Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 47 >> 

Air yang Mengalir dari Rumah TUHAN

1Lelaki itu membawa aku balik ke pintu masuk Rumah TUHAN. Aku nampak air mengalir dari bawah pintu ke arah timur, sebagaimana Rumah TUHAN juga menghadap ke arah timur. Air itu mengalir dari bawah ambang pintu Rumah TUHAN di bahagian selatan, melalui sisi selatan mazbah.

2Kemudian lelaki itu membawa aku keluar dari kawasan Rumah TUHAN melalui pintu gerbang utara, lalu memimpin aku ke pintu gerbang timur. Sungai kecil itu mengalir dari sisi selatan pintu gerbang itu.

3Dengan kayu pengukurnya lelaki itu mengukur 500 meter ke arah timur, mengikut arus sungai itu, dan menyuruh aku mengharunginya. Airnya sampai ke mata kakiku.

4Dia mengukur 500 meter lagi, dan airnya sampai ke lututku. Dia mengukur 500 meter lagi, dan airnya sampai ke pinggangku.

5Dia mengukur 500 meter lagi, dan di situ airnya sudah menjadi sungai dalam sehingga aku tidak dapat menyeberanginya kecuali dengan berenang.

6Lelaki itu berkata kepadaku, "Hai manusia fana, perhatikanlah semua ini dengan baik-baik." Kemudian dia membawa aku ke tebing sungai.

7Apabila aku sampai di sana, aku nampak banyak sekali pokok di kedua-dua tebing sungai itu.

8Dia berkata kepadaku, "Air ini mengalir ke arah timur melalui negeri ini, lalu turun ke Lembah Sungai Yordan dan menuju ke Laut Mati. Apabila airnya sampai ke dalam Laut Mati, maka air laut yang masin itu digantikan dengan air tawar.

9Ke mana sahaja air itu mengalir, di situ juga akan terdapat segala jenis binatang dan ikan. Air itu akan menjadikan air di Laut Mati tawar, dan ke mana sahaja air itu mengalir, di situ akan terdapat kehidupan.

10Dari Mata Air En-Gedi sampai ke Mata Air En-Eglaim, akan ada banyak nelayan menjemur jala di pantainya. Di dalam air itu akan terdapat segala jenis ikan seperti yang ada di Laut Tengah.

11Tetapi air di rawa dan di paya di sepanjang pantai itu tidak akan menjadi tawar, melainkan tetap menjadi sumber garam.

12Di kedua-dua tebing sungai itu akan tumbuh berjenis-jenis pokok buah. Daun pokok-pokok itu tidak akan layu, dan pokok-pokok itu tidak akan berhenti berbuah. Setiap bulan pokok-pokok itu akan menghasilkan buah-buah yang baru, kerana pokok-pokok itu diairi oleh air yang mengalir dari Rumah TUHAN. Buah-buah itu menjadi makanan dan daun-daunnya digunakan sebagai ubat."

Sempadan Negeri Israel

13TUHAN Raja berfirman, "Yang berikut ialah sempadan tanah yang akan dibahagikan kepada dua belas suku Israel. Suku Yusuf harus mendapat dua bahagian.

14Aku telah bersumpah kepada nenek moyang kamu bahawa Aku akan memberi mereka tanah ini. Oleh itu, bahagikanlah tanah ini dengan sama rata antara kamu sendiri.

15Sempadan di utara bermula dari Laut Tengah, dan menuju ke arah timur sampai ke kota Hetlon, ke Genting Hamat, ke kota Zedad,

16ke Berota dan Sibraim (kota-kota itu terletak di antara kawasan kerajaan Damsyik dan kerajaan Hamat), dan Tikon (kota yang terletak di sempadan kerajaan Hauran).

17Dengan kata lain, sempadan di utara bermula dari Laut Tengah menuju ke arah timur sampai ke kota Enon; Damsyik dan Hamat terletak di sebelah utara sempadan itu.

18Sempadan di timur menuju ke selatan, dari suatu tempat di antara kerajaan Damsyik dan kerajaan Hauran. Sungai Yordan merupakan sempadan di antara tanah Israel di sebelah barat, dan Gilead di sebelah timur, sampai ke kota Tamar di pantai Laut Mati.

19Sempadan selatan menuju ke arah barat daya, dari Tamar ke mata air Kades-Meriba, lalu ke barat laut sepanjang sempadan negeri Mesir, sampai ke Laut Tengah.

20Sempadan barat dibentuk oleh Laut Tengah, lalu menuju ke utara sampai ke suatu tempat di sebelah barat Genting Hamat.

21Bahagikanlah tanah itu antara suku-suku kamu.

22Tanah itu milik kamu untuk selama-lamanya. Orang asing yang tinggal di kalangan kamu, yang telah melahirkan anak-anak di negeri ini juga harus menerima bahagian apabila kamu membahagikan tanah itu. Mereka mesti diperlakukan seperti warga negara Israel, dan harus membuang undi untuk mendapatkan bahagian tanah mereka bersama-sama suku Israel yang lain.

23Setiap orang asing yang menjadi penduduk negeri ini mesti diberikan bahagian tanah bersama-sama suku di tempat mereka tinggal. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 47 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel