akan segala perbuatan yang salah.

Hasrat untuk Mentaati Taurat TUHAN

129Ajaran-Mu sungguh mengagumkan; aku mentaatinya dengan sepenuh hati.

130Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya, memberikan pengertian kepada orang jahil.

131Aku haus akan perintah-Mu, aku sangat menginginkannya.

132Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu.

133Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh; jangan biarkan kejahatan menguasai aku.

134Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku, supaya aku dapat mentaati perintah-Mu.

135Berkatilah aku dengan hadirat-Mu, dan ajarlah aku hukum-Mu.

136Air mataku mengalir seperti sungai, kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu.

Keadilan Taurat TUHAN

137Engkau adil, ya TUHAN, dan hukum-Mu adil.

138Peraturan yang Engkau berikan semuanya adil dan benar.

139Kemarahan membara dalam diriku kerana musuhku melanggar perintah-Mu.

140Janji-Mu dapat dipercayai, aku sangat mencintainya.

141Aku ini tidak penting dan aku terhina, tetapi aku tidak melalaikan ajaran-Mu.

142Keadilan-Mu kekal selama-lamanya, dan Taurat-Mu tetap benar.

143Kesusahan dan kekhuatiran menimpa aku, tetapi perintah-Mu menggembirakan hatiku.

144Peraturan-Mu selalu adil; berilah aku pengertian supaya aku hidup.

Doa Minta Pembebasan

145Dengan sepenuh hati, aku berseru kepada-Mu; kabulkanlah doaku, ya TUHAN; aku akan taat kepada perintah-Mu.

146Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku; aku mahu mematuhi hukum-Mu.

147Sebelum fajar aku berseru kepada-Mu minta tolong, aku berharap kepada janji-Mu.

148Sepanjang malam aku tidak tidur, kerana merenungkan peraturan-Mu.

149Demi kasih-Mu yang kekal, ya TUHAN, dengarlah aku; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku.

150Penganiayaku yang kejam sudah dekat; mereka tidak pernah mematuhi Taurat-Mu.

151Tetapi Engkau dekat kepadaku, ya TUHAN, dan segala perintah-Mu itu benar.

152Sejak dahulu aku tahu akan peraturan-Mu, yang Engkau kekalkan selama-lamanya.

Doa Minta Tolong

153Lihatlah penderitaanku dan selamatkanlah aku, kerana aku tidak mengabaikan Taurat-Mu.

154Belalah perkaraku dan bebaskanlah aku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu.

155Orang jahat tidak akan diselamatkan, kerana mereka tidak mematuhi hukum-Mu.

156Sungguh besar belas kasihan-Mu, ya TUHAN; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku.

157Banyak orang memusuhi dan menindas aku, tetapi aku tidak pernah mengabaikan hukum-Mu.

158Aku benci melihat pengkhianat-pengkhianat itu, kerana mereka tidak mematuhi perintah-Mu.

159Lihatlah, aku sangat mencintai peraturan-Mu, ya TUHAN. Selamatkanlah aku, kerana kasih-Mu.

160Segala firman-Mu benar, dan semua ketetapan-Mu yang adil itu abadi.

Kesetiaan terhadap Taurat TUHAN

161Orang berkuasa menyerang aku tanpa alasan, tetapi hanya Taurat-Mu yang aku takuti.

162Janji-Mu membahagiakan aku, seperti orang yang menemukan harta.

163Aku sangat membenci segala dusta, tetapi aku mencintai Taurat-Mu.

164Aku terus-menerus bersyukur kepada-Mu bagi ketetapan-Mu yang adil.

165Orang yang mencintai Taurat-Mu mendapat kesejahteraan; mereka tidak akan ditimpa malapetaka.

166Aku menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku, ya TUHAN, dan aku melakukan segala perintah-Mu.

167Aku mentaati ajaran-Mu, dan mencintainya dengan segenap hati.

168Aku mematuhi perintah dan peraturan-Mu, kerana Engkau melihat segala perbuatanku.

Doa Minta Tolong

169Semoga seruanku minta tolong sampai kepada-Mu, ya TUHAN! Berilah aku pengertian seperti yang telah Engkau janjikan.

170Dengarkanlah doaku, dan selamatkanlah aku menurut janji-Mu.

171Aku akan memuji Engkau selalu, kerana Engkau mengajar aku hukum-Mu.

172Aku akan menyanyi tentang Taurat-Mu, kerana perintah-Mu adil.

173Semoga Engkau selalu bersedia menolong aku, kerana aku mahu mengikut perintah-Mu.

174Ya TUHAN, aku berharap supaya diselamatkan oleh-Mu, Taurat-Mu menggembirakan hatiku.

175Semoga aku hidup supaya aku dapat memuji Engkau; semoga peraturan-Mu menolong aku.

176Aku merayau seperti domba yang sesat; oleh itu datanglah untuk mencari hamba-Mu, kerana aku tidak mengabaikan hukum-Mu.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Mazmur 119 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel