Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 12 >> 

Yesus Dituangi Minyak Wangi di Betania

1Enam hari sebelum Perayaan Paska, Yesus pergi ke Betania, tempat tinggal Lazarus yang sudah dibangkitkan-Nya daripada kematian.

2Di sana Dia dijamu oleh mereka. Marta menghidangkan makanan, sementara Lazarus dan tetamu lain makan bersama-sama Yesus.

3Kemudian Maria datang dan membawa kira-kira setengah liter minyak wangi yang mahal harganya. Minyak itu dibuat daripada akar wangi. Dia menuang minyak itu pada kaki Yesus, lalu menyapu kaki Yesus dengan rambutnya. Oleh itu keharuman minyak itu memenuhi seluruh rumah.

4Yudas Iskariot, salah seorang pengikut Yesus, yang kelak mengkhianati Dia, berkata,

5"Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga tiga ratus keping wang perak, lalu wangnya diberikan kepada orang miskin?"

6Yudas berkata demikian bukan kerana dia mengambil berat terhadap orang miskin, tetapi kerana dia pencuri. Dia menyimpan beg wang bagi mereka dan dia biasa mengambil sedikit wang untuk keperluannya sendiri.

7Tetapi Yesus berkata, "Janganlah ganggu wanita ini! Biarlah dia lakukan perkara ini untuk hari penguburan-Ku!

8Orang miskin sentiasa ada antara kamu, tetapi Aku tidak selalu bersama-sama kamu."

Pakatan terhadap Lazarus

9Banyak orang Yahudi mendengar bahawa Yesus di Betania. Mereka pergi ke sana, bukan sahaja kerana apa yang sudah dilakukan oleh Yesus, tetapi juga kerana mereka mahu melihat Lazarus yang sudah dibangkitkan oleh Yesus daripada kematian.

10Oleh itu ketua-ketua imam bercadang hendak membunuh Lazarus juga,

11kerana banyak orang Yahudi meninggalkan mereka, lalu percaya kepada Yesus.

Yesus Masuk ke Yerusalem

12Keesokan harinya orang ramai yang sudah datang untuk merayakan Paska, mendengar khabar bahawa Yesus sedang dalam perjalanan ke Yerusalem.

13Mereka mengambil dahan-dahan pokok palma lalu pergi mengalu-alukan Yesus sambil berseru, "Pujilah Allah! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Diberkatilah Raja Israel!"

14Yesus mendapati seekor keldai muda lalu menungganginya. Dengan demikian berlakulah yang tertulis di dalam Alkitab,

15"Janganlah takut, hai penduduk Sion! Lihatlah Raja kamu datang menunggang seekor keldai muda!"

16Pada masa itu pengikut-pengikut Yesus tidak memahami semuanya. Tetapi setelah Yesus dimuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, barulah mereka teringat bahawa apa yang dilakukan oleh orang ramai bagi-Nya sudah tertulis di dalam Alkitab.

17Orang ramai yang hadir ketika Yesus memanggil Lazarus keluar dari kubur dan membangkitkannya daripada kematian, sudah memberitahukan kejadian itu.

18Itulah sebabnya orang ramai menjumpai Yesus, kerana mereka mendengar bahawa Dia sudah melakukan mukjizat itu.

19Orang Farisi berkata sesama sendiri, "Lihatlah, seluruh dunia sudah mengikut dia. Usaha kita sia-sia belaka!"

Beberapa Orang Yunani Mencari Yesus

20Beberapa orang Yunani ada antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada masa perayaan itu.

21Mereka datang kepada Filipus, lalu berkata, "Tuan, kami hendak berjumpa dengan Yesus." (Filipus berasal dari Betsaida di Galilea.) Dia memberitahu Andreas, lalu kedua-duanya pergi memberitahu Yesus.

22(12:21)

23Yesus berkata kepada mereka, "Sudah tiba masanya Anak Manusia dimuliakan.

24Sungguh benar apa yang Aku katakan ini: Jika sebiji benih gandum tidak ditanam di tanah lalu mati, benih gandum itu tetap sebiji benih sahaja. Tetapi jika benih itu ditanam lalu mati, maka benih itu akan tumbuh dan menghasilkan banyak gandum.

25Sesiapa yang mengasihi hidupnya sendiri akan kehilangan hidup itu. Tetapi sesiapa yang tidak mengasihi hidupnya di dunia ini akan memilikinya untuk hidup sejati dan kekal.

