Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 9 >> 

Orang lumpuh disembuhkan

1Yesus menaiki sebuah perahu lalu ke seberang, dan sampai di bandar tempat Dia tinggal.

2Beberapa orang membawa kepada-Nya seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Tegapkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu telah diampunkan.”

3Sebilangan ahli Taurat di situ berfikir dalam hati, “Orang ini mengkufuri Allah!”

4Yesus tahu apa yang difikirkan oleh mereka itu lalu Dia berkata, “Mengapa kamu fikirkan perkara sejahat itu dalam hatimu?

5Manakah yang lebih mudah dikatakan, ‘Dosamu telah diampunkan,’ atau ‘Bangun dan berjalan?’

6Aku akan membuktikan kepadamu bahawa di bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” Kemudian Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangun, angkat tikarmu dan pulanglah.”

7Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumahnya.

8Melihat kejadian itu, orang di situ ketakutan dan memuji Allah yang memberikan kuasa yang sedemikian besarnya kepada manusia.

Matius dipanggil mengikut Yesus

9Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Yesus berjalan di situ, Dia terpandang seorang pemungut cukai bernama Matius sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata, “Ikutlah Aku.” Lalu Matius berdiri dan mengikut-Nya.

10Ketika Yesus sedang makan di rumah Matius, ramai pemungut cukai dan orang berdosa makan bersama Yesus dan murid-murid-Nya.

11Orang Farisi yang melihat perkara itu bertanya kepada murid-murid Yesus, “Mengapa gurumu makan bersama pemungut cukai dan orang berdosa?”

12Yesus terdengar pertanyaan itu lalu menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat.

13Kajilah erti ayat ini: ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban sembelihan.’ Itulah maka Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa.”

Perkara tentang puasa

14Selepas itu, para murid Yohanes Pembaptis mendapatkan Yesus lalu bertanya, “Mengapakah kami dan orang Farisi berpuasa tetapi murid-murid-Mu tidak?”

15Yesus menjawab, “Patutkah tetamu dalam jamuan perkahwinan bersedih semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa.

16Tiada siapa akan menampal pakaian lama dengan perca kain baru, kerana tampalan itu akan mengecut dan semakin koyaklah pakaian.

17Begitu juga, tiada siapa menuangkan air anggur yang baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Kalau dilakukan, kirbat itu akan pecah, air anggur itu akan terbuang dan kirbat itu pun rosak. Air anggur yang baru mesti dituangkan ke dalam kirbat kulit yang baru, dan kedua-duanya selamat.”

Yesus melakukan mukjizat

18Sedang Yesus berkata-kata hal-hal ini kepada mereka, seorang ketua saumaah bersujud di hadapan-Nya lalu berkata, “Anak perempuanku baru meninggal dunia. Datanglah, letakkan tangan-Mu di atasnya supaya dia hidup kembali.”

19Yesus pun bangun lalu pergi bersamanya, diiringi oleh murid-murid-Nya.

20Ketika itu, ada seorang wanita yang telah menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia mendekati Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya.

21Fikir wanita itu dalam hatinya, “Apabila kusentuh jubah-Nya, tentu aku akan sembuh.”

22Yesus menoleh dan melihatnya lalu berkata kepadanya, “Tegapkanlah hatimu, anak-Ku! Imanmu telah menyembuhkanmu.” Seketika itu wanita itu sembuh.

23Apabila Yesus sampai di rumah ketua itu, Dia nampak para pemain seruling dan semua orang di situ kelam-kabut.

24Dia berkata, “Keluarlah kamu semua! Anak ini bukan mati, cuma tidur.” Mereka mentertawakan Yesus.

25Tetapi setelah mereka keluar, Yesus masuk ke bilik anak perempuan itu dan memegang tangannya lalu anak itu bangun.

26Khabar ini tersebar ke seluruh daerah itu.

Yesus menyembuhkan orang buta

27Ketika Yesus meninggalkan tempat itu, dua orang buta mengikut-Nya sambil berseru, “Wahai Anak Daud, kasihanilah kami!”

28Ketika Yesus masuk ke rumah, kedua-dua orang buta itu mendekati-Nya. Yesus bertanya, “Percayakah kamu bahawa Aku dapat menyembuhkanmu?” “Percaya, Tuhan!” jawab mereka.

29Yesus pun menyentuh mata mereka sambil berkata, “Kerana imanmu, terjadilah seperti apa yang kamu inginkan!”

30Pada ketika itu juga mereka menjadi celik. Yesus mengingatkan mereka, “Jangan ceritakan hal ini kepada siapa pun.”

31Tetapi mereka pergi menyebarkan khabar tentang Yesus ke seluruh daerah itu.

Yesus menyembuhkan seorang bisu

32Selepas itu, seorang yang bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus.

33Yesus menghalau roh iblis itu dan serta-merta orang itu mula berkata-kata. Semua yang melihatnya tercengang lalu berkata, “Belum pernah kami lihat hal begini di Israel!”

34Tetapi orang Farisi berkata, “Ketua roh iblis telah memberi Dia kuasa untuk menghalau roh-roh iblis.”

Belas kasihan Yesus terhadap orang

35Demikianlah Yesus berjalan, dari bandar ke bandar, dari pekan ke pekan. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan Injil tentang kerajaan Allah, serta menyembuhkan semua penyakit dan kesakitan.

36Apabila Yesus melihat orang yang ramai itu, Dia berbelas kasih terhadap mereka kerana mereka bimbang dan tidak berdaya, ibarat sekawan domba tanpa gembala.

37Kata Yesus kepada murid-murid-Nya, “Tuaian banyak sekali tetapi penuai hanya segelintir.

38Berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada tuan yang empunya tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk menuai.”



 <<  Matius 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran