Rindu akan Allah
1Mazmur Daud, semasa dia di padang gurun Yehuda. (63-2) Ya Allah, Engkaulah Allahku, aku rindu akan Engkau. Seperti tanah tandus haus akan air, begitulah aku haus akan Engkau.
2(63-3) Izinkanlah aku melihat Engkau di Rumah-Mu, serta melihat kuasa dan kemuliaan-Mu.
3(63-4) Kasih-Mu lebih berharga daripada hidup, oleh itu aku memuji Engkau.
4(63-5) Aku bersyukur kepada-Mu seumur hidupku; aku menadahkan tangan kepada-Mu sambil berdoa.
5(63-6) Jiwaku dijamu dan dipuaskan, dan aku akan menyanyikan lagu-lagu pujian untuk-Mu.
6(63-7) Waktu aku berbaring di katil, aku ingat akan Engkau; sepanjang malam aku merenungkan Engkau,
7(63-8) kerana Engkau sentiasa menolong aku; aku menyanyi dengan riang di bawah naungan sayap-Mu.
8(63-9) Aku berpaut kepada-Mu, tangan-Mu yang kuat menopang aku.
9(63-10) Orang yang cuba membunuh aku akan turun ke dunia orang mati;
10(63-11) mereka akan dibunuh dalam pertempuran, dan mayat mereka dimakan serigala.
11(63-12) Raja akan bersukacita kerana Allah memberi raja kemenangan; semua orang yang berjanji demi Allah akan bergembira, tetapi suara pendusta akan disenyapkan.