26Sesiapa yang mahu mengabdikan diri kepada-Ku harus mengikut Aku, supaya dia boleh bersama-sama Aku di tempat Aku berada. Bapa-Ku akan menghormati orang yang mengabdikan diri kepada-Ku."

Yesus Berkata-kata tentang Kematian-Nya

27"Hati-Ku gelisah. Apa yang akan Aku katakan? Haruskah Aku berkata, ‘Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini’? Tidak. Aku datang justeru untuk mengalami saat penderitaan ini.

28Ya Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!" Kemudian terdengar suara dari langit berkata, "Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi."

29Orang ramai di situ mendengar suara itu. Mereka berkata, "Guruh!" Tetapi ada juga yang berkata, "Bukan! Malaikat berkata-kata kepada-Nya!"

30Tetapi Yesus berkata kepada mereka, "Suara itu terdengar bukan untuk kepentingan-Ku, tetapi untuk kepentingan kamu.

31Tibalah saatnya dunia dihakimi; sekarang penguasa dunia ini akan digulingkan.

32Apabila Aku ditinggikan di atas bumi, Aku akan memimpin semua orang kepada-Ku."

33Dengan kata-kata-Nya ini, Yesus menunjukkan cara Dia akan mati.

34Orang ramai berkata kepada-Nya, "Taurat kami mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu dapat berkata bahawa Anak Manusia harus ditinggikan di atas bumi? Siapakah Anak Manusia itu?"

35Yesus menjawab, "Cahaya itu akan bersama-sama kamu sebentar sahaja. Teruskanlah perjalanan selama cahaya itu masih ada, supaya kamu tidak ditimpa kegelapan. Seorang yang berjalan dalam kegelapan, tidak tahu ke mana dia pergi.

36Percayalah kepada cahaya itu selama cahaya itu bersama-sama kamu, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya itu."

Orang Yahudi Tidak Percaya

Setelah Yesus berkata demikian, Dia pergi dari sana lalu menyembunyikan diri daripada mereka.

37Meskipun Dia sudah melakukan semua mukjizat itu di hadapan mereka, mereka tidak percaya kepada-Nya.

38Oleh itu berlakulah nubuat Nabi Yesaya, "Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah kuasa Tuhan ditunjukkan?"

39Itulah sebabnya mereka tidak dapat percaya, kerana Yesaya juga berkata,

40"Allah berfirman, ‘Aku sudah membutakan mata mereka, dan menjadikan mereka keras kepala, supaya mata mereka tidak dapat melihat, dan fikiran mereka tidak dapat mengerti, sehingga mereka tidak kembali kepada-Ku untuk Aku sembuhkan.’"

41Yesaya berkata demikian kerana dia sudah melihat kemuliaan Yesus lalu berkata-kata tentang Dia.

42Walaupun demikian, banyak juga penguasa Yahudi yang percaya kepada Yesus. Tetapi kerana mereka takut dilarang masuk ke rumah ibadat oleh orang Farisi, mereka tidak berani mengakui Yesus secara terang-terangan.

43Mereka lebih suka dipuji oleh manusia daripada dipuji oleh Allah.

Kata-Kata Yesus akan Menghakimi

44Lalu Yesus berseru, "Sesiapa yang percaya kepada-Ku, bukan sahaja percaya kepada-Ku, tetapi juga kepada Dia yang mengutus Aku.

45Sesiapa yang melihat Aku, juga melihat Dia yang mengutus Aku.

46Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya tiap-tiap orang yang percaya kepada-Ku tidak tinggal dalam kegelapan.

47Jika seseorang mendengar ajaran-Ku tetapi tidak mentaatinya, Aku tidak akan menghukum dia. Aku datang, bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya.

48Sesiapa yang menolak Aku dan tidak menerima perkhabaran-Ku, sudah ada yang akan menghakiminya. Perkhabaran yang Aku sampaikan ini akan menghakiminya pada Hari Kiamat!

49Aku tidak berkata-kata menurut kemahuan-Ku sendiri, kerana Bapa yang mengutus Aku memerintahkan Aku mengatakan apa yang harus disampaikan.

50Aku tahu bahawa perintah-Nya itu memberikan hidup sejati dan kekal. Oleh itu Aku menyampaikan perkhabaran seperti yang diberitahukan oleh Bapa kepada-Ku."


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Yohanes 12):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Yohanes 12 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